Apa sahaja budaya positif serta amalan baik penduduk Jepun - daripada kebersihan, menghormati orang, sikap menepati masa, tekun bekerja dan rajin belajar - cuba diserapkan dalam diri setiap ahli rombong­an yang terdiri daripada lapan pelajar dan enam kakitangan UIAM.

Pensyarah Jabatan Sains Marin UIAM, Prof. Madya Dr. Shahbudin Saad yang mengetuai lawatan itu berkata, walaupun penerapan budaya positif penduduk Jepun adalah sesuatu yang dianggap terlalu ‘sempurna’ untuk dilaksanakan sepenuhnya, namun menjadi harapan beliau sedikit sebanyak dapat dijadikan amalan.

“Memang diakui lawatan ini tidak dapat mengubah secara mendadak sikap seseorang peserta, namun sekurang-kurang­nya adalah sedikit perubahan sikap terutama dalam perkara berkaitan amalan kebersihan,” katanya yang juga Pengetua Kolej Kediaman Mahallah Khalid Al-Walid, kampus Kuantan, Pahang.

Beliau akui untuk mengubah sikap seseorang itu seelok-eloknya dilakukan sejak masih kecil atau zaman kanak-kanak lagi. Namun masih belum terlambat untuk menyemai sifat-sifat positif seperti bertanggungjawab kepada generasi muda.

Sepanjang lawatan tersebut, pelajar dan kakitangan UIAM berkesempatan bertemu dan bertukar-tukar fikiran serta peng­a­laman dengan beberapa rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di negara berkenaan.

Dua pusat pendidikan tinggi yang terkenal dalam bidang kejuruteraan dan perniagaan turut dilawati iaitu Universiti Nasional Yokohama dan Universiti Tokushoku.

Semasa kunjungan ke Universiti Tokushoku, pertemuan de­ngan Penasihat Pengajian Luar, Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Katsura Suifun memberi harapan baharu kepada UIAM memulakan era kerjasama dengan universiti berkenaan.

Kali terakhir UIAM mengadakan kerjasama dengan Univerisiti Tokushoku ialah kira-kira 28 tahun lalu.

Menurut Suifun, menjadi harap­an pihaknya satu memorandum persefahaman dapat dime­terai melibatkan kerjasama dua pihak termasuk dari segi pertukaran pelajar serta aktiviti lain.

“Pihak universiti ini sentiasa mengalu-alukan kerjasama de­ngan UIAM dan kami berbesar hati untuk meneruskan kerjasama ini terutama dalam pertukaran ilmu,” katanya.

Pengalaman menarik bagi peserta lawatan apabila berpeluang me­rasai sendiri air paip yang disalurkan ke kediaman penduduk, boleh terus diminum tanpa perlu ditapis atau dimasak terlebih dahulu.

“Ini sesuatu yang menarik. Amalan kebersihan bukan sahaja berkaitan sampah-sarap dan penjagaannya di tempat awam, malah melibatkan kebersihan air paip di rumah-rumah,” kata pengarah prog­ram yang juga pensyarah UIAM, Dr. Muhammad Zahir Ramli.

Beliau yang sebelum ini pernah menuntut dalam bidang sains marin di Jepun berkata, sikap kepemimpinan termasuk di peringkat universiti antara lain ialah tidak membezakan seseorang ketua dengan pengikut.

“Sebagai ketua kita perlu me­nunjukkan kepada pengikut bahawa sesuatu tanggungjawab itu perlu dipikul secara bersama. Manakala pengikut pula diberikan peluang untuk memimpin (menjadi ke­tua) dalam keadaan tertentu dan ini boleh menyerlahkan lagi sifat kepemimpinan seseorang,” katanya.

Program tersebut turut ber­kesempatan mengadakan perbincangan dan soal jawab dengan pejabat Kedutaan Malaysia di Jepun.

Setiausaha Pertama di pejabat Kedutaan Malaysia di Jepun, Mohd. Ishrin Mohd. Ishak semasa berdialog menegaskan, terlalu banyak peluang boleh direbut di negara itu.

Ini termasuk sektor industri halal yang kini menjadi fokus Jepun khususnya dalam aspek penyediaan makanan di perkampungan atlet menjelang Tokyo menjadi tuan rumah Sukan O­limpik 2020.

Selain bidang perniagaan, rakyat Malaysia juga berpeluang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai pengkhususan seperti kejuruteraan, perniagaan, elektronik, automobil dan banyak lagi.

Bagi pelajar jurusan Sains Tumbuhan Gunaan UIAM yang juga Presiden Mahallah Khalid Al-Walid, Muhammad Najib Abdul Malek, peluang bertemu pelajar Malaysia yang sedang menuntut di negara berkenaan memberi harapan baharu kepadanya untuk meluaskan lagi bidang pengajian.

“Kunjungan ke Universiti Nasional Yokohama dan Universiti Tokushoku memberi pendedahan bagaimana sesuatu pengurusan kolej kediaman selain perpustakaan itu dilaksanakan dengan penuh sistematik.

“Kemas serta bersih dengan peraturan-peraturan menarik seperti tidak boleh makan atau minum dalam bangunan, memperlihatkan tahap kebersihan yang tinggi amalan penduduk Jepun

“Ini ada kaitan dengan kepemimpinan. Keadaan ini menyebabkan struktur bangunan universiti tersebut sentiasa terjaga dan bersih serta seolah-olah sepanjang masa baharu,’’ katanya.

Apa pun juga hasilnya daripada lawatan tersebut, adalah diharap ia bukan sekadar jangka pendek sebaliknya dapat menerapkan lagi semangat kepemimpinan dalam kalangan pelajar UIAM serta pelajar Malaysia secara amnya.

Malah, melalui program tersebut UIAM berhasrat untuk mengadakan rangkaian yang lebih meluas dengan memeterai memorandum persefahaman dengan dua universiti di Jepun itu yang melibatkan pertukaran maklumat, pelajar dan kakitangan.

Langkah ini memperlihatkan kesungguhan bagi merebut serta mempelajari sikap dan budaya positif penduduk Jepun untuk diamalkan di negara sendiri.