Tidak kira kemelut yang me­landa Qatar dan beberapa negara Teluk, krisis Yemen atau pun isu keganasan, bukan satu perkara yang mudah bagi sebuah negara seperti Malaysia untuk melaksanakan dasar luar jika ia terkait dengan negara Arab.

Umpamanya dalam dunia diplomasi dan geopolitik antarabangsa, lawatan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani ke Malaysia pada Oktober 2017 adalah satu perkara lazim le­bih-lebih lagi hubungan antara kedua-dua negara sudah terjalin lebih daripada empat dekad lalu.

Tetapi jika diambil kira krisis negara Teluk yang tercetus pada Jun 2017, maka lawatan Sheikh Tamim boleh dibaca melalui pelbagai sudut terutama sekali dalam hal geopolitik negara Arab. Maka secara semula jadi­nya kunjungan Sheikh Tamim ke Malaysia bukan sahaja dikaitkan hubungan diplomasi antara Kuala Lumpur dan Doha tetapi juga dengan Riyadh kerana Arab Saudi juga terbabit dalam krisis negara Teluk.

Tidak syak lagi dasar luar Malaysia adalah berbaik dengan semua negara dan ini termasuk dengan negara Teluk dan pengamalan prinsip ini tidak akan menghalang Malaysia menjalin hubungan baik dengan Qatar dan juga Arab Saudi.

Tetapi hakikatnya Malaysia berada dalam keadaan yang serba salah sejak tercetusnya krisis negara Teluk kerana mahu tidak mahu lawatan Emir Qatar ini sudah pasti akan memberi isyarat mengenai status krisis Teluk ke­rana lawatan beliau ke Malaysia adalah yang kedua selepas krisis tersebut tercetus.

Lawatan pertama Emir adalah pada September 2017 apabila beliau melawat Turki, Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat (AS). Sudah agak pasti Qatar cuba memberi isyarat bahawa negara kuasa besar dan negara Islam lain masih memberi sokongan dan menjalin hubungan dengan Doha.

Sebab itu juga agak menarik beberapa hari lalu apabila Kementerian Pertahanan membuat keputusan untuk menarik balik penempatan tentera Malaysia di Arab Saudi. Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu membuat penjelasan bahawa keputusan itu dibuat sebagai langkah bagi mengelakkan pembabitan Malaysia dalam pepera­ngan antara Arab Saudi dan Yemen ketika ini.

“Pendirian Malaysia adalah mengamalkan dasar berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana ideologi politik di dunia termasuk dalam usaha mengekalkan hubungan dengan negara lain di Asia Barat” tegas Mohamad.

Lebih menarik lagi adalah sama ada secara kebetulan atau pun tidak, badan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty telah melahirkan kebimbangan mereka mengenai pembabitan tentera Malaysia dalam peperangan pakatan negara Arab pimpinan Arab Saudi terhadap Yemen yang bermula pada 2015.

Pengarah Eksekutifnya, Eric Paulsen, telah menggesa Mohamad supaya menjelaskan kehadiran tentera Malaysia di Riyadh dan penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perang di Yemen.

Terdapat sedikit kekeliruan mengenai pertanyaan Paulsen kerana tentera Malaysia tidak pernah terbabit secara langsung dalam serangan ke atas Yemen yang diketuai Arab Saudi dan disokong oleh tentera dari beberapa negara lain seperti Bahrain, Mesir, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kehadiran ATM di Arab Saudi adalah lebih menjurus kepada pembabitan Malaysia dalam kumpulan yang dipanggil Gabu­ngan 34 Negara Islam yang ditubuhkan pada Disember 2015 dan di­pelopori Arab Saudi.

Gabungan ini yang sering diberi nama jolokan NATO Negara Islam sempena mengambil nama Pertubuhan Perikatan Atlantik Utara adalah bertujuan membanteras keganasan terutama sekali yang didalangi oleh kumpulan militan Daesh.

Seperti mana Presiden AS, Barack Obama yang lebih awal me­nubuhkan pakatan yang serupa iaitu gabungan 65 negara pada September 2014, ia mempunyai matlamat serupa iaitu memera­ngi ideologi militan Daesh.

Timbul kekeliruan mengenai penglibatan ATM adalah mungkin juga disebabkan setiap kali sidang media dilakukan oleh tentera Arab Saudi mengenai hal Yemen, latar belakang bendera Gabungan 34 Negara Islam dan ini termasuk bendera Malaysia sering disalah erti sebagai pembabitan negara berkenaan dalam serangan ke atas Yemen.

Pernah satu ketika bekas Setiausaha Pertahanan AS, Ashton Carter menyuarakan kekesalan beliau terhadap beberapa negara Islam yang berada dalam pakatan 65 negara seperti Arab Saudi, UAE dan Turki yang dituduh enggan menyumbang kepada kejayaan operasi misi serangan udara yang sering dilancarkan dan diketuai oleh tentera AS.

Analoginya adalah serupa de­ngan Gabungan 34 Negara Islam iaitu walaupun Arab Saudi yang mengetuai serangan ke atas Ye­men, tetapi hakikatnya hanya beberapa buah negara berkemampuan dalam gabungan ini yang turut serta secara langsung dan negara yang berkemampuan ini tidak termasuk Malaysia.

Hubungan diplomatik Kuala Lumpur dan Riyadh adalah begitu akrab yang merangkumi kepentingan geopolitik negara Islam yang sering berdepan dengan stigma keganasan berpunca dari negara Islam. Umpamanya penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), iaitu sebuah institusi antikeganasan yang menggunakan pendekatan akademik berpusat di Kuala Lumpur adalah manifestasi keakraban antara kedua-dua negara Islam ini.

Sekiranya hendak dianalogikan jika KSCIP mengguna pendekatan akademik untuk menongkah ideologi keganasan pengganas, maka Gabungan 34 Negara Islam pula lebih menumpukan perhatian kepada strategi ketenteraan. Menjadi kemusykilan bagaimana Riyadh akan mentafsir keputusan Malaysia menarik balik penempatan tentera di Arab Saudi dengan harapan tidak memberi persepsi bahawa Kuala Lumpur sudah tidak berminat bekerjasama menangani keganasan dengan negara Arab.