Seorang yang mahir dalam permainan bola sepak mungkin tidak mahir dalam penulisan. Seorang pakar bedah mungkin sukar menjadi pakar dalam bidang kewangan. Hal sedemikian berlaku kerana untuk memahirkan diri sendiri dalam semua bidang adalah mustahil. Sukar untuk seorang pelajar yang bijak dalam bidang sains, mahir juga dalam bidang sastera. Tidak terkecuali, seseorang yang mahir dalam perniagaan, mungkin sahaja tidak mahir dalam bidang pendidikan. Itu perkara lumrah.

Penting bagi setiap manusia mengenal pasti dan mencungkil potensi diri sejak awal. Selepas itu melakukan yang terbaik de­ngan mendapat kerjasama semua pihak berkaitan terutamanya sokongan daripada ibu bapa.

Misalnya, sebuah keluarga yang mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada kerajaan kerana berpendapatan rendah tidak mustahil suatu hari nanti, anak-anak mereka berjaya dalam bidang pekerjaan masing-masing sehingga melonjak pendapatan keluarga kepada isi rumah berpendapatan tinggi. Ini boleh sahaja berlaku.

Banyak bukti di sekeliling kita. Golongan miskin suatu ketika dahulu kini berpendapatan tinggi. Mereka berjaya bukan kerana takdir semata-mata tetapi juga kerana sentiasa berusaha tanpa kenal erti putus asa untuk memperoleh sesuatu. Tidak boleh sekadar tidak berbuat apa-apa tetapi ­berangan untuk menjadi golongan berada atau sekurang-kurang­nya keluar daripada kepompong kemiskinan. Sebagaimana Malaysia memiliki potensi besar dengan memiliki sumber alam semula jadi yang dikurnia-Nya.

Seseorang yang bijak akan mampu melonjak potensi dirinya yang sebenar. Bijak dalam me­ngatur hidup dirinya tanpa terlalu bergantung kepada orang lain.

Bijak dalam menangani pelbagai tekanan hidup yang mungkin sahaja boleh memberi penangan besar kepada mereka yang tidak mampu mengharunginya. Bijak juga dalam menggunakan maklumat di sekelilingnya dengan mengenal pasti apa yang benar dan apa yang palsu supaya tidak ditipu daya oleh pihak lain.

Alangkah indah seorang yang telah berjaya melonjak potensi sebenar dirinya sehingga berjaya mencapai impian dan cita-cita­nya, membantu orang lain supaya berjaya bersama. Inilah yang dikatakan sebagai saling bantu membantu supaya masyarakat lebih sejahtera. Sudah tentulah, di hati setiap manusia mahukan kehidupan aman dan sejahtera tanpa adanya persengketaan atau perseteruan sehingga sanggup memperjudikan nasib orang lain.

Ingatlah orang yang bersyukur kerana telah berjaya melonjak potensi sebenar dirinya pada tahap terbaik tidak akan sesekali meng­aniaya atau memudaratkan orang lain. Ingatlah setiap daripada kita sebenarnya memiliki hak ke atas orang lain. Begitu juga, orang lain memiliki hak ke atas kita.

Cuma usahlah sesekali beranggapan bahawa segala kejayaan diperoleh tanpa dibantu orang lain. Seorang jutawan hatta bi­lionair sekalipun yang telah berjaya melonjak potensi sebenar dirinya mustahil boleh berjaya tanpa bantuan orang lain.

Mereka yang berasakan diri­nya berjaya hanya kerana dirinya amat bagus adalah seorang yang terlalu taksub diri sendiri sehingga sukar menerima hakikat diri­nya telah dibantu orang lain. Lebih malang lagi, golongan sebegini tergamak melihat nikmat diperoleh orang lain tidak lagi berada pada orang tersebut.

Sifat inilah perlu dibuang jauh-jauh kerana boleh mero­sakkan masyarakat. Kesan positif ­melonjakkan potensi sebenar sukar diperoleh tanpa adanya sifat untuk melihat orang lain berjaya kelak.

Malaysia mustahil boleh me­lonjak potensi sebenarnya pada tahap terbaik jika masyarakatnya tidak berusaha melonjak potensi sebenar dengan saling bantu membantu. Situasi ‘menang-menang’ perlu dibudayakan bersama-sama agar dapat mengharu­ngi segala rintangan yang mungkin sahaja menggunakan pelbagai pendekatan termasuklah strategi lautan biru.

Jika kita terlalu jumud dek kerana bimbang orang lain lebih baik berbanding kita tanpa memahami erti sebenar setiap manusia memiliki potensi masing-masing, maka akan terbentuklah masyarakat tidak harmoni. Ingatlah, apa yang diperoleh kita tidak akan kekal selama-lamanya.

Yakinlah setiap daripada kita memiliki potensi dan kekuatan masing-masing. Dengan ini, kejayaan itu boleh dikongsi bersama-sama dengan orang lain.

Ketika itu, baharulah kita mengetahui betapa sukarnya memperoleh sesuatu kecuali dengan sentiasa berusaha untuk mencungkil potensi sebenar diri sehingga melonjakkannya ke tahap terbaik demi manfaat diri dan orang lain.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).