Begitu juga Kuwait lebih terkenal berbanding Qatar. Namun pada tahun 2001, Qatar sudah ada Al-Jazeera, saluran televisyen satelit yang menjadi CNN bagi dunia Arab. Walaupun Al-Jazeera dilancarkan pada tahun 1996 tetapi ia menjadi terkenal apabila membuat liputan mengenai Perang Teluk.

Stesen televisyen itu cuba bersikap bebas dan berkecuali dengan memberi ruang pada semua pihak bertelagah. Buat pertama kali orang Arab dapat menonton laporan dan dokumentari yang menggambarkan semua pihak dan tidak hanya melihat apa yang kerajaan mereka kehendaki.

Melalui Al-Jazeera mereka dapat melihat filem-filem bersejarah Palestin yang tidak akan disiarkan oleh CNN dan BBC. Al-Jazeera lebih bebas daripada CNN dan BBC bila berkaitan dengan Palestin. Stesen televisyen ini juga memaparkan pandangan kumpulan-kumpulan yang menentang kerajaan mereka seperti Ikhwanul Muslimin. Semasa di Doha, penulis sempat juga melihat bangunan yang menempatkan operasi Al-Jazeera.

Dari tahun 2001 hingga 2017, Al-Jazeera telah memainkan peranannya sebagai pengolah fikiran dalam semua perkembangan dunia Arab termasuk penaklukan Amerika ke atas Iraq, kemunculan al-Qaeda, Arab Spring, Perang Syria dan Perang Yaman. Memang benar, media mempunyai kuasa.

Al-Jazeera adalah antara perkara yang menimbulkan kemarahan negara-negara Arab lain yang terkesan daripada laporannya kerana menurut mereka, ia membantu penentang-penentang kerajaan seperti yang berlaku di Mesir, Bahrain, Yaman dan Syria.

Tetapi bukan saja Al-Jazeera dituduh sebagai membantu penentang kerajaan-kerajaan Arab tetapi Qatar sendiri didakwa menyalurkan bantuan kepada para pengganas di Mesir, Palestin dan Syria. Golongan yang dimaksudkan di Mesir ialah Ikhwanul Muslimin, di Palestin ialah Hamas dan di Syria adalah kumpulan-kumpulan yang ada kaitan dengan al-Qaeda.

Maka apabila pada Isnin minggu lalu keluar berita bahawa Bahrain memutuskan hubungan dengan Qatar, dalam masa 10 minit diikuti oleh Arab Saudi, UAE, Mesir, Yaman, Libya dan Maldives, maka penulis berasa deja vu, atau terasa suasana serupa seperti ketika Iraq menakluk Kuwait pada tahun 1990. Ketika itu tenteranya turut menceroboh Arab Saudi. Qatar turut membantu Arab Saudi bagi menghadapi Iraq.

Boikot

Arab Saudi tidaklah seperti Iraq. Ia bukanlah menakluk Qatar. Ia hanya memutuskan hubungan. Tetapi itu pun menyusahkan Qatar. Qatar Airways dilarang lalu ruang udara negara yang memutuskan hubungan dengannya. Pejabat Al-Jazeera di Arab Saudi ditutup.

Sempadan ditutup dengan laluan makanan dan barang-barang keperluan tidak boleh masuk. Kapal Qatar tidak boleh singgah pelabuhan negara-negara yang memboikot. Maka Qatar tidak boleh menjual minyak dan gasnya. Rakyat Qatar di negara-negara itu disuruh pulang.

Sebaik-baik saja diumumkan pemutusan hubungan antara Arab Saudi dengan Qatar, para penganalisis sibuk mencari puncanya. Secara rasmi Arab Saudi menyatakan bahawa Qatar membantu para pengganas iaitu Hamas, Ikhwanul Muslimin dan kumpulan-kumpulan militan Syria. Para penganalisis pula mencari punca di sebalik kenyataan rasmi.

Lebih-lebih lagi memandangkan bahawa perkara ini berlaku hanya dua minggu selepas sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan negara-negara Islam dengan Amerika Syarikat. Qatar hadir dalam kedua-dua sidang kemuncak itu. Dalam sidang itu ditegaskan komitmen negara-negara itu menentang keganasan. Antara para pengganas yang disebut ialah Hamas sementara negara penganjur pengganas yang dinamakan ialah Iran. Tidak pula disebut Qatar.

Tetapi Qatar ada mengkritik Arab Saudi. Qatar pula ada membantu Hamas, Ikhwan dan kumpulan militan Syria. Jadi adakah tekanan Arab Saudi dan sekutu-sekutunya ke atas Qatar merupakan langkah awal dalam penumpasan penuh para pengganas? Iaitu negara yang membantu pengganas dikenakan tindakan dahulu.

Walaupun jelas Qatar tidak berupaya menghadapi Arab Saudi tetapi ia enggan tunduk. Malah ia mengkritik Arab Saudi. Sehingga Jumaat ini, kedua-dua negara telah meningkatkan ketegangan hubungan. Kuwait dan Turki bertindak untuk menjadi orang tengah bagi mendapatkan penyelesaian. Iran pula sedia menyalur bekalan makanan ke Qatar.

Dalam mencari punca persengketaan ini, ada penganalisis menyatakan bahawa ia bukan soal keganasan. Tetapi ia soal minyak, gas dan salurannya. Penganalisis itu memaparkan hujah-hujahnya dengan peta mengenai kedudukan minyak dan gas di negara itu. Dulu, penaklukan Iraq ke atas Kuwait juga kerana minyak. Saddam Hussein menuduh Kuwait mencuri minyaknya. Ia juga menganggap Kuwait sebagai salah sebuah wilayahnya yang diambil oleh British. Sementara Qatar juga pernah menjadi wilayah naungan British dan mencapai kemerdekaan pada tahun 1971 setelah usaha untuk menyatukannya dengan Bahrain dan negeri-negeri yang kini menjadi UAE gagal.

Tetapi The Financial Times mengeluarkan satu berita mengenai punca krisis diplomatik Arab Saudi dengan Qatar ini. Menurut akhbar Britain itu, ia bermula dengan satu ekspedisi perburuan sekumpulan keluarga Qatar di Iraq selatan pada tahun 2015. Ekspedisi perburuan ini menggunakan burung helang Arab, atau falcon. Malangnya mereka diculik oleh sekumpulan militan Syiah Iraq, Kataeb Hezbullah.

Tuntutannya adalah sejumlah wang yang banyak dengan pembebasan beberapa militan Syiah yang ditawan oleh Tahrir al-Shams, kumpulan yang ada kaitan dengan al-Qaeda di Syria. Jadi Qatar membayar Kataeb Hizbullah bagi membebaskan rakyatnya. Ia dibuat melalui Iran. Qatar juga membayar Tahrir al-Shams bagi membebaskan militan Syiah yang ditawan seperti dituntut oleh Kataeb Hezbullah.

Penyaluran wang Qatar ke Iran inilah yang dikatakan oleh The Financial Times telah menimbulkan kemarahan akhir Arab Saudi hingga membawa kepada krisis diplomatik ini. Tetapi mungkin juga ada punca lain yang tidak diketahui umum. Wartawan dan para penganalisis hanya berusaha mendapatkan maklumat. Tetapi akhirnya kementerian luar masing-masing yang bertanggungjawab mendapatkan penyelesaian.

Penyelesaian krisis ini mungkin sedang berlaku di sebalik kata-kata keras antara Arab Saudi dan Qatar itu. Tindakan simbolik dan rundingan sulit yang melibatkan banyak pihak seperti Amerika, Rusia, Turki, Iran dan Kuwait mungkin sedang berjalan. Dalam percaturan geopolitik seperti ini, wayangnya melebihi filem perisikan Hollywood.

Dalam rundingan itu pasti ada pihak yang perlu mengalah atau menjadi kambing hitam. Mungkin ada pemimpin yang perlu berundur atau ada konsesi yang lain. Apa saja berlaku, keadaan Qatar akan tetap memberi kesan pada seluruh dunia.