Selalu juga saya menulis tentang pertanian, hasil-hasil pertanian dan risiko bidang pertanian sehingga ramai anak muda enggan berjinak-jinak dengan pertanian kecuali terpaksa ataupun memang berminat dalam bidang pertanian.

Orang tua-tua dahulu selalu berkata, berbudi kepada tanah tentu ada hasilnya. Itu pepatah lama iaitu ketika pelbagai pekerjaan lain belum terbentuk tetapi apabila zaman berubah, bidang pertanian semakin dipinggirkan.

Maka tidak hairanlah, anak-anak petani pun tidak pernah menjejakkan kaki ke sawah, ke ladang ayah ibu bapa mereka kerana pendidikan mereka bukan lagi memfokuskan pertanian.

Dalam bidang pertanian, tanaman padi masih boleh bertahan kerana permintaan melebihi apa yang ada.

Kita juga terpaksa mengimport beras dari luar negara kerana tidak cukup beras. Bagaimanapun, ada dalam kalangan petani yang cuba mengalih guna tanah tersebut kepada tanaman harum manis kerana hasilnya dikatakan lumayan.

Apa-apa pun, apabila harga harum manis jatuh selepas ramai yang mengusahakannya, bukan mudah hendak berbalik kepada tanaman padi kerana modalnya bukan sedikit.

Menukar dari sejenis tanaman kepada tanaman lain berpunca daripada keinginan petani mengubah cara hidup dan melipat ganda pendapatan apabila tanaman sedia ada tidak memperoleh hasil lumayan.

Oleh hal demikian, apabila Kementerian Industri Utama mencadangkan agar tanaman kelapa sawit tidak diperluaskan lagi kerana pelbagai masalah terutamanya kejatuhan harga komoditi itu, pelbagai reaksi kedengaran di mana-mana apatah lagi daripada golongan marhaen.

Pada pandangan saya, mencuba tanaman baharu bagi petani boleh dilakukan dengan syarat ada kawasan baharu yang boleh diusahakan. Dalam pada itu, pasaran bagi hasil tanaman tersebut mesti diambil kira sama ada pasarannya boleh mendatangkan hasil dalam jangka masa panjang atau setahun dua sahaja.

Apa yang tidak boleh dilakukan ialah mengorbankan tanaman asal dan digantikan dengan tanaman baharu yang belum tentu dapat menjamin pendapatan. Contohnya, jika tanaman buluh yang dicadangkan, berapa lamakah hasil akan diperoleh, di mana hendak dipasarkan dan bagaimanakah sambutan orang ramai terhadap hasil tersebut?

Penulis masih ingat beberapa tahun lepas, seorang menteri bercadang hendak menggerakkan FAMA ke kampung-kampung untuk mencari hasil pertanian daripada penduduk kampung.

Maka sudah tentu petani dan peladang yang mempunyai hasil kelapa, pisang, ubi dan sebagainya boleh menjual kepada FAMA yang bergerak dari rumah ke rumah. Kaedah ini dikatakan sesuai bagi para petani dan peladang yang memiliki hasil tetapi tidak mempunyai tempat untuk dijual.

Malangnya, apabila menteri tersebut tewas dalam pilihan raya, cadangan tersebut hanya tinggal cadangan. Tidak ada sesiapa pun yang meneruskan cadangan tersebut untuk dipraktikkan sedangkan ia boleh membantu petani dan peladang menambah pendapatan mereka.

Kementerian berkaitan pertanian mesti memikirkan pelbagai kaedah untuk menangani masalah-masalah yang berkaitan dengan bidang pertanian di negara ini demi kelangsungannya dan lebih penting, golongan terbabit dalam bidang ini mesti diberi pembelaan sewajarnya.