Seperti kata Guan Eng, kontrak pembelian banglo beliau berharga RM2.8 juta umpama ‘perkahwinan’ selagi tidak ada paksaan atau pengaruh yang tidak wajar. Agaknya bermaksud, jika ‘pengantin’ lelaki setuju dengan ‘jumlah wang hantaran’ yang ditetapkan maka terima sajalah. Begitu juga sebaliknya jika pengantin perempuan enggan menerima sebarang wang hantaran, maka kahwin percuma! Berbalik kepada dua isu ini juga, perbahasan di Dewan Rakyat panas dan riuh rendah. Contohnya ketika penggulung­an perbahasan di Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu yang mengambil masa 1 jam 40 minit semata-mata membincangkan isu ini. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahman Dahlan memulakan penggulungan titah Yang di-Pertuan Agong itu kira-kira pukul 8.41 malam dan menamatkan ucapannya kira-kira 10.20 malam.

Apa yang menarik perhatian ialah isu kenyataan harga rumah mampu milik RM400,000 seunit di Pulau Pinang yang dikatakan ditetapkan oleh kementerian berkenaan. Penggulungan menteri mengambil masa hampir satu jam semata-mata mahu menyelesaikan ‘pertikaian’ berkaitan perkataan bohong, berbohong, pembohong­an dan membohong. Hanya kerana perkataan itu, penyudahnya, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan diarahkan meninggalkan Dewan Rakyat, sesuatu yang didakwa sebagai strategi terancang. Abdul Rahman ketika mengulas keputusan ‘mengeluarkan’ Guan Eng berkata: “Beliau menggunakan taktik lama untuk diarahkan keluar dewan, kemudian di luar dewan membuat sidang media dan menangis meraih simpati.’’ Begitulah suasananya pada minggu lalu. Ternyata Guan Eng tidak berpuas hati dengan keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ismail Mohamed Said kerana memutuskan bahawa perkataan ‘bohong’ itu tidak ditujukan kepadanya tetapi kepada kenyataan yang dikeluarkannya berkaitan harga rumah mampu milik. Guan Eng berkata: “Kalau pembohongan, saya boleh terima. Akan tetapi disebut ini yang bohong, yang berbohong ialah Yang Berhormat Bagan, macam mana saya boleh terima.’’ Apakah maksud perkataan bohong, berbohong, pembohongan dan membohong? (Rujuk info grafik).

Isu perkataan itu tidak seharus­nya dibiarkan berlarutan sehingga mengambil masa untuk meleraikannya. Jika tidak faham, elok rujuk kepada pakar-pakar berkaitan. Seperti kata Abdul Rahman: “Bukan salah saya kalau Yang Berhormat Bagan tidak faham bahasa Melayu tetapi perkataan ‘bohong’ itu timbul atas sebab fakta yang betul bahawa beliau telah menuduh kementerian saya....beliau mengatakan bahawa kami yang menentukan harga RM400,000 rumah mampu milik di negeri Pulau Pinang. Sebenarnya Yang Berhormat Bagan tidak faham bahawa apabila beliau meletakkan harga itu, rakyat Pulau Pinang marah akhirnya menuding jari kepada saya. Saya ada bukti yang menunjukkan bahawa Kementerian Kese­jahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak pernah meletakkan RM400,000. Itu sebab saya kata bohong, kang saya kata tipu susah pula. Saya katakan lidah bercabang lagi dia marah. Jadi saya menggunakan perkataan yang pa­ling baik iaitu berbohong dan itu bahasa Melayu. Bahasa Melayu yang mungkin tidak difahami dalam konteks ini..’’

Menyelak semula ucapan pada 16 Mac lalu di Dewan Rakyat, Guan Eng tidak senang apabila Abdul Rahman berkata: “Tuan Yang Dipertua, di kesempatan ini juga saya ingin membetulkan dakwaan Yang Berhormat Bagan dan kenya­taan Yang Berhormat Batu Kawan semalam yang menegaskan takrif­an harga rumah mampu milik di Pulau Pinang sebanyak RM400,000 ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. Ini adalah satu pembohong­an...” Guan Eng juga tidak berpuas hati dengan perkataan bohong se­perti kata Abdul Rahman iaitu: “Saya menjawab ini sebab ada video bertajuk Housing Cost Determined by Federal Housing Ministry oleh Yang Berhormat Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang dimuat naik di laman Facebook beliau atau Facebook Buletin Mutiara bertarikh 13 Mac 2016. Beliau telah mengatakan bahawa RM400,000 ini ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan. That is a lie, that is a lie. Bohong.’’

Guang Eng juga mempertikaikan kenyataan Abdul Rahman iaitu “Yang membohong ialah Yang Berhormat Bagan”. Kenyataan itu timbul apabila P. Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan) mempersoalkan kenapa jawapan Abdul Rahman sebelum itu ditujukan kepada Pulau Pinang sahaja seolah-olah tidak ada negeri lain. Apabila Abdul Rahman menjawab sebab menteri besar dan ketua menteri yang lain tidak bohong, wakil Batu Kawan itu me­minta perkataan itu ditarik balik tetapi pendirian Abdul Rahman ialah: ‘‘Macam mana kita tidak sebut dia, sebab dia yang bohong.’’

Begitulah episod bohong, berbohong, pembohongan dan membohong yang mewarnai sidang Dewan Rakyat minggu lalu.

Diharapkan persoalan berkaitan isu ini dapat diselesaikan. Semua orang ingin tahu siapakah sebenarnya yang bohong, berbohong, membohong atau melakukan pembohongan!