Kenyataannya, parti yang membentuk kerajaan selepas PRU-13 dahulu telah melaksanakan program yang amat pro kepada agenda Islam. Perkara ini tidak boleh dinafikan kerana dapat dilihat oleh semua, kecuali mata li­beral dan sekular.

Dalam sejarah Malaysia, zaman paling mesra kepada agenda Islam ialah zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak. Pentadbiran beliau paling mesra ulama sehingga ditubuhkan Sekre­tariat Umara-Ulama sebagai penghubung antara dua golongan itu. Tujuannya ialah demi meles­tari dan memperkasakan agenda Islam. Sebelumnya tidak ada.

Demikian juga pentadbiran beliau yang melakar suatu sejarah putih melalui dasar mesra dan mendukung pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang selama ini dipinggirkan, bahkan sesetengahnya dimusuhi. Atas dasar mesra agenda Islam dan semangat terbuka beliau, NGO Islam diberi pengiktirafan melalui bantuan dana untuk melaksanakan program masing-masing dan memberi kebebasan yang amat luas serta kemudahan tempat untuk badan bukan Islam berwacana.

Yang paling mengagumkan adalah menjemput dan mengajak NGO-NGO Islam termasuklah yang kurang mesra kepada pentadbiran beliau, memberi pendapat, berbincang dan menghadamkan sesuatu isu nasional dalam suatu majlis permesyuaratan. NGO Islam disifatkan oleh pentadbiran Najib sebagai rakan strategik dalam membangunkan negara.

Dalam pendidikan Islam, pentadbiran Najib membina suatu transformasi pemikiran baharu yang amat konstruktif, lagi memberangsangkan. Pentadbiran beliau membuka perspektif yang lebih luas melalui anjakan paradigma dalam melihat pendidikan tradisional Islam yang disebut sebagai pondok.

Pendidikan tradisional atau pondok ini diberi perhatian khusus dalam arus pendidikan nasional. Mereka tidak dipinggirkan seperti dahulu. Pentadbiran Najib telah mengubah bentuk dan imej fizikal pondok-pondok tersebut dengan bantuan dana besar melalui penubuhan Yayasan Pondok. Sebelum ini tidak pernah berlaku.

Bersama-sama dengan dasar memartabatkan pendidikan pon­dok itu, pentadbiran Najib mengiktiraf pendidikan menghafaz al-Quran. Selama ini, pusat penghafazan al-Quran yang diiktiraf cuma yang ditubuhkan oleh kerajaan sahaja. Tetapi pentadbiran Najib telah membuka lembaran positif dengan memberi bantuan kewangan yang amat besar dan juga bantuan khidmat nasihat teknikal percuma kepada pusat-pusat tahfiz swasta.

Malah yang cukup menggembirakan ialah dasar menerima masuk para huffaz dari pusat-pusat tahfiz swasta itu ke universiti kerajaan. Bahkan, keputusan telah dibuat untuk mendirikan Universiti al-Quran pula.

Ini adalah paparan sebahagian sahaja daripada agenda Islam di bawah pentadbiran Najib. Dalam kaitan agenda memartabatkan Islam tersebut, cuba analisis secara ringkas PKR, melalui pendirian dan pemikiran liberal pemimpin de facto mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melalui tulisan di media sosialnya yang diakses pada 1 Jun 2011, dia berkata: “Lebih dua dekad lalu saya cuba hayati semangat sapere aude...”. Sapere aude bermakna akal bebas. Ayat ini memberi makna yang Anwar berfikiran bebas.

Melalui akal bebasnya itu, ia menempelak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana Jakim mengharamkan buku Islam dan Pluralisme Agama beberapa tahun dahulu. Buku ini memberi promosi yang semua agama sama benar belaka.

Dalam ucapannya di khalayak bukan Islam di London School of Economics pada 18 Mac 2010, dia berkata, tidak dapat diterima secara moral seseorang Islam yang berkata, agama bukan Islam adalah salah. Dia juga bersifat sinikal berkaitan hukuman sebat kepada peminum arak yang mengaku salah dan rela pula dihukum mengikut hukuman Islam itu.

Yang menggerunkan lagi adalah seperti yang dilapor oleh media, dia menempelak program untuk memberi penerangan ber­kaitan perlakuan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) kepada pelajar-pelajar sekolah yang dianjurkan oleh sebuah NGO Islam bersama Jabatan Pendidikan Johor beberapa tahun dahulu. Jelas pemikiran beliau tidak mesra agenda Islam.

Perhatikan dan nilai pula agenda Islam semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Pentadbiran beliau menjadi kemarahan umat Islam kerana bersikap prejudis melampau kepada pusat pendidikan Islam iaitu madrasah dan pondok yang dikenali sebagai sekolah agama rak­yat. Beliau mengarahkan supaya memberhentikan bantuan yang tidak seberapa itu kepada pusat-pusat pengajian tersebut.

Sikap tidak mesra, bahkan memusuhi agenda Islam menyebabkan banyak NGO Islam menjadi mangsa. Para aktivis Islam yang aktif semasa pentadbiran beliau merasai hal ini. Beberapa tahun lalu, beliau menjadi isu panas kerana membenarkan pejabat beliau dijadikan premis wacana berkaitan Hadis oleh Kasim Ahmad, individu yang dikenali sebagai anti hadis. Jelas, sikap beliau tidak mesra kepada agenda Islam.

Sementara DAP pula, memang sejak dahulu dikenali sebagai tegar menentang agenda Islam. Mereka mengubah strategi de­ngan membawa masuk seorang Islam yang berpendidikan agama yang diharamkan berkuliah dan mengajar di seluruh surau dan masjid di Selangor oleh pihak berkuasa agama. Beberapa tahun dahulu, ‘dia’ didakwa mahu menghapuskan sistem beraja di negara ini. Berdasarkan fakta ringkas ini, dapat disimpulkan, parti-parti tersebut, tidak akan melaksanakan agenda Islam se­perti kehendak Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah.

Parti-parti dalam gabungan pembangkang PKR yang tidak boleh diharapkan menjaga ajaran dan agenda Islam ini juga menafikan kod-kod moral dalam pentadbiran mereka. Di negeri yang mereka kuasai, mereka membenar dan mempertahankan pesta maksiat seperti LGBT dan pesta arak.

Umat Islam tidak perlu menaruh harapan kepada pakatan parti politik yang jelas tiada harapan untuk memenuhi harapan mereka dan melestarikan agenda dalam bingkai menjaga kemurniaan akidah dan syariat serta akhlak Islam.

Melalui PRU-14, umat Islam wajib memilih parti yang jelas boleh diharap dan terbukti berjaya melaksanakan agenda Islam. Mereka wajib menolak parti-parti yang membela liberalisme pemikiran dan liberalisme agama seperti yang dipaparkan di atas.

PENULIS ialah Pengerusi Pembela UMMAH.