Antara isi yang dikongsi berkenaan punca wujudnya ketidakpuasan hati sesetengah pihak sehinggakan perpaduan sukar untuk menjeleket. Pada pandangan beliau, masalah utama berpunca daripada ketidakseimbangan ekonomi kaum Melayu yang dilihat sebagai orang asal negara ini namun masih ketinggalan sedangkan komuniti lain sudah lebih terkehadapan.

Ini membimbangkan, terutamanya apabila kajian menunjukkan masyarakat Melayu hanya memegang 24 peratus ekuiti negara sungguhpun komuniti ini mewakili 65 peratus penduduk Malaysia. Kerengsaan orang Melayu disebabkan oleh taraf ekonomi mengakibatkan timbul ketidakpercayaan kepada komuniti lain sehinggakan perpaduan terjejas.

Jalan penyelesaian yang dianjurkan oleh beliau adalah dengan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mengambil langkah lebih proaktif untuk membangkitkan ekonomi orang Melayu sejajar dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Antaranya, Perkara 153 memperuntukkan bahawa Seri Paduka Baginda bertanggungjawab untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah & Sarawak, termasuklah dalam perihal menjaga ekonomi masyarakat ini.

Pemakaian Perkara 153 perlulah dibaca bersama dengan Perkara 92 - Rancangan Pembangunan Negara yang membenarkan Parlimen, dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong, untuk mengisytiharkan mana-mana tanah di Semenanjung Malaysia sebagai kawasan pembangunan. Seharusnya dasar ekonomi seperti ini diteliti dan diperba­nyakkan untuk menaikkan taraf ekonomi orang Melayu.

Aziz juga mengetengahkan agar Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja menggunakan kuasa sebagai Ketua Agama Islam di bawah Perkara 3 untuk me­ningkatkan ekonomi umat Islam di negeri masing-masing. Ini boleh dilakukan dengan merujuk kepada kuasa di bawah Majlis Agama Islam negeri berkaitan pengendalian wakaf dan zakat. Pandangan beliau untuk membentuk perpaduan dengan merapatkan jurang ekonomi masyarakat adalah cadangan yang wajar diberikan lebih pemerhatian.

Perkongsian Mohd. Noor pula menekankan tiga peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi kesan kepada isu perpaduan kaum yakni Perkara 8 - berkaitan hak sama rata, Perkara 152 - berkenaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153 - mengenai kuota orang Melayu dan anak negeri.

Umum sedia maklum bahawa Perkara 152 meniatkan bahasa Melayu untuk berdiri bukan saja sebagai bahasa rasmi tetapi lebih penting lagi sebagai bahasa kebangsaan yang membentuk perpaduan. Ini sejajar dengan pendirian Suruhanjaya Reid yang meramalkan penggunaan menyeluruh bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa rasmi selepas merdeka. Tambahan pula, untuk memudahkan pembelajaran dan penggunaan bahasa Melayu oleh semua warganegara Malaysia, tulisan Rumi telah pun diketengahkan melampaui tulisan Jawi sebagai skrip bahasa Melayu.

Ini adalah dengan mengambil kira bahawa perpaduan hanya boleh terbentuk apabila interaksi dan komunikasi di antara lain-lain komuniti berlangsung dengan lancar.

Meninggalkan tulisan Jawi supaya bahasa Melayu lebih mudah dimesrai oleh setiap kaum adalah dosa silam umat Melayu yang perit lagi memedihkan untuk dikenang. Amat­lah malang jika kaum-kaum lain tidak menghargai pengorbanan besar ini, dan masih enggan serta gagal untuk menjiwai bahasa kebangsaan dalam segenap urusan kehidupan.

Peruntukan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menyatakan setiap warganegara dianggap sama rata namun dalam masa yang sama, peruntukan ini membenarkan diskriminasi positif, secara khususnya berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu di bawah Perkara 153. Ada yang cuba untuk mempertikaikan keesahan peruntukan Perkara 153 ini, dan melihat polisi tindakan afirmatif sebagai dasar perkauman yang memecahbelahkan masyarakat. Walhal ini sama sekali tidak benar.

Perkara 153 meletakkan tanggungjawab ke atas Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, anak negeri dan kepentingan sah komuniti lain. Justeru adalah jelas bahawa ‘kepentingan sah komuniti lain’ turut ditekankan dan dipelihara, namun haruslah mengambil kira urusan demografik, ekonomi, sosial dan pendidikan semua komuniti yang membentuk negara ini sebelum sesebuah dasar diadakan oleh pihak Kerajaan.

Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sebagai penaung kepada kedaulatan Malaysia harus memainkan peranan yang lebih jitu dalam memartabatkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang banyak mengambil sikap bertolak ansur dan timbal balik. Tugas baginda-baginda sultan bukan hanya untuk memelihara kelangsungan negara tetapi juga taraf hidup dan masa depan setiap komuniti.

Mereka yang mengatakan Perlembagaan Persekutuan menye­belahi hanya orang Melayu adalah hujahan yang dang­kal dan haruslah melihat keseluruhan peruntukan yang ada.

Penulis memetik ungkapan ringkas yang diberikan oleh Profesor Dr. Shamrahayu Ab. Aziz dalam penggulung­an majlis, “Di mana ada kebaikan, di situ ada kekuatan.”

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).