Di Parlimen Kota Raja, Klang perkara sama berlaku. Calon MIC kalah dua kali di situ di tangan calon Melayu pembangkang. Tewas pun bukan sedikit, bahkan dengan jumlah undi lebih besar, 29,395 pada 2013 berbanding 20,751 undi pada 2008.

Diakui tiada satupun taburan kawasan mengundi di negara ini yang memiliki majoriti kaum India, namun dalam menyahut cabaran getir PRU ke-14 (PRU-14), sesuatu perlu diubah secara drastik. Pemilihan calon MIC berlandaskan konsep perkongsian kuasa dengan matlamat akan ada wakil kaum India berkhidmat di kawasan parlimen. Kalau bernasib baik, berjawatan pula dalam Kabinet.

Persoalannya, adakah konsep perkongsian kuasa yang dite­rapkan sejak era Parti Perikatan sehinggalah memakai nama BN masih mahu diteruskan meskipun prestasinya terus mengecewakan?

Aspek pemuafakatan sebenar­nya tiada galang ganti dalam BN. Persefahaman ini termeterai dengan parti-parti komponen­nya MCA, Gerakan dan MIC yang bertanding di kerusi-kerusi yang majoriti pengundinya Melayu. Adakah strategi, taktik atau konsep ini sekadar ramuan atau ‘perjanjian lama’?

Realitinya, landskap politik hari ini sudah berubah. MCA, Gerakan dan MIC dilihat tidak lagi sekuat mana berdasarkan prestasi pilihan raya lalu. Mereka ter­utama dua parti Cina berkenaan masih bergantung harap kepada pengundi Melayu. Justeru amat perlu difikirkan semula secara serius sifir mendepani PRU-14 nanti. Adalah lebih elok MCA dan Gerakan fokus bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina. Ujilah kekuatan di kubu-kubu kuat DAP ini. Setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Ne­geri yang ditandingi UMNO dan BN amat bernilai sekarang. Perlu perhalusi satu persatu. Dengan kata lain, wajarkah lagi diletakkan calon daripada parti komponen pernah kalah sebelum ini?

Sistem pembahagian kerusi berasaskan konsensus parti-parti komponen perlu dikaji semula dengan mengambil kira senario setempat di kawasan Parlimen dan dewan undangan negeri (DUN). Hanya semata-mata untuk ‘memuaskan’ politik permuafakatan, kawasan yang majoriti pengundi Melayu diberikan pula peluang untuk calon minoriti bertanding atas nama BN.

Walhal, pengalaman lepas sudah terbukti kerusi yang ditan­dingi dalam pilihan raya terdahulu calon bukan Melayu ini kalah. Apakah perlu mengambil risiko untuk mencipta kekalahan lagi? Cuba imbas kembali formula khas diperkenalkan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk berdepan Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mei tahun lalu. Adenan ketika itu memikul tanggungjawab berat dalam menangani kemelut parti-parti komponen BN negerinya yang bertelagah sesama sendiri.

Lantas beliau menurunkan ‘calon langsung’ atau direct candidate dengan membawa bendera pasukan BN. Hasilnya terbukti apabila 11 daripada 13 calon langsung itu menang dalam persaingan yang menyaksikan BN memenangi 72 daripada 82 kerusi.

Ada kalanya idea atau formula di luar kotak perlu digarap secara serius, sekali gus dilaksanakan dengan berani untuk memberi tambahan kerusi kepada parti. Calon muda baharu misalnya yang ditampilkan parti wajar di­letakkan di kerusi yang selamat sementara peringkat ‘bertatih’.

Penyandang di situ pula yang menang dengan majoriti puluhan ribu undi harus reda beralih angin. Mengapa ada sebilangan calon sanggup meredah negeri ke negeri dalam siri PRU untuk bersaing di kerusi yang dirinya menyedari bakal bertembung dengan calon heavyweight parti lawannya? Adakah ini satu strategi atau formula untuk memastikan bilangan kerusi Parlimen dan DUN nya bercambah?

Dalam PRU-13 sebelum ini terbukti ada kebenarannya formula itu. Misalnya di Johor, ahli parlimen Gelang Patah, formulanya dengan ‘berpindah-randah’ ini berjaya dengan majoriti diraihnya mencecah 15,000 undi.

Di Bukit Katil, Melaka, ketua menterinya tempoh hari bukan setakat kalah di tangan calon ju­nior tetapi turut dikejutkan lagi dengan majoriti besar 5,733 undi. Tidak kira apa strateginya, asal sahaja boleh menang.

BN tidak boleh lagi bergantung harap kepada sistem kuota calon yang selama ini digunapakai sebagai kekuatan untuk menang. Kuota ini perlu difikirkan semula keberkesanannya jika UMNO atau BN mendambakan survival politik berterusan.

Ketika ini pun sudah ada andaian bahawa di kawasan majoriti pengundi Cina, tahap kepercayaan kepada calon parti-parti komponen BN agak kurang berbanding diletakkan calon Melayu daripada UMNO.

MCA dan Gerakan juga kata pemerhati politik, tidak boleh lagi bergantung 100 peratus kepada jentera UMNO jika berpeluang menjadi calon di kerusi majoriti pengundi Melayu. Berdikarilah untuk meraih undi.

Namun begitu pada pengamatan penulis, tidak semua kawasan majoriti pengundi Melayu harus diletakkan calon Melayu. Jika ada calon parti komponen yang terbukti berwibawa, popular, kerap turun ke akar umbi dan meraih sokongan padu, tampilkanlah.

Perlu ada mekanisme memilih calon boleh menang. Sebelum diputuskan, buat dahulu tinjauan yang menjurus ke akar umbi – pengundi boleh terima atau tidak. Tempoh 16 bulan ini sebelum mandat kerajaan memerintah berakhir Jun 2018 amat kritikal.

Adakah jentera BN sudah bersiap-siaga? Adakah telah ada wow factor? Demi perkongsian kuasa yang realistik dalam BN untuk memastikan kemenangan dalam genggaman, pucuk pimpinan parti-parti komponen BN harus praktikal. Sepatutnya sudah ada kematangan dan toleransi.

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.