JOSEPH KURUP

Malaysia, yang semua sedia maklum merupakan negara berbilang bangsa kini berdepan situasi lebih kompleks yang ditakrifkan sebagai super diversity.

Warga-warga asing dari Bangladesh, Indonesia, Vietnam, ne­gara-negara benua Afrika serta pelbagai negara lain kini berkongsi sama dengan kejiranan kita, bandar kita dan desa kita. Ini dengan secara tidak langsung turut membawa bersama nilai-nilai dari negara mereka.

Cabaran tidak hanya persaing­an dalam bidang pekerjaan, kemudahan kesihatan, pengangkutan awam dan perumahan. Tetapi risiko yang lebih besar dihadapi adalah pertembungan budaya antara warga tempatan dan warga luar ini mungkin menyebabkan rakyat Malaysia kehilangan jati diri dan identiti sendiri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, cabaran yang didatangkan menerusi situasi super diversiti ini tidak dapat dinafikan. Begitupun, katanya, perkara yang lebih penting adalah bagaimana memastikan perpaduan rakyat Malaysia kekal kukuh dalam berdepan cabaran itu.

“Setakat ini, belum ada apa-apa yang serius berlaku, tetapi apa yang saya boleh katakan, When in Rome, do as the Romans do (Apabila di Rom, lakukan seperti yang dilakukan oleh orang Rom).

“Barangkali mereka (warga asing) dapat mengikut cara kita, oleh itu mesti ada perasaan hormat-menghormati terutama orang tempatan sendiri, kita mahu mereka menghormati un­dang-undang kita, mereka patut menghormati,” ujarnya yang mengulas keadaan super diversiti di negara ini.

Ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini, Kurup mengingatkan dalam berdepan cabaran tersebut, rakyat Malaysia perlu memegang kuat nilai-nilai semangat perpa­duan yang diwariskan oleh pemimpin-pemimpin negara terdahulu dalam prinsip Rukun Negara.

Kata beliau, tidak mengira bangsa Melayu, Cina, India, bumiputera di Sabah dan Sarawak, Orang Asli mahupun lain-lain bangsa yang menjadi warga negara ini, semuanya perlu mendakap kuat Rukun Negara dalam sanubari serta menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

“Kita perlu menumpukan perhatian untuk rakyat Malaysia menghayati Rukun Negara supaya perpaduan kita dapat dipupuk dan disemarakkan serta dimantapkan dengan lebih baik lagi terutama sekali dalam kalangan belia dan beliawanis.

“Ini perlu kita buat sebab kita semua sedia maklum ini amat penting untuk kita maju terus ke hadapan terutamanya bagi merealisasikan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Tanpa perpaduan, saya percaya susah untuk kita mencapai matlamat ini,” ujarnya.

Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan dibentuk pada 31 Ogos 1970 iaitu setahun selepas tragedi 13 Mei 1969 yang menjejaskan perpaduan dan ketenteraman negara.

Lima prinsip yang dijunjung dalam Rukun Negara adalah Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Dalam pada itu, kata Kurup, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang diterajuinya telah mengambil pelbagai inisiatif untuk me­ngukuhkan perpaduan. Ini termasuk menganjurkan Konvensyen Sekretariat Rukun Negara 2017 pada 11 hingga 13 Ogos lalu yang menghimpunkan penuntut-penuntut insitusi pengajian tinggi (IPT).

“Konvensyen ini julung kali diadakan dan dihadiri lebih 350 ahli Sekretariat Rukun Negara, matlamat kita untuk menanam dalam jiwa mereka rasa cintai negara dan agar kita sama-sama dapat menjadikan negara kita ini negara yang aman damai dan harmoni,” katanya.

Konvensyen berkenaan juga mencapai matlamatnya dalam memberi pendedahan kepada pesertanya mengenai isu perpaduan, meningkatkan pengetahuan ke arah pemikiran rasional dan sederhana serta membentuk semangat patriotik.

Selain itu, ujarnya, kempen #RukunNegaraSomethingNice anjuran pihaknya bersempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini juga diharap dapat menyemarakkan lagi nilai-nilai Rukun Negara dalam kalangan golongan muda menerusi poster komuniti dan media sosial.