Intipati Aturan 16 ini adalah antara akujanji yang diberikan oleh mana-mana orang yang didaftarkan sebagai seorang peguamcara dan peguambela. Aturan ini kerap disebut sebagai peraturan ‘tanpa rasa takut atau berkepentingan’ yang mudahnya bermaksud: seorang peguam bertanggungjawab untuk memastikan kepentingan anak guam, kepentingan keadilan dan kemuliaan profesion undang-undang hendaklah dipelihara tanpa rasa takut atau tanpa melebihkan kepentingan mana-mana pihak.

Ini adalah asas kepada profesion yang meletakkan setiap pengamal undang-undang sebagai sahabat mahkamah (amicus curiae), juga sebagai pegawai mahkamah (officers of the court) yang memainkan peranan pen­ting dalam pentadbiran keadilan. Maka, adalah menjadi tanggungjawab setiap peguambela dan peguamcara yang hadir di hadapan mana-mana badan tribunal kehakiman untuk menentukan kesahihan keadilan sebagai matlamat.

Kewajipan ini bukan sahaja bagi memastikan kebenaran dan ketelusan dalam pengendalian kes tetapi juga menuntut agar setiap peguam bertindak dengan rasa hormat kepada pentadbiran keadilan itu sendiri termasuklah kepada satu sama lain dan anak guam yang diwakili.

Oleh itu, wajar sekali setiap ahli majlis-majlis peguam yang ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk sama-sama me­nyantuni peraturan yang telah kemas diperuntukkan bagi mentadbir profesion undang-undang.

Dalam Seksyen 11 Akta Profesion Undang-undang 1976 (Akta 166), seseorang berkelayakan hanya boleh diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara jika dia (i) mencapai umur 18 tahun, (ii) berkelakuan baik, (iii) tidak pernah disabitkan dengan apa-apa kesalahan jenayah, (iv) tidak pernah dihukum bankrap. Syarat kelayakan dalam Ordinan Peguambela (Sabah Bab 2) dan Ordinan Peguambela (Sarawak Bab 110) bagi mereka yang ingin beramal di Sabah dan Sarawak pula memperuntukkan bahawa beliau haruslah (i) merupakan ahli Majlis Peguam di England, Scotland, atau Ireland, atau dite­rima beramal di mana-mana negara Komanwel, (ii) memiliki ijazah sarjana muda yang diiktiraf, (iii) telah mendapatkan Sijil Amalan Guaman di bawah Akta 166, (iv) tidak digantung untuk beramal sebagai peguambela atau dikenakan apa-apa tindakan disiplin, (v) bukan seorang yang diisytiharkan bankrap.

Tujuan peruntukan ini diwujudkan adalah bagi memastikan peguam-peguam yang diterima masuk untuk beramal di Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah seorang yang mampu mendukung kedaulatan undang-undang negara. Malang­nya, mutakhir ini semakin kerap timbul kes-kes yang melibatkan salah laku dalam kalangan peguam.

Terbaharu pada 4 Ogos, dua orang peguam telah didakwa pecah amanah membabitkan transaksi jual beli tanah hampir RM2 juta. Sebelum itu, pada 7 April, seorang peguam dituduh melakukan pecah ama­nah mem­babitkan wang berjumlah RM1.18 juta.

Paling menggemparkan, pada 4 Mac 2016, seorang peguam se­nior dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah le­bih RM9 juta. Cukup memalukan pada 11 Ogos, seorang peguam telah dihukum penjara 9 bulan atas tuduhan mengugut seorang peguam lain. Lewat tahun lalu pula, profesion undang-undang digemparkan dengan berita seorang peguam dituduh mencabul pelajar kolej.

Apakah silapnya amalan undang-undang sehinggakan semakin ramai peguam yang berani membohongi akujanji yang diberikan? Sudah lupakah mereka bahawa profesion ini adalah profesion elit yang menerima hanya mereka yang meletakkan konsep keadilan, ketelusan dan kehakiman sebagai tiang sari masyarakat bertamadun?

Kualiti elit yang diterapkan dalam profesion ini bukanlah kerana daya tarikan amalan ini yang penuh kegemilangan. Tetapi kerana pengaruh besar yang dimainkan seseorang pengamal undang-undang yang dilihat datang daripada golongan intelek yang berkelayakan untuk memastikan undang-undang ditakrifkan dan dipakai dengan baik dalam institusi kehakiman.

Ringkasnya, peguam adalah golongan yang menjadi pemerhati bagi mengesahkan setiap undang-undang dipakai secara bijaksana tanpa menidakkan hak kebebasan dan keadilan mana-mana pihak. Peguam jugalah yang dipertanggungjawabkan untuk menentukan sama ada hak asasi manusia telah dipatuhi dengan baik selaras dengan peruntukan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Kepada pengamal undang-undang yang berkhidmat dengan jujur dan tulus dalam profesion ini, penulis mengucapkan penghargaan dan berharap amalan baik profesion elit ini dite­ruskan.

Bagi mereka yang masih mengejar cita-cita untuk diterima masuk dalam bidang ini, penulis menitipkan pesanan Hakim VT Singham yang menyatakan de­ngan kemas dalam penghakiman kes Che Hong Yee v Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Ne­geri Malaysia:

“Bukan sahaja penting bagi mahkamah ini sebagai penjaga keadilan untuk melaksanakan keadilan tanpa rasa takut dan dengan saksama, tetapi turut sama penting bagi peguam yang terpelajar untuk menjalankan tugasnya dengan berterus-terang dalam menyampaikan kesnya dan bertindak tanpa rasa takut atau berkepentingan supaya ti­dak dilihat sebagai membenarkan mana-mana taktik yang jelas tidak dibenarkan. Tanggungjawab ini adalah kewajipan yang perlu dipenuhinya sebagai pegawai mahkamah.”

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).