“Cuaca dah nak hujan ni,” bisik Bourgenvile kepada jirannya Hisbiscus. Mereka kelihatan girang kerana bakal mendapat habuan lumayan hasil turunnya hujan itu. Tak perlu mendapatkan khidmat makhluk lain untuk menyuapkan air.

“Ya, kan dah bulan Ogos ni,” balas Hisbiscus. Mereka menunggu penuh harap. Sejak dua tiga hari ini cuaca memang tidak menentu, transisi sebelum musim tengkujuh sebenar melanda. Baru-baru ini El Nino menyebabkan bumi tandus dan gersang. Kini giliran La Nina pula mengambil posisi.

Di paparan horizon, cuaca mula kelam. Langit lazuardi menjadi hitam. Angin basah yang diutus membawa sama khabar gundah. Cemara dan Adenium di laman bangglo itu menari-nari laju ke kanan kiri. Gemuruh halilintar bersahut-sahutan menakutkan fauna yang menyusup masuk ke habitat masing-masing.

Sangkar burung tekukur yang tersangkut di birai anjung terbuai-buai deras. Jantan berkuku ketakutan kerana sesekali kilat menyimbahi wajahnya yang basah tempias air hujan. Beberapa ekor ayam peliharaan bergegas memecut ke gok mencari perlindungan.

Rebas hujan rintik mula menyimbahi gazebo dan laluan pesiar kaki ke laman. Seorang lelaki lagak supir berlari-lari anak masuk ke garaj. Sejenak tadi cuaca tenang, hanya sepoi-sepoi bahasa sahaja walaupun di angkasa kelam sejak semalam.

Sebentar tadi sempat juga dia melunasi kerja menarah dan mencantas Hisbiscus Rossa yang mula galak membesar. Musim begini memang tumbuhan mudah biak dan subur, tak perlu baja ditabur. Begitu juga dengan rerumput meliar yang menjadi musuhnya sejak dahulu. Terus sahaja ambil kesempatan mengisi ruang apabila hujan begini.

Beberapa hari lalu orkid hutan Tiger berbunga, indah dan kembang cantik bunganya. Belang-belang coklat kekuningan dan besar bukan mainan. Sesekali pandang memang macam corak Pak Belang. Tapi hari ini sebahagiannya sudah terlindung dek sendayan dan lalang.

“Aku tanam orkid, kau yang tumbuh. Time aku tanam kau, tak ada pula orkid yang naik,” kedengaran suara Pak Supir merangkap tukang kebun itu membebel seorang diri, sambil mengait helai-helai lalang dan sendayan yang nakal.

Hujan merebas turun kian lebat. Angin kuat yang tadinya menyapa mulai reda sedikit. Dedaun Hibiscus, Bourgenvile dan palmaecae berkilat-kilat terkena simbahan air kurniaan Tuhan. Mergastua dan fauna lain sudah tidak lagi geger memenuhi ruang di langit dan di bumi.

Banglo agam itu juga seakan tiada berpenghuni, sunyi dan sepi. Barangkali semua populasi sedang enak diulit mimpi. Tadi nampak juga kelibat supir menjengah-jengah laman, tetapi selepas dentuman kuat sang halilintar, dia lantas menyusup masuk ke setor belakang langsung tak keluar-keluar.

“Nak banjir nampak gaya ni, Rossa?” orkid Tiger menyapa. Kelihatan beberapa kuntum sepal bunganya yang gugur alahan hujan dan bayu. Hisbiscus Rossa angguk-angguk setuju. Kegirangan menyambut hujan mulanya, kini berpindah rasa. Khabarnya air di kuala sudah mula naik dan melimpahi tebing. Beberapa penduduk kampung juga telah dipindahkan ke kawasan lain.

Sudah empat hari hujan tidak berhenti-henti menyimbahi bumi. Pihak berkuasa telah memberi amaran dan arahan bersiap-siaga kepada penduduk. Namun tiada pelan kontigensi menyelamat untuk tumbuhan. Tika cuaca panas, mereka jadi penaung kenderaan yang parkir di bawah cemara dan palma. Atau bunga raya yang pelbagai warna itu dijadikan suntingan dara pujaan. Apa lagi dendrohium, catleya dan speseis lain orkid yang terus jadi hiasan hotel lima bintang.

Sah! Banjir telah melanda petempatan itu seperti selalunya. Gelombang lautan telah menceroboh pantai dan bertembung lambakan air di daratan. Semacam tsunami kecil layaknya apabila ribut dan taufan turut sama mengongsi panorama alam.

Di sana-sini kelihatan penduduk berpindahan dengan pelbagai kaedah . Ada yang menaiki perahu, rakit buatan sendiri, dan bot bantuan. Bagi kawasan yang masih boleh diredah, pacuan 4x4 menjadi pilihan. Tak kurang juga yang mengharung air sedalam pinggang hingga ke bahu itu menuju kawasan selamat.

Sandang pangan dihulurkan ke pusat pemindahan oleh pelbagai pihak dan badan NGO serta sukarelawan. Makanan, pakaian, minuman dan keperluan lain bertimbun-timbun. Kadang-kadang lebih melimpah ruah pula. Ada yang dibuang begitu sahaja, tidak kurang yang memilih barang berkualiti sahaja untuk diguna. Yang lain disepahkan begitu sahaja…hai, membazir pula jadinya.

Palma dan cemara melihat sahaja gelagat manusia yang tiada hirau langsung speseis sepertiinya. Bouergenvile telah tenggelam , tinggal hujung-hujung pucuknya sahaja yang sesekali tenggelam-timbul. Begitu juga orkid Tiger dan herba renek lain yang lebih kecil.

“Cemara, Palma…air dan sampai ke puncak ni…tolong aku…” suara bourgenvile tersekat-sekat sadis namun tiada siapa mendengarnya. Aliran air yang deras dan kotor itu menambah azab baginya.

“Bersabarlah, Bouergenvila..berserah kepada yang Maha Pencipta..kami tak dapat membantu..” lirih suara Palmaecae, tanda kecewa dan tiada upaya. Dan akhirnya suara itu hilang bersama arus deras. Dapat dibayangkan betapa dinginnya air yang menyaluti batang tubuh mereka. Cemara dan palma masih bersyukur kerana punya lapisan kulit luar yang keras dan betah menahan kesejukan.

Keadaan air bertahan untuk beberapa hari ini. Hujan sudah tidak lagi turun segalak kelmarin, namun keadaan air pasang yang bertembung itu membuatkan air tiada tempat untuk dialirkan. Di beberapa kawasan bau hanyir dan busuk bangkai fauna mula memualkan. Beberapa kali juga Palmaecae betina muntah-muntah, luga kerana tidak tahan dengan lender haiwan yang melekat di ranting dan dedaunan. Betapa azabnya menahan pekat lumpur yang membaluti tubuhnya.

Air mulai surut perlahan-lahan. Kebanyakan penduduk yang berpindah telah kembali ke habitat masing-masing. Begitu juga dengan tuan punya banglo agam dan Pak Supir. Beberapa hari ini proses membersih tinggalan kotoran dan baik-pulih mana-mana kerosakan giat dijalankan.

Perlahan-lahan Bouergenville dan Tiger membuka matanya. Kelopak yang berselirat dan likat dengan lumpur perlahan-lahan dikuak. Alhamdulillah stomata dan liang pernafasannya masih berfungsi meski ranting, jemari dan daunannya habis lunyai. Di atas, cemara dan palma memerhati anatomi tubuh mereka penuh simpati.

Sesekali hujan renyai-renyai kurniaan Illahi datang mencuci, membilas dan membersih diri. Namun tiada siapa dalam kalangan manusia yang mahu mengerti, betapa flora juga patut disayangi dan dihargai. Wajar dibaik pulih dan dipulihara kembali seperti rumah mereka, ternakan mereka, diri mereka dan harta benda mereka.

Siapa yang terfikir mencari solusi untuk membasuh tinja haiwan dan najis alam yang bertepek di fleum dan zailum Bourgenvile, Papmaceae, dan Hisbiscus Rossa? Atau pada tubuh camara dan palma yang dibawahnyalah tempat manusia berpayung ketika El Nino dahulu. Cuma Dendrohium dan catelya yang setia tergantung di pergola, masih mampu terus menarik nafas lega.