Sepanjang jalan melalui Lebuh Raya Pantai Timur saya dapat menyaksi wargakota mengambil hari minggu mereka bergerak bersama-sama kenderaan pacuan empat roda membawa apa sahaja muatan bantuan yang ada ke destinasi masing-masing.

Ternyata refleksi spontan semulajadi rakyat Malaysia di tika negara sedang menghadapi bencana cukup hebat sekali. Syabas! Perjalanan kami memakan masa selama kira-kira dua jam setengah. Selepas me­lalui pintu tol Chenor, konvoi kami melalui kawasan pekan dan mulai memasuki ke kawasan kampung.

Untuk tiba di kampung Kertau ia terpaksa melalui beberapa kawasan. Antaranya menyeberangi sebuah jambatan merentasi Sungai Pahang. Jambatan itu cukup besar selebar sungai Pahang yang cukup terkenal itu.

Kenderaan-kenderaan pacuan empat roda kami berserta tiga buah bas dan kenderaan lain, termasuk pasukan perubatan dan pergigian, pasukan motosikal sehelaibaju.com serta tiga buah lori penyembur air berkuasa tinggi dan janakuasa diesel terus melalui jalan yang menyusuri sungai itu. Sepanjang jalan kesan-kesan banjir sudah kelihatan.

Dalam kenderaan Land Rover Defender Double Cab yang saya naiki bersama Datuk Ramli Mohd. Nor dan pemandunya, kami dapat melihat kesan paras selut yang masih melekat setinggi satu ke dua meter di atas pokok.

“Ini sudah dahsyat,” kata Ramli, seorang saudagar industri mi­nyak dan gas, anggota alumni kami. Land Rover kami meranduk lumpur yang masih basah dan likat. Roda ken­deraan itu menyembur lumpur ke cermin hadapan. Pemandu Sham terpaksa memancutkan air ke cermin bagi memberinya penglihatan untuk memandu.

Kami tiba di lokasi di Sekolah Kebangsaan Kampung Kertau, lokasi misi kami. Pihak bomba sedang mencuci jalan sekolah. Penduduk kampung sudah ramai tunggu di situ.

Di wajah mereka ada kemuraman. Kesedihan. Riak muka yang kita lihat; berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semasa banjir memuncak di akhir 2014 -- dua minggu lalu, air naik hampir ke tingkat dua daripada tiga tingkat sekolah itu. Semuanya seperti la­utan. Di situlah tempat penempatan beratus penduduk kampung.

Ia umpama tsunami. Saya tidak pasti mahu menggambarkan ia sebagai tsunami kecil atau besar. Mungkin di situ tsunami kecil berbanding tsunami besar di Kuala Krai, Kelantan. Kami mengambil kesempatan meninjau ke kawasan kampung itu. Semuanya musnah. “Tiada apa yang tinggal lagi,” kata seorang makcik. Inilah sahaja pakaian yang ada. Oleh kerana kampung itu jauh dari pekan atau bandar, makanan juga sukar.

Di sebuah rumah yang dilawati, memasak terpaksa menggunakan dapur kayu api, seperti di tahun-tahun 70an, sementara menunggu bantuan tiba. Alhamdulillah semasa kami tiba. Air bersih paip sudah mula disalurkan. Tapi perkhidmatannya kadang-kala tergendala. Kanak-kanak kelihatan berlari ke sana ke mari. Kehidupan harus diteruskan.

****

MISI sehari kami di kampung Kertau kemudian disertai oleh Yang Amat Mulia, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Baginda mencemar duli turun meninjau ke segenap pelosok kampung sejak bencana banjir sedang memuncak lagi.

Tepat sekali tempat yang diminta oleh Tengku supaya kami mengadakan misi kemanusiaan ke situ, kata saya kepadanya.

“Kan ini negeri saya. Saya tahulah mana yang teruk,” titah baginda berseloroh membahasakan dirinya saya sahaja.

‘‘Saya sudah pergi merata, naik bot, perahu, pacuan empat roda, helikopter untuk meninjau rakyat jelata dan memberi bantuan.

“Ada satu ketika saya terpaksa meredah bot membawa makanan ke rumah yang terperangkap. Kea­daan mereka cukup seksa sekali,” katanya semasa kami berhenti rehat untuk santapan dengannya.

Karekter baginda cukup mesra. Suka bercerita. Sekali makanan disuap sekali baginda bercerita. Tengku turut bercerita suasana di Kuala Tahan yang paling teruk dilanda banjir. Baginda begitu down to earth -- merendah diri. Kami semua begitu mesra dengannya.

Sebelum rombongan kami tiba dengan tukang masak diketuai oleh Puan Zainab Omar, kami diberitahu oleh seorang rakan baginda, yang juga ahli exco alumni, Fandi Dollah supaya sediakan juadah untuknya.

“Tengku makan sardin dan telur goreng pun boleh. Baginda amat simple,” kata Fandi.

Ternyata semasa di meja santapan itu baginda juga cukup sensitif dan kritikal dengan kerja-kerja operasi banjir.

“Setelah lebih 57 tahun merdeka sepatutnya kita sudah jauh bersiap sedia. Jika banjir di Pahang mi­salnya semua pihak keselamatan negeri lain harus digerakkan segera.

“Dalam magnitud sebegitu besar sepatutnya semua bot-bot penyelamat, peralatan dan anggota dari negeri-negeri lain perlu digerakkan segera ke negeri terjejas.”

Ternyata ada dari raut muka baginda ada sedikit kekecewaan mengenai soal-soal pengendalian dan koordinasi bencana.

“Takkan kita nak harapkan sekolah lagi sebagai pusat penempatan mangsa. Kita sepatutnya sudah membina pusat-pusat tetap di kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir besar. Sekolah pun tenggelam juga.” Sesungguhnya anak raja ini yang mesra dipanggil Ku cukup hebat.

“Makanlah. Rasa rendang ini, rendang kancil, saya memang suka,” titah baginda. Memang sedap rendang itu, yang tiada dalam menu tukang masak alumni kami.

Baginda hampir tak tumpah se­perti sifat ayahandanya Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang tidak akan terlepas peluang turun padang setiap kali bencana menimpa anak-anak negerinya.

Apa yang nyata melalui laporan media, raja dan anak-anak raja Melayu mencemar duli turun ke padang menyelami kesusahan anak negeri masing-masing. Tuanku Sultan Nazrin Muizuddin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Raja Zara Salim meninjau rakyat baginda yang menghadapi banjir di Perak, termasuk di Kuala Kangsar.

Begitu juga Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, Tengku Muhammad Faris Petra yang dilaporkan turun secara senyap-senyap membantu rak­yat baginda yang menghadapi musibah paling teruk sejak lebih 50 tahun.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jama­lullail turut meranduk air meninjau mang­sa-mangsa banjir di negeri jajahan ba­ginda. Kepada semua raja-raja Melayu, patik semua rakyat jelata Menjunjung Kasih yang teramat sa­ngat.

DAULAT TUANKU!!!