Tindakan balas kepada pemecatan itu bagaikan taufan yang Trump mungkin tidak jangkakan. Sebaik-baik saja Comey dipecat, maka persoalan pertama yang timbul ialah mengapa perkara itu berlaku. Ini kerana FBI di bawah teraju Comey itu sedang menyiasat proses kempen Trump sebelum pilihan raya sama ada terdapat campur tangan Rusia. Maka tentu Trump disyaki menghalang siasatan dengan memecat Comey.

Jadi banyak rakyat Amerika mula bertanya mengenai tangan-tangan ghaib di belakang Trump. Inilah apa yang disebut sebagai The Russian Thing yang sedang menghantui pentadbiran Trump. Persoalannya adalah, terdapatkah tangan-tangan Rusia mendalangi Pilihan Raya Presiden Amerika bagi membolehkan kemenangan Trump.

Pada Rabu lalu, Trump berdepan dengan para wartawan Amerika yang beliau musuhi (beliau hanya berbaik dengan Fox News) dan berkata bahawa Rusia tidak terlibat dalam kempennya, iaitu setakat yang beliau tahu. Baginya The Russian Thing ini adalah konspirasi golongan liberal hendak menjatuhkan beliau. Tetapi sejak lebih 100 hari memegang tampuk pentadbiran Amerika, Trump mempunyai reputasi seseorang yang tidak bercakap benar, hinggalah timbul konsep fake news (berita palsu), alternative facts (fakta alternatif) dan post-truth atau pasca kebenaran.

Tetapi kalaulah Rusia benar-benar melakukan campur tangan dalam proses demokrasi Amerika, apakah motifnya? Sememangnya perkara ini mudah difahami ketika berlaku Perang Dingin sebaik saja Perang Dunia Kedua berakhir. Amerika dan Soviet Union sedang bersaing hendak menguasai dunia.

Untuk memahami asal-usulnya pula, seseorang perlu melihat persaingan kuasa-kuasa besar Eropah sebelum Perang Dunia Pertama, yang berkait pula dengan Revolusi Industri.

Keruntuhan feudalisme membawa kepada kapitalisme. Sistem kapitalisme melahirkan Revolusi Industri. Kemuncak pada kapitalisme adalah imperialisme di mana kuasa-kuasa Eropah mempunyai tanah-tanah jajahan untuk mendapatkan sumber bahan mentah dan juga pasaran.

Pertembungannya membawa kepada peperangan. Mercu tanda perkembangan ini ialah Perang Besar yang kini dikenali sebagai Perang Dunia Pertama.

Penindasan terhadap golongan pekerja membawa kepada pemberontakan yang melahirkan fahaman sosialisme, komunisme dan anarkisme. Maka peristiwa terbesar dalam perkembangan ini ialah Revolusi Rusia yang melahirkan Soviet Union pada tahun 1917. Matlamat Soviet Union bukan saja Rusia dan bekas tanah jajahannya di Asia Tengah. Misi komunismenya adalah untuk menguasai dunia.

Kesempatan ini muncul apabila kalahnya kuasa-kuasa paksi pimpinan Jerman yang berfahaman fasisme. Soviet telah dapat menguasai Eropah Timur dan Eropah Tengah. Secara keseluruhan pula di Asia, komunis telah menguasai China, Korea Utara dan Vietnam Utara.

Retorik

Jadi Amerika pun muncul sebagai kuasa utama bagi menghalang Soviet Union dan komunisme menguasai dunia. Dalam Perang Dingin ini Amerika tidak mengambil kira soal demokrasi dan hak asasi. Apa yang penting ialah menghalang Soviet dan komunisme daripada menguasai dunia.

Tangan Amerika berada di mana-mana. Campur tangan dilakukan baik secara terang atau tersembunyi. Amerika mempunyai dua agensi untuk perkara ini, FBI dan Agensi Perisikan pusat (CIA). FBI untuk dalam negeri. CIA untuk luar. Perlawanan menentang komunisme ini dilakukan dalam pelbagai lapis peringkat: politik, ekonomi, budaya, ideologi, diplomasi, perang dan perisikan. Pihak Soviet juga menggunakan kaedah yang serupa. Agensi perisikannya ialah KGB dan pertembungan Amerika-Soviet mengorbankan jutaan jiwa sepanjang Perang Dingin.

Tetapi mangsa utama pertembungan ini ialah kebenaran, keadilan, kedaulatan, demokrasi dan hak asasi. Kedua-dua pihak menggunakan berita palsu untuk propaganda. Tetapi akhirnya Soviet tumbang dan komunisme jadi program politik nasional dan lokal saja. Pada tahun 1989, yang menggantikan Soviet Union ialah Rusia. Negara-negara komunis hanya tinggal lima dan mereka sudah hilang cita-cita menguasai dunia. Tidak ada lagi tangan-tangan Moscow mahu campur tangan politik mana-mana negara.

KGB sudah dibubarkan. Rusia di bawah Boris Yeltsin sudah menjadi negara biasa tanpa cita-cita. Mereka hanya mahu jadi negara liberal seperti negara Barat lain. Tidak timbul langsung bahawa Moscow akan campur tangan terhadap Amerika. Maka Amerika tumpukan perhatian pada kepentingannya, iaitu minyak dan Israel. Pada tahun 1990-an, pencabar Amerika adalah Iraq dan Iran. Tetapi masalah Iraq itu melarat hinggalah berlaku serangan 11 September oleh al-Qaeda. Maka Amerika sudah mempunyai sasaran untuk disibukkan.

Tetapi Amerika tidak membiarkan Rusia begitu saja. Negara itu masuk ke negara-negara bekas Soviet di Asia Tengah, malah sampai ke Chechnya. Sementara itu Amerika tidak membubarkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sedangkan pada asalnya ia bertujuan untuk menghalang Soviet. Sebaliknya Moscow sudah bubarkan Pakatan Warsaw yang merupakan pesaing kepada NATO.

Sebaliknya NATO memperluas pengaruhnya hingga ke sempadan Rusia. Apabila Yeltsin digantikan dengan Vladimir Putin, dasar luar berubah. Putin menggantikan lagu kebangsaan Rusia dengan lagu kebangsaan Soviet tetapi dengan meminda senikata. Beliau campur tangan dalam Ukraine dan mengingatkan Amerika supaya tidak masuk ke rantau yang pada tradisinya merupakan wilayah pengaruh Moscow. Rusia tidak mahu kembali pada matlamat geopolitik komunis Soviet.

Tetapi Putin yang merupakan bekas perisik KGB menetapkan bahawa Rusia akan menghalang sebarang campur tangan Amerika ke dalam wilayah geopolitiknya. Hubungan Moscow dan Washington berada dalam kurang selesa semasa Presiden Barack Obama.

Hillary Clinton pula dijangka akan meneruskan legasi Obama jika menang pilihan raya. Maka dalam keadaan sepanjang kempen Pilihan Raya Presiden tahun lalu, Trump seringkali memuji Putin dan menggambarkan bahawa Rusia adalah negara sahabat.

Retorik sebegini tentu menjadi bahan kecaman daripada kalangan Parti Demokratik. Di penghujung kempen itu pentadbiran Obama mendapati bahawa terdapat bukti berlakunya campur tangan Rusia dalam Pilihan Raya Amerika. Ekoran kejadian ini, Obama mengarahkan beberapa sekatan ke atas Rusia.

Sejak Trump menang, segala percakapan dan tindakan dan lantikannya menggambarkan kecenderungan untuk mesra dengan Rusia. Trump melantik bekas Pengarah Agensi Perisikan Pertahanan (DIA), Micharl Flynn sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan (NSA) beliau. Flynn terpaksa meletak jawatan setelah hanya 24 hari berkaitan dengan Rusia juga. Flyn juga sedang disiasat oleh FBI.

Apa yang dihadapi oleh Trump adalah berat. Menghalang siasatan boleh membawa kepada pemecatannya. Buat masa ini Parti Republikan yang menguasai Kongres masih menyokong beliau.

Walaupun Comey mengiktiraf bahawa Trump berhak memecatnya tetapi di saat hari akhirnya sebagai pengarah FBI, siasatan masih dijalankan terhadap campur tangan Rusia dalam proses demokrasi Amerika. Mungkin Putin memang mahukan Trump menjadi Presiden Amerika supaya kuasa besar itu berada dalam kekacauan dan tidak sempat mengganggu rantau kepentingan Rusia di mana-mana bahagian di dunia.