Mereka tidak asing dengan kemampuan dan kewibawaan Khairy. Namun dalam berdepan iklim suhu pilihan raya, nada ­suara dan lenggok Ketua Pemuda UMNO itu berubah sekelip mata. Dalam menyaring isu-isu berkait perihal pilihan raya, ­sememangnya Khairy tidak perlu silu dan segan dalam mengemukakan pandangan.

Jika ada isu, ia mesti dibangkitkan dan diperkatakan secara berdepan. Jika gendang pilihan raya yang dijadikan ukuran, rasanya minda dan hati anak muda di Kedah sudah mula menjurus ke arah pilihan raya. Namun, ada sisi menarik yang ingin penulis kongsikan kali ini.

Apa yang menarik adalah pandangan ramai kalangan anak muda di Kedah berkenaan keindahan politik UMNO dan BN yang mampu menggandingkan pengalaman (Menteri Besar Kedah) dan nada masa hadapan (Ketua Pemuda UMNO) di atas pentas sama. Pada mereka, acara pada hari perasmian berkenaan cukup memberi kesan yang luar biasa.

Pembawaan gaya dan bahasa bersahaja yang selalu dibawa oleh Menteri Besar Kedah memang cukup kena dengan suasana politik negeri. Namun, apabila pentas diambil oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, ‘lingkaran pemikiran’ menjadi lengkap apabila cabaran baharu anak muda, disulam sama dalam penyampaian ucapan politik yang terbuka dan bersahaja.

Orang muda, menurut ramai rakan penulis, sama sekali tidak mahu meminggirkan fikrah dan pandangan orang lama di dalam sayembara politik Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti. Apa yang mereka mahukan hanyalah keperluan untuk mengadakan pendekatan yang jelas dan tuntas dalam membuka ruang seadil mungkin kepada kepimpinan pelapis baharu dalam membawa cabaran parti.

Orang muda bukan mahu ambil jalan mudah dan senang di dalam perkara ini. Mereka hanya mahukan agar sistem nilaian kewibawaan bakal calon tidak terlalu bersanggit dan bergesek dengan isu pengalaman dan umur.

Sekian lama, kepimpinan dan parti bercakap soal judul ‘peremajaan parti’ dan ia mestilah diterjemah dengan sesuai di lembah peraduan politik PRU-14 nanti.

Tidak timbul soal kumpulan anak muda yang lupa diri dan mahu ‘naik cepat’ di dalam suasana politik mutakhir ini. Aura dan roman muka politik mestilah disesuaikan dengan suasana dan cabaran semasa. Sebarang wasangka dan curiga bahawa orang muda mempunyai agenda yang tersendiri tidak perlu kita terlalu main-mainkan di dalam fikiran.

Di antara kekuatan utama pemimpin besar seperti Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sendiri sebagai contoh, adalah keberanian melahirkan lebih ramai orang muda yang digelar ‘Budak Razak’ (Razak Boys) di dalam pentadbiran kerajaan dan parti.

Ini manifestasi keberanian untuk membolehkan sistem perantis politik dapat disegarkan sesuai dengan keperluan masa. Akhirnya, kumpulan muda inilah yang mendaki tangga politik dengan penuh keyakinan - dek kerana ruang dan peluang yang diberikan oleh pucuk pimpinan.

Hari ini, iklim politik menjadi sangat tidak menentu dan cacamarba. Pandangan politik orang muda sudah menjadi berlapis-lapis sehinggakan kita perlu mengakrabkan pandangan politik mereka dengan berani namun cukup berhati-hati. Hari ini, sementara satu kumpulan menjulang demokrasi dengan pesanan agar anak muda membuat keputusan di peti undi, ada kelompok lain yang menghujah demokrasi dengan merosakkan undi.

Bukan amalan orang muda untuk bertikam hujah dengan pimpinan. Apapun keputusan, akan kita akur sepenuh hati. Survival dan kelangsungan perjuangan yang lebih perlu kita pertahankan.

Yang penting, UMNO dan BN tidak boleh kandas di dalam ikhtiar meyakinkan generasi muda bahawa inilah wadah politik masa hadapan. Generasi muda yang sering diriuhkan dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) pastinya mahu melihat wajah pembaharuan sewajarnya kepada saf yang bakal ditampilkan.

DATUK SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN ialah Ketua Pemuda UMNO Kedah merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah.