Antara lain Rais menyuarakan keprihatinan: “Dalam 11 rasmi Rancangan Malaysia yang diterbitkan oleh kerajaan setiap lima tahun sekali sejak 1970 soal budaya dan tamadun telah hanya menjadi perkara sampingan da­lam usaha membina negara bangsa.”

Rais juga menyinggung tentang ‘pengabaian’ terhadap pelbagai dasar kebangsaan (termasuk Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsa­an) serta peruntukan-peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Antara akibat semuanya itu impian untuk melihat wujudnya sebuah negara bangsa yang mempunyai jati diri kebangsaan yang padu telah menjadi satu igauan. Setelah lebih setengah abad merdeka, masih ramai warganegara yang tidak fasih berbahasa kebangsaan. Malah sebahagian ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, masih bercakap menggunakan bahasa kebangsaan yang lintang-pukang.

Kemudian dalam sesi soal jawab, ternyata keprihatinan Rais itu turut dirasakan oleh tokoh-tokoh budayawan yang hadir malah telah lama menjadi ‘duri dalam daging’ dalam kalangan mereka. Kerana itu tidak hairanlah jika semua sepakat untuk mengadakan satu lagi ‘kongres kebudayaan.’

Satu lagi kongres kebudayaan diperlukan bukan sahaja kerana Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diterima dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 sekarang seakan-akan telah dilupakan, tetapi tidak kurang pentingnya adalah untuk memastikan gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang sedang digubal memberi keseimbangan saksama antara pembangunan fizikal dan bukan fizikal.

Rais menegaskan, TN50 mesti mengandungi perancangan terperinci bagaimana orang Melayu terus menjiwai kemelayuan dan keislaman manakala masyarakat majmuk jadi jitu yang bertimbal manfaat demi bangsa dan tanah air.

Semua ini mengingatkan saya pada satu pandangan yang pernah diungkap­kan oleh Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie 46 tahun lalu, bahawa “kita sekarang menghadapi ‘krisis nilai’ dalam pembinaan negara bangsa.” Krisis nilai yang dirujuk beliau hampir sete­ngah abad lalu sekarang semakin gawat de­ngan kian renggangnya hu­bungan antara kaum dan menjadi-jadinya konflik sesama Melayu dan semakin terpisah­nya masyarakat Melayu daripada nilai-nilai dan amalan budaya tinggi.

Apa yang dikesan hampir setengah abad silam, semakin dirasakan oleh para budayawan kita sejak akhir-akhir ini. Saya percaya inilah yang mendorong Rais mengambil inisiatif me­nganjurkan Kongres Kebudayaan 2017 ini dan mendapat sambutan spontan daripada pelbagai pihak.

Kongres telah terlaksana de­ngan restu pimpinan tertinggi negara dan penglibatan serta dukungan pelbagai golongan dan institusi yang terdiri dari 18 organisasi: (i) Pejabat Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, (ii) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), (iii) Radio dan Te­levisyen Malaysia (RTM), (iv) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), (v) Arkib Negara (vi) Kumpulan Utusan (vii) Yayasan Warisan Negara, (viii) Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI), (ix) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), (x) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (xi) Universiti Malaya (UM), (xii) Universiti Teknologi Mara (UiTM) (xiii) Universiti Islam Malaysia (UIM_, (xiv) Universiti Putra Malaysia, (UPM) (xv) Universiti Sains Malaysia, USM (xvi) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), (xvii) Gabungan Persatuan Penulis-Penulis Nasional (Gapena) (xviii) Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Berbeza sedikit dengan yang lazim dilakukan, Kongres 2017 ini berlangsung dengan pendekatan dan proses yang agak berlainan, iaitu sesi awal membincangkan tema-tema tertentu yang dirujuk sebagai wacana prakongres. Sesi awal ini diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka dan di lima kampus IPTA yang berlainan.

Dengan demikian institusi-institusi berkenaan terlibat lebih aktif sebagai ‘tuan rumah’ dan peserta juga lebih ramai dan me­rata. Hampir 80 resolusi/cada­ngan yang meliputi perkara bahasa/pendidikan, warisan/adat, ekonomi dan kreativiti dicatat dalam sesi-sesi prakongres tersebut.

Satu sesi khas diadakan UM pada 4 April 2017 untuk menapis, menyelaras serta menggabungkan resolusi daripada sesi sebelumnya untuk seterusnya diperakukan dalam sidang perdana kongres di UKM pada Sabtu lalu, dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berbagai-bagai isu yang me­nimbulkan keprihatinan telah disuarakan sepanjang sesi prakongres termasuk dalam sesi khas 4 April di UM. Antara isu tersebut termasuklah:

(i) Dual Language Program (DLP) minta dimansuhkan segera kerana program itu bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan adalah penjelmaan kembali PPSMI yang ternyata sangat merugikan perkemba­ngan akademik pelajar berkenaan dan sekali gus membantutkan perkembangan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu.

(ii) Pengabaian unsur-unsur kebudayaan dan pembinaan jati diri bangsa dalam rancangan-rancangan pembangunan kerajaan selama ini;

(iii) Sikap acuh tak acuh pihak berkuasa terhadap Dasar Kebudayaan Kebangsaan seperti yang telah diluluskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971;

(iv) Dangkalnya pengetahuan, pemahaman dan penghayatan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara;

(v) Keterpinggiran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam sistem pelajaran, penamaan taman-ta­man (kawasan kediaman) dan nama-nama kedai dan bangunan perniagaan serta peminggirannya di sektor komersial dan industri; serta syarat untuk jawatan-jawatan tertentu kerajaan termasuk syarat menjadi warga negara dan syarat bertanding dalam pilihan raya legislatif;

(iv) Kelonggaran pegangan ni­lai-nilai murni dan sopan santun (budi bahasa) terutama dalam kalangan generasi muda;

(v) Pengabaian pelbagai dasar-dasar kebangsaan dalam proses pemerintahan dan pentadbiran negara;

(vii) Ketempangan status eko­nomi antara kaum yang mungkin berkaitan anutan dan amalan budaya ekonomi

Pelbagai keprihatinan tersebut telah disuarakan dengan penuh emosi dan diungkapkan dengan berbagai-bagai cara. Semuanya memperlihatkan bahawa banyak kepentingan nasional yang telah diabaikan dan banyak kerugian yang perlu ditebus.

Semoga Kongres Kebudayaan 2017 ini dapat menebus khazanah budaya tinggi dan harga diri kita sudah tergadai itu.

DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah bekas Ketua Pengarah DBP yang juga Penyelaras Resolusi Kongres Budaya 2017.