Program JBP ini bermula tahun lalu tapi slogan, Inilah Peluangku sudah pun menjadi sebutan dalam kalangan masyarakat kerana agenda pendidikan ini dikenalpasti sebagai antara penyelesaian dalam membantu anak muda untuk mengubah nasib mereka.

Lebih penting matlamat utama JBP adalah membantu dan mem­bela nasib anak bangsa yang kurang berkemampuan, bagi memboleh­kan mereka mencarta laluan yang lebih cemerlang dan berdaya maju, seiring dengan kemajuan yang begitu pantas berubah.

Sesungguhnya rakyat Mala­y­sia seharusnya bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang begitu cakna dengan pendidikan serta kemajuan rakyatnya dalam pemba­ngunan ilmu. Harus diingatkan sejarahnya telah bermula dari zaman era pemerintahan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak yang turut dikenali sebagai Bapa Pembangunan Negara.

Bidang pembangunan yang di­ciptakan oleh Tun Abdul Razak bukan hanya meliputi pembangunan fizikal, namun juga melibatkan aspek kerohanian dan keilmuan melalui pendidikan yang bertujuan memajukan negara bangsa.

Sejarah agenda pendidikan untuk bumiputera ini telah terbukti dengan kejayaan apabila wujudnya pelbagai universiti awam dan swasta di negara ini. Mengambil contoh mudah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pernah saya terajui suatu masa dahulu sebagai Naib Canselor, sejarahnya dimulakan melalui penubuhan Dewan Latihan RIDA (Rural and Industrial Development Authority) yang ditubuhkan hasil lawatan ke Ceylon (kini Sri Lanka) untuk program pembangunan dalam negeri pada tahun 1951.

Satu kertas kerja lawatan tersebut yang mengandungi tentang penubuhan RIDA dan objektif­nya untuk membangunkan serta meningkatkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar telah diketemukan.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Industri ketika itu mempunyai dua pusat utama di bawah naungannya, iaitu Taman Asuhan RIDA (Kuala Lumpur) dan Dewan Latihan RIDA (Petaling Jaya).

Justeru, Jelajah Pendidikan Bumiputera ini menjadi satu lagi gelanggang yang membuka ruang kepada para pelajar yang lemah dalam bidang akademik. Jelajah ini akan memberikan peluang kedua mereka terutama untuk membabitkan diri dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Ini adalah sejajar dengan seruan kerajaan supaya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak melanjutkan pengajian dalam bidang akademik dapat menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.

Program latihan dan vokasio­nal ini turut menjadi teras negara maju seperti Jepun dan Korea malah TVET dikategorikan sebagai kelas tinggi iaitu pelajar mereka yang tidak ke universiti akan diwajibkan mengambil bidang berasaskan kemahiran dan sekali gus membuka peluang besar dalam sektor pekerjaan setelah mereka menguasai sesuatu bidang kemahiran yang diceburi.

Menyangkal sesetengah tanggapan ibu bapa yang mendakwa siswazah berkemahiran dan teknikal tidak setanding dengan kerjaya bidang lain, pada saya ini adalah pandangan lapuk dan perlu diperbetulkan.

Mungkin ramai tidak menye­dari, graduan yang memiliki kemahiran tertentu ditawarkan gaji yang lumayan antara RM1,200 hingga RM15,000 - bergantung kepada kemahiran dimiliki, kelayakan dan pengalaman yang mereka ada.

Kelainan yang akan dibawa oleh skuad JPB 2017 adalah lebih berbeza berbanding tahun lalu. Kali ini sebanyak 20 institusi penga­jian tinggi awam (IPTA) buat kali pertama turut bersama-sama 35 agensi pendidikan yang diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan.

Peluang yang diberikan seluas-luasnya ini perlulah diambil dan direbut oleh semua rakyat Malaysia terutamanya pelajar lepasan SPM dan setaraf.

Keprihatinan Perdana Menteri terhadap sektor pendidik­an ini perlu dijadikan asas atau titik mula kesedaran dalam masyarakat tentang betapa pen­tingnya ilmu dalam memba­ngunkan agenda sesebuah negara dan dalam konteks Malaysia untuk mencapai visi dan misi menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Gunakanlah peluang yang disediakan oleh kerajaan dalam memartabatkan agenda pendidikan ini sebagai pentas untuk menggapai sebuah kejayaan yang mampu mengubah takdir hidup masyarakat Malaysia selari dengan Transformasi Nasio­nal 2050 (TN50).

PROF. EMERITUS TAN SRI IR. DR. SAHOL HAMID ABU BAKAR 
ialah Pengerusi Jawatankuasa Induk 
Jelajah Pendidikan Bumiputera