Hang Tuah dimaklumkan bahawa kekuatan mereka juga terletak pada huruf Ta iaitu TaHa, merujuk kepada Kelab Tabung Haji. Bermula dari situ, pelajar-pelajar ini menyampaikan mesej mengenai penubuhan Kelab TaHa iaitu, menanam minat menabung sejak di bangku sekolah, menyemai rasa bangga menjadi ahli TH pada usia muda, menganjurkan program-program khas untuk manfaat tambahan kepada ahli kelab seperti Seminar Bimbingan Peperiksaan, perkhemahan ibadah dan sebagainya di samping mempelbagaikan program dan aktiviti untuk pendeposit muda. Tentunya lebih penting membangkitkan keinginan menyahut laungan Kaabah semasa usia muda. Begitulah mesej mengenai manfaat menabung di TH ketika usia muda. Meman­dangkan kos yang semakin me­ningkat, tabungan sedikit demi sedikit ini perlu digalakkan.

Semangat menyimpan perlu diterapkan sejak usia remaja. Menyelak kembali pengalaman lalu, ketika di sekolah rendah, teri­ngat bagaimana guru-guru mendidik anak-anak murid menabung melalui pembelian setem. Pejabat pos bergerak akan berkunjung ke sekolah. Murid-murid akan membuka akaun simpanan. Bagi yang tidak mampu menyimpan serta merta, ada kaedahnya iaitu de­ngan mengumpul setem. Seke­ping kad yang mempunyai ruang kosong diberikan kepada murid-murid. Mereka akan membeli setem dan menampal di kad berkenaan. Apabila sudah penuh, kad itu akan diserahkan kepada kerani pos bersama buku simpanan dan nilai setem yang ditampal di kad.

Begitulah didikan menabung suatu masa dulu. Kini zaman sudah berubah. Tidak ada lagi simpanan melalui setem itu. Sebaliknya setem dikumpul sebagai satu hobi atau untuk diniagakan pada masa hadapan. Hari ini pelbagai peluang disediakan untuk menabung terutama dalam kalangan anak-anak. Persoalannya sejauh mana anak-anak pada hari ini dididik untuk menabung? Isnin lalu, 31 Oktober berlangsung Hari Tabungan Sedunia. Kali pertama sambutan itu diadakan di Milano, Itali pada tahun 1924 bertujuan menggalakkan tabungan dan menyemai minat dalam kalangan orang ramai di seluruh dunia. Adakah budaya menabung masih segar dalam masyarakat kita? Jika tidak, usaha perlu dilakukan untuk mendidik dan menggalakkan orang ramai supaya mem­punyai kesedaran untuk me­nabung walaupun dalam nilai yang kecil. Ada yang beranggapan disebabkan kos sara hidup yang tinggi, mereka tidak mampu menabung. Mungkin pada tanggapan sesetengah orang, menabung itu perlukan sejumlah wang yang besar. Sepatutnya mereka menghayati konsep sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Dalam hal ini, Selak tertarik dengan filem pendek Tabung Masa Depan terbitan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Kisah seorang nelayan yang menghadapi kesulitan hidup secara diam-diam menabung menggunakan tabung buluh sebagai persediaan untuk anaknya, Rajesh melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Rajesh mendapat tawaran ke universiti awam tetapi me­ngenangkan bapanya yang susah, beliau berbohong belum mendapat tawaran. Beliau menyatakan hasrat untuk tidak menyambung pengajian sebaliknya mahu be­kerja untuk membantu ayahnya. Pembohongan Rajesh terbongkar. Ayahnya berang dan meminta beliau membuat keputusan. Pada masa yang sama beliau mengeluarkan sejumlah tabung buluh untuk Rajesh. Si ayah memberi­tahu: “Sejak kamu kecil ayah dah menabung untuk kamu. Ayah kumpul semua ini untuk kamu guna belajar tingi-tinggi dan capai kejayaan kamu,”. Begitulah persediaan seorang ayah untuk masa depan anaknya. Menabung walaupun sedikit demi sedikit.

Sekurang-kurangnya, si ayah ada kesedaran untuk menabung bagi tujuan pendidikan. Adakah setiap ibu bapa hari ini menabung untuk anak-anak? Bukan sekadar untuk pendidikan tetapi juga untuk keperluan lain. Simpanan bukan semata-mata menabung di institusi kewangan. Banyak pilihan, asal jangan terpengaruh dengan skim cepat kaya. Ketika ini bagi yang mampu tidak perlu lagi tabung buluh kerana institusi kewangan menyediakan pelbagai skim simpanan. Ingatlah di samping mengharapkan pelbagai pinjaman atau biasiswa, sediakan juga ‘modal’ sen­diri.

Diharapkan AKPK akan terus memainkan peranan mewujudkan kesedaran dan menyebarkan pendidikan kewangan dalam kalangan rakyat untuk mewujudkan isi rumah yang lebih berdaya tahan. Usaha ini menjurus kepada pengurusan dalam perancangan kewangan yang lebih baik serta menggalakkan amalan menabung dalam kalangan masyarakat. De­ngan adanya pelbagai skim simpanan termasuk TaHa, anak-anak kita terdidik untuk menabung. Diharapkan anak-anak kita peduli dengan syiling 10 sen yang terjatuh di atas lantai untuk mema­sukkannya ke dalam tabung.