Baru-baru ini seorang YB Ahli Parlimen bangkit menjuarakan di sesi Dewan Rakyat dan dengan lantang menyatakan: tak salah jika melakukan jenayah curi asalkan tidak kena tangkap.

Bagaikan tak percaya kita bila menonton klip video berkenaan yang sudahpun tular dalam media sosial. Dengan air muka yang serius kata-kata itu dihamburkan sehingga tidak ada ruang bagi menafsirkannya sebagai berseloroh. Klip video YB itu mencetuskan gelagat anti-nilai-nilai murni dan amalan anti-budaya tinggi. Seolah-olah rentetan kes rasuah, salahguna kuasa, penipuan dan jenayah jenis lain-lain yang dilaporkan berlaku akhir-akhir ini ada kaitannya dengan intisari ungkapan pemimpin berani kerana salah itu.

Pendapat awam seperti ini yang ditonton oleh rakyat dalam dan luar negara membawa imej Malaysia yang luntur. Video tular itu menghitamkan nilai keadilan dan keluhuran undang-undang, satu-satunya prinsip Rukunegara dan sistem perundangan negara. Pendirian begini amat pelik, rosak lagi memalukan. Bermakna perbuatan jenayah seperti mencuri, menipu, mendera manusia waima membunuh mungkin tak jadi fasal lagi asalkan pelakunya tidak ditangkap.

Secara langsung, jika menurut pendapat Yang Berhormat itu, semua jenayah boleh dilakukan asalkan seseorang yang melakukannya tidak kena tangkap. Apa yang menyebabkan pemimpin itu gamak mengeluarkan pendapat seperti ini? Bagaimana agaknya impak pandangan seperti ini di kalangan pelajar, golongan remaja dan anggota masyarakat matang? Amat menggerunkan. Pandangan seperti ini membuktikan sebahagian masyarakat kita, khasnya orang Melayu-Islam kelihatan hilang punca.

Pandangan di Dewan Rakyat ini meremehkan rule of law atau keluhuran undang-undang, satu-satunya kriteria hidup. Ia menggalakkan jenayah sebagai cara hidup, ia melemahkan tekad penguatkuasaan undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), penguatkuasa cukai, Imigresen, Kastam, Majlis-majlis agama Islam, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain. Ia akan melemahkan sistem dan pentadbiran keadilan di negara kita.

Pengertian kontranya ialah ibu bapa, guru, pasukan penguat kuasa, pemimpin, dan anggota parti politik dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digalakkan mengamalkan salahlaku secara profesional gelap dan bersistem. Boleh sahaja dilakukan sesuatu jenayah itu dengan syarat pelakunya tidak tertangkap.

Justeru tidak hairanlah, pendirian sedemikian boleh menjana skandal seperti 1MBD, salahguna dana SRC, penyelewengan dana Lembaga Tabung Haji, mengkompromi prinsip audit, penipuan dan kemusnahan ekonomi Felda dan salahguna kuasa. Apakah pendirian sedemikian bersangkutan kes-kes bekas Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri dan pegawai-pegawai tinggi dan anggota pentadbiran lain?

Jika dilihat dalam konteks dakwaan terhadap para pemimpin tinggi kebelakangan ini amat terasa bahawa seolah-olah tidak menjadi isu lagi bila seseorang itu didakwa di mahkamah dan kemudian masih dikerumuni di majlis-majlis sosial dan politik.

Undang-undang Perintah Am memperuntukkan apabila seseorang penjawat awam dikenakan siasatan berkaitan sesuatu salahlaku atau kesalahan perundangan seperti rasuah, penipuan dan lain-lain, individu itu digantung khidmatnya buat sementara. Selagi siasatan atau kesnya tidak selesai, selama itulah dia digantung jawatannya dan tidak dibenarkan berurusan dengan masyarakat.

Sebaliknya, dalam kes-kes anggota pentadbiran, ahli Parlimen dan penjawat jawatan politik penggantungan jawatan dan fungsi tidak dikenakan. Situasi begini sekali gus mempersoalkan kesaksamaan undang-undang khasnya di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang. Sementelahan pula, pihak-pihak yang telah dihadapkan ke mahkamah mutakhir ini, mereka begitu bebas dan berleluasa menceburkan diri dalam kegiatan interaksi dengan orang ramai sedangkan anggota pentadbiran awam, dalam tempoh perbicaraan, terpaksa mematuhi syarat-syarat penggantungan khidmat mereka sehingga keputusan kes masing-masing selesai di mahkamah.

Sudah sampai masanya bagi anggota pentadbiran seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri-menteri Kabinet, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Setiausaha Politik, Ahli Parlimen serta jawatan-jawatan politik yang lain menerima layanan seperti yang diterima penjawat awam. Ini amat penting dijadikan amalan wajib demi teladan dan menghormati Perlembagaan negara dan tuntutan rule of law – satu-satunya istilah yang kerap disalah mengerti oleh masyarakat

Bagi kerajaan PH yang berkuasa kini isu keluhuran undang-undang yang amat perlu disebarluas ialah pengertian keluhuran undang-undang itu sendiri yang membawa prinsip ‘perimbangan hak’ dan ‘perimbangan kuasa undang-undang’.

Generasi kini dan mendatang wajib jangan keliru atau disesatkan. Selagi pelaku rasuah dan jenayah belum lagi selesai kes dan penghakiman di muka keadilan, selama itulah mereka wajib dilarang berfoya dan bercengkerama dengan masyarakat umum.

Jika undang-undang yang dikuatkuasakan lain bagi penjawat awam dan lain bagi penjawat politik, senario tersebut akan memporakperandakan Malaysia dan rakyatnya. Lagi segera dikemaskini perundangan dan amalinya lagi baik buat negara
.

TAN SRI DR. RAIS YATIM ialah budayawan dan pengamal undang-undang.