Kejayaan tersebut melayakkan dia dinobatkan sebagai pelajar terbaik dunia dalam World Prize Winner dalam peperiksaan itu. Bukan mudah untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan ACCA yang merupakan satu daripada badan perakaunan antarabangsa yang terkemuka.

Permintaan terhadap sijil­ ini sangat tinggi yang mana ­melayakkan graduannya menjadi akauntan profesional. Buat masa ini, persatuan tersebut mempunyai lebih 500,000 ahli dan pelajar di 170 buah negara di dunia.

Kejayaan Wan Nor Mafudah menjadi kebanggaan kepada agama, bangsa dan negara. Ucapan tahniah daripada pemimpin negara dizahirkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluahkan rasa bangga kerajaan atas pencapaian cemerlang berkenaan.

Ini secara tidak langsung memberi sinar kepada sasaran kerajaan yang berhasrat untuk mempunyai seramai 65,000 akauntan tempatan menjelang 2020. Buat masa ini, negara mempunyai lebih kurang 35,000 akauntan berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Kejayaan pelajar berkenaan telah menunjukkan betapa ­pen­tingnya pendidikan apatah lagi dalam profesion profesional seperti akauntan. Tambahan pu­la, ketika dunia berhadapan dengan gelombang inovasi teknologi dan revolusi industri 4.0 (IR4.0), kepentingan pendidikan tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak.

Bagi para akauntan, MIA sebagai sebuah institusi yang diwujudkan oleh pihak kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam mendepani cabaran pendidikan berterusan dalam kalangan akauntan.

Perkembangan pengetahuan yang berlaku sejak awal abad ke-20 dan seterusnya impak IR 4.0 telah membawa seribu satu cabaran kepada profesion perakaunan. Impak perkembangan ini perlu ditangani sebaik mungkin dan jika gagal berbuat demikian, para akauntan dibimbangi mengalami sindrom kelapukan pengetahuan.

Secara umumnya, kelapukan pengetahuan selalunya berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya, kesukaran untuk mengikuti perkembangan dalam inovasi teknologi dan kegagalan memahami kehendak pelanggan yang memberi kesan besar kepada profesion.

Isu kelapukan ini membawa kepada kepentingan dan keperluan kepada pendidikan secara berterusan untuk meningkatkan dan membangunkan pengetahuan dalam kalangan tenaga profesional.

Kerjaya profesional seperti akauntan sangat-sangat memerlukan kepakaran teknikal yang pada setiap masa perlu dibangunkan, dipindahkan dan digunakan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Akauntan profesional seharusnya bermotivasi untuk memperoleh pengetahuan yang relevan bagi membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan pakar. Bagi memastikan mereka kekal relevan, cekap dan terkini, golongan profesional perlu sentiasa peka dan mengikuti perkembangan dan perubahan dalam pelbagai bidang berkaitan dengan profesion diceburi.

Dalam konteks inilah MIA memainkan peranan memperkenalkan program perkembangan pendidikan profesional berterusan atau continuos professional education. Akauntan sentiasa digalakkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti atau program tersebut bagi memastikan pengetahuan mereka sentiasa dikemas kini dan terkini.

Walau bagaimanapun, apa yang dibimbangi pada masa sekarang kurangnya penglibatan para akauntan dalam program tersebut. Dalam kajian dijalankan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), kekerapan penyertaan akauntan dalam aktiviti pembelajaran ini kurang menggalakkan.

Kajian yang telah dijalankan ke atas 258 akauntan bertauliah di firma perakaunan di seluruh Malaysia mendapati ada beberapa faktor menyumbang kepada kekerapan penglibatan akauntan dalam aktiviti atau program pendidikan tersebut.

Faktor utama dikenal pasti adalah kekurangan masa yang ada pada setiap akauntan. Faktor kekurangan masa ini berlaku atas beberapa perkara seperti beban kerja berat dan kekurangan sokongan daripada orang lain di sekelilingnya.

Selain itu, faktor lain yang turut dikesan adalah kekurangan ganjaran bermakna oleh majikan, kekurangan dana bagi melibatkan diri dengan aktiviti atau program pembelajaran dan kurang toleransi terhadap kesilapan secara negatif.

Justeru, bagi menggalakkan penglibatan akauntan dalam aktiviti pendidikan berterusan pada masa hadapan, semua pihak terutamanya majikan dan MIA perlu memainkan peranan yang lebih besar. Selain peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan pendidikan berterusan, faktor-faktor halangan kepada penglibatan seperti yang dinyatakan di atas harus dita­ngani secara bijaksana.

Seharusnya para akauntan dan semua masyarakat menjadikan kejayaan Wan Nor Mafudah sebagai inspirasi dalam usaha terus menerus untuk melibatkan diri dalam aktiviti atau program pendidikan.

Selain berhadapan dengan cabaran inovasi teknologi dan IR4.0, penglibatan akauntan da­lam program pembelajaran ber­terusan terutamanya yang ber­kaitan tatacara etika dan profesional adalah amat pen­ting. Dengannya sahaja akauntan dapat memperbaiki keyakinan awam setelah dilanda pelbagai skandal kewangan seperti Enron, WorldCom, Lehman Brothers dan lain-lain lagi.

PROFESOR MADYA DR. RAM AL JAFFRI SAAD ialah Pengarah Penerbit UUM dan Pensyarah di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (UUM).