Sejarah beragama di Malaysia yang mana majoriti orang Melayu adalah beragama Islam sesuai dijadikan agama utama sementara Perlembagaan tidak menyekat amalan beragama dalam kalangan agama lain.

Al-Quran memberi pedoman yang sangat jelas mengenai hakikat ini iaitu – “Kamu agama kamu dan kami agama kami.” Dalam konteks surah al-Hujurat ayat 13, Islam menganjurkan asas litaarrafu atau pendekatan kekenalan atau kesalingan supaya perbezaan yang ada disantuni dan etika atau nilai interaktif dapat dikembangkan antara budaya dan tamadun.

Justeru pendekatan wasatiyah dijadikan landasan untuk mengelakkan sikap melampau terjadi dan boleh menyebabkan konflik sesama Islam dan bukan Islam berlaku. Pengukuhan nilai-nilai interaktif seperti jujur, amanah, baik sangka, kerjasama, tidak melakukan eks­ploitasi dan mempunyai rasa kemanusiaan yang tinggi boleh mencetuskan persefahaman dan kerjasama.

Dasar kerajaan memperkasakan sistem pondok, madrasah, sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan Ulul Albab boleh membawa kebaikan kepada orang Islam. Islam dulu­nya adalah agama tamadun yang menyumbang kepada barat dan timur terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Islam mendidik umatnya menjadi baik, menyubur kemakrufan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah (surah Al-Imran ayat 110). Sekiranya menerusi didikan dan tarbiah yang baik umat Islam akan menjadi umat penyumbang kepada kemajuan umat manusia.

Begitu juga penganut-penganut agama lain yang teguh dengan etika dan nilai-nilai interaktifnya ia baik untuk orang lain juga. Di Jepun umpamanya nilai-nilai interaktif Buddhisme dan Shintoisme dijadikan asas etika orang Jepun menjadi orang yang taat terhadap peraturan dan menghormati orang lain.

Hal yang sama dengan nilai-nilai interaktif dalam falsafah Konfusianisme yang terungkap dalam buku The Analect yang menganjurkan amalan cintakan ilmu, hormati ibu bapa, berlaku adil, hormati jiran dan lain-lain. Jika ia diamalkan oleh penganut Konfusianisme hubungan sesama manusia akan bertambah baik dan boleh menghasilkan budaya tinggi.

Oleh itu usaha kerajaan memperkasa aplikasi syariah dalam perbankan umpamanya adalah baik untuk mengelakkan berlakunya amalan riba, eksploitasi dan penindasan supaya keuntungan diterima dan kestabilan terjadi. Bank Rakyat malah Bank Islam umpamanya disertai oleh ramai dalam kalangan bukan Islam kerana keunikan yang dimilikinya.

Amat tidak tepat ada yang mengatakan UMNO dan Barisan Nasional tidak melakukan sesuatu untuk memartabatkan Islam dalam sistem. Untuk melaksanakannya tidak selesai dengan retorika (syarah-syarah umum) semata-mata tetapi memerlukan tekad politik dan ekonomi yang berkesan supaya perancangan berlaku dan perubahan ke arah maqasid syariah terjadi.

Keputusan kerajaan untuk menubuhkan Kolej Universiti al-Quran Malaysia (2014) bagi menghasilkan profesional huffaz adalah langkah bijak dan melihat jauh ke hadapan. Al-Quran tidak saja sifatnya tekstual untuk dibaca dan dihafaz tetapi bersifat kontekstual terkandung pedoman saintifik sebagai asas tasawwurnya (pandangan semesta).

Ia membolehkan generasi muda yang menekuni pe­ngajian al-Quran seperti di Imtiaz, Maahad Tahfiz, Ulul Albab meneruskan pengajian di tahap tinggi supaya bakal lahir sumber daya atau modal insan memiliki kelebihan ilmu urus diri (fardu ain) dan ilmu urus sistem (fardu kifayah). Sekiranya berlaku integrasi naqliah (wahyu) dan aqliah (pemikiran) generasi penerus akan memiliki dua kekuatan yang bakal merintis ke jalan tamadun.

Ilmu dan kemahiran tidak harus bersifat mekanistik semata. Ilmu dan kemahiran mesti bersama dengan etika dan nilai bukannya bebas nilai (value-free). Pendidikan dalam tradisi Islam tidak sekadar suatu proses memindahkan (transfer) ilmu dan pengetahuan daripada guru kepada murid tetapi ianya adalah proses pembentukan watak (transform) supaya wataknya menjadi manusiawi dan menjadi sumber teladan dan ikutan orang lain.