Pendidikan dikaitkan dengan adab kerana tumpuan pendidikan ialah membangun akal fikir, hati budi dan amal perbuatan hingga menghasilkan insan beradab. Insan beradab pada hemat ilmuwan Islam ialah manusia yang mempunyai disiplin berfikir yang baik terutama dalam mengambil ilmu yang benar dan bermanfaat.

Disiplin dalam pemikiran sangat penting bagi seseorang manusia. Tanpa disiplin dalam pemikiran boleh menyebabkan ilmu yang tidak benar dan tidak bermanfaat menjadi sumber.

Pemikiran tidak hanya sekadar pemikiran. Ia terkan­dung makna yang terhubung dengan hati budi. Faktor dalaman ini memerlukan sumber dari pemikiran supaya olahan hati budi membawa kepada niat yang baik.

Faktor niat menjadi sesuatu yang sangat penting bagi seseorang manusia kerana natijah amal bergantung kepada niat. Rasulullah SAW menyebutkan ini dalam hadis baginda: “Innama A’malu Binniat”, amal bermula dengan niat yang betul dan terpedoman.

Oleh sebab itu, pendidikan yang beradab dia kembali kepada pembersihan hati dan diri dalam tradisi Islam, amalan yang bersifat rohaniah memberikan kehalusan dan kecantikan hati budi kerana kita bersandarkan kepada reda Allah SWT. Sesuatu yang kita lakukan dengan niat yang betul berasaskan redha Allah bakal mendatangkan barakah.

Pendidikan pada hakikatnya ingin menjadikan manusia beradab supaya lahir ketertiban, keteraturan dan ke­susilaan dalam hidup. Sifat insan beradab ialah menyumbang kepada kebaikan dan kesejahteraan orang lain atau manusia.

Resam orang beradab tidak akan menyalahgunakan sesuatu untuk kepentingan nafsu-nafsi, sebaliknya tiap-tiap sesuatu yang Tuhan ciptakan mempunyai nilai kurnia yang tersendiri dan boleh memberi faedah kepada manusia.

Justeru, proses pendidikan tidak hanya memberi fokus kepada kemajuan akal fikir, yang amat utama ialah membangun hati budi berasaskan ilmu yang benar dan bermanfaat supaya amalan seseorang menjadi terpedoman dan terarah.

Sebagai hamba Allah, kita dididik dengan disiplin rukuk dan sujud dalam solat. Maksud rukuk dan sujud boleh membawa kepada jiwa kehambaan yang tinggi. Darinya akal tercetus jiwa taat, patuh, akur dan tunduk terhadap per­aturan Allah.

Jiwa kehambaan ini sangat penting dimiliki supaya tidak wujud perlanggaran-perlanggaran kelakuan di luar fitrah. Kita juga adalah seorang kha­lifah yang sifatnya berperanan mengurus diri dan kehidupan. Jiwa-jiwa kekhalifahan yang ditunjangi oleh jiwa kehambaan boleh menghasilkan watak-watak contoh dan teladan dalam memahami dan mematuhi perintah Allah.

Pendidikan hari ini ba­nyak memberi fokus kepada memberi maklumat, pengetahuan dan kemahiran kepada generasi muda. Ianya sesuatu yang lazim kepada sasaran pendidikan. Mengadabkan insan menuntut proses yang lebih iaitu menghubungkan data dan fakta, pengetahuan dan kemahiran dengan nilai guna yang baik. Tidak salah kita mengkaji sains dan teknologi. Semuanya itu adalah ilmu alat.

Setakat mana ia digunakan untuk manfaat dan kebaikan manusia, itu yang menjadi pertimbangan. Islam tidak menentang kebangkitan teknologi tinggi (high tech) tetapi Islam memberi keutamaan kepada sentuhan keinsanan (high touch) supaya ada kualiti manusiawi yang membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada manusia.

Pendidikan pada hemat penulis memerlukan proses integrasi dalam tradisi Islam. Pendekatan Ulul Albab (mereka yang berfikir dan berilmu) integrasi aqli dan naqli harus menjadi agenda utama untuk menghasilkan insan yang seimbang dan harmoni.

Tidak sahaja sumber wahyu diolah secara kreatif, tetapi terhubung dengan pemikiran yang benar dan bermanfaat. Walaupun ia nya masih baru di Malaysia namun pe­rancangan yang teliti dan strategik harus dilakukan supaya akhirnya pendidikan generasi muda mengalami proses Islah dan Tajdid yang bakal membawa kepada per­ubahan yang menyeluruh.

Generasi Malaysia dan generasi umat manusia memerlukan adab dalam pendidikan. Ia penting supaya generasi hari depan adalah generasi yang beradab, berakhlak tinggi dan mampu menghasilkan peradaban untuk umat manusia.

Manusia hari ini yang sedang menuju jalan yang tidak keruan memerlukan arah baru dalam pembangunan pendidikannya. Malaysia boleh menjadi model supaya menjadi sumber ikutan pihak lain.

Ia menuntut ketampilan pemikir pendidikan yang terbaik tidak sahaja mampu mengolah kurikulum dan pemikiran untuk menjadikan pendidikan bermakna tetapi ia memerlukan perancang dan pelaksana pendidikan yang faham tentang keperluan manusia menjadi manusia ber­adab.

Ilmu tanpa adab akan membawa kepada kehancuran. Ilmu yang didukung oleh adab bakal menghasilkan keter­tiban dan keteraturan dan juga akhlak mulia. Inilah yang sepatutnya menjadi agenda utama membangunkan transformasi pendidikan bagi sesebuah negara supaya natijah akhirnya negara itu akan maju, berubah, membangun dalam kerangka yang fitrah.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa 
Malaysia (UIAM).