Tegasnya lagi, selepas peristiwa 9/11 (iaitu 11 September 2001) Amerika Syarikat kata mereka tahu siapa yang bersalah. Maka bermulalah ‘peperangan menentang keganasan’. Selepas kejadian 7/7 (iaitu 7 Julai 2005) United Kingdom kata mereka tahu siapa yang bersalah, lalu bertindak balas terhadap pihak berkenaan manakala selepas serangan di Mumbai, India pula kata mereka pun tahu siapa yang bersalah. Maka bermulalah naratif keganasan dalam tiga situasi yang disebut itu tadi untuk menjustifikasikan tindak balas mereka.

Apakah pula naratif keganas­an yang didendangkan selama ini oleh kumpulan pengganas seperti al-Qaeda, Daesh dan kumpulan-kumpulan lain seperti Abu Sayyaf?

Antaranya, menurut Farrukh lagi adalah seperti berikut – Islam kini dalam bahaya. Ini adalah pepe­rangan akhir zaman, sampai ketikanya Khalifah Islam ditubuhkan, orang Islam adalah mangsa, demokrasi adalah bertentangan dengan Islam. Apa yang kita lakukan adalah jihad dan sebagainya. Semua itu menjustifikasikan dan menghalalkan segala kekerasan, keganasan dan ekstremisme yang mereka lakukan terhadap sesiapa sahaja yang mereka anggap musuh mereka.

Di sebalik kata-kata kumpulan pengganas ini bahawa apa yang mereka lakukan adalah jihad, hakikatnya mereka melakukan rompakan, penculikan, perkosaan, penahanan, penyeksaan, penganiayaan, perhambaan, dan pembunuhan. Tetapi kerana bijaknya kumpulan pengganas ini menggunakan naratif mereka atau mungkin kerana jahilnya anak-anak muda yang menjadi sasaran naratif ini, ramai anak muda di banyak negara terpesona dengan dakyah pengganas ini dan sanggup meninggalkan negara asal untuk menyertai jihad kumpulan ini di Iraq dan Syria, manakala kumpulan-kumpulan kecil yang bersimpati dan bersekutu dengan mereka wujud di negara-negara lain, seperti kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

Soalnya, sekarang apakah usaha kita selama ini untuk menentang dan menjawab naratif dan mesej keganasan, kebencian dan ekstremis daripada kumpulan ini telah berjaya?

Tidak dinafikan kumpulan pengganas seperti Daesh telah berjaya menggunakan media sosial untuk mempromosi mesej radikal dan keganasan mereka bagi merekrut anak-anak muda dari pelosok dunia untuk menyer­tai jihad mereka sama ada di Iraq dan Syria atau di negara asal ma­sing-masing.

Kejadian serangan oleh pengganas bersendirian dipanggil “lone wolf attack” seperti yang berlaku di Orlando, Florida, pada 12 Jun 2016 (mengorbankan 49 nyawa dan mencederakan 59 orang) dan di Nice, Perancis, pada 14 Julai 2016 (mengorbankan 86 nyawa), terbaharu di Manchester (22 terbunuh, 59 cedera) dan di London Bridge (tujuh terbunuh) membuktikan bahawa naratif keganasan ini begitu berkesan dan berpe­ngaruh sekali dan sukar bagi pihak berkuasa di negara berkenaan mematahkan sepenuhnya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini ada berkata bahawa Perjanjian Pertahanan Lima Negara (melibatkan Britain, Austra­lia, New Zealand, Singapura dan Malaysia) adalah satu-satunya platform terbaik untuk menghadapi ancaman keganasan dan militan di rantau Asia.

Di samping menggunakan ‘inisiatif ketenteraan’, beliau berharap kerjasama lima negara ini akan tertumpu juga kepada usa­ha memenangi hati dan minda orang ramai melalui media sosial. Pendekatan ini, yang dinamakan soft power (kuasa pujukan) akan diambil bagi membalas naratif keganasan dan ekstremis kelompok ini.

Menyentuh penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (King Salman Centre for International Peace) di Kuala Lumpur yang mula beroperasi pada 30 Mei lalu, Hishammuddin berkata pusat ini akan dihubungkan de­ngan Pusat Bagi Memerang­i Ideo­logi Ekstremis Global di Riyadh, Arab Saudi.

Terdahulu sebelum itu, semasa berucap di satu forum Majlis Keselamatan PBB pada Mei lalu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ada menyeru agar lebih ramai cendekiawan Muslim mendekati golongan anak muda melalui media sosial untuk menangani naratif keganasan dan memperjelaskan konsep jihad yang sebenar, bukan seperti yang diputarbelitkan oleh puak-puak ekstremis ini.

Misalnya, kumpulan pengganas Abu Sayyaf di selatan Fi­lipina pernah menggunakan ayat al-Quran bagi menjustifikasikan pendirian mereka bahawa jihad membolehkan kekerasan digunakan terhadap bukan Muslim, termasuklah membunuh mereka.

Semasa berucap pada Perbahasan Umum Sesi Ke-71 Perhimpunan Agung PBB di New York pada 24 September 2014, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menegaskan bahawa keganasan dan ekstremisme perlu ditangani melalui perspektif ideologi iaitu dengan membalas naratif kumpulan pengganas dengan naratif penjelasan mengenai konsep jihad sebenar dalam Islam. Selain memberikan counter-narrative yang betul ini, pihak berkuasa perlu juga mengadakan program deradikalisasi dan pemulihan.

Kesan naratif keganasan Daesh menerusi media sosial selama ini, dianggarkan kira-kira 30,000 pejuang asing dari 100 negara telah memasuki dan berkumpul di Syria dan Iraq untuk menyertai perjuangan kumpulan pengganas itu.

Pada 22 Oktober 2014, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa seorang Muslim yang mati menerusi perjuangan Daesh tidak boleh dianggap mati syahid kerana mereka menghalalkan darah sesama umat Islam. Seruan jihad dan mati syahid yang dipegang oleh mereka adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran.

Clint Watts dari Washington Institute for Near East Policy berpendapat usaha menentang keganasan menerusi program “memenangi hati dan minda” anak muda tidak akan mudah berjaya. Perlu diingatkan bahawa media sosial pengganas ini mampu bergerak pantas, dalam beberapa saat dan minit sahaja, manakala pihak berkuasa lazimnya bertindak lambat, mungkin sehari dua, mungkin berminggu.

Dalam counter-narrative yang kerajaan sebarkan, sepatutnya apa yang diceritakan adalah pelbagai jenayah yang dilakukan oleh kumpulan ini seperti menzalimi penduduk setempat, merogol wanita muda dan menjualnya sebagai hamba abdi. Selain itu, perlu didedahkan juga kenyataan penyesalan anak muda yang telah meninggalkan kumpulan pengganas ini dan kembali ke negara asal mereka.

Dr. Alex Schmid dari the International Centre for Counter Terrorism (ICCT) di The Hague, Belanda, menyatakan bahawa kumpulan Daesh kini mampu menghubungi orang awam menerusi 90,000 tweet pada setiap hari. Mana-mana pihak berkuasa yang mahu memerangi naratif keganasan ini mestilah bersedia dan mampu menjawab balik apa yang dicanangkan oleh pengganas ini dengan memberikan satu naratif alternatif yang boleh diyakini sambil memberi harapan masa depan yang bermakna kepada anak-anak muda yang sudah terpesong ini.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.