Kecenderungan ini ada di Malaysia khususnya dalam konteks politik. Ada usaha yang tiada terhenti untuk mengalih keyakinan umum terhadap kemakmuran dan kestabilan negara yang sedia wujud. Padahal, suasana politik dan persekitaran kehidupan di Malaysia berada dalam keadaan segar, tersusun, telus dan demokratik. Urus tadbirnya mengambil kira segenap sudut keperluan dan kebajikan. Secara logiknya tidak perlu pun wujud tekanan atau force untuk menumbangkan kerajaan yang sedia ada. Belum kelihatan setakat ini sebarang alternatif yang boleh dijadikan cagaran oleh rakyat.

Kuasa atau mandat yang diberi rakyat pada setiap Pilihan Raya Umum (PRU) sejak berabad lalu digunakan oleh kerajaan untuk mensejahterakan rakyat dan membangunkan negara. Hasilnya adalah kemakmuran dan kemajuan kekal stabil. Tidak ada banyak permasalahan timbul kecuali hal-hal yang se­ngaja diganggu oleh kala­ngan yang ‘tidak senang’ melihat ‘suasana tenang’.

Dan jika pun timbul sedikit sebanyak rungutan, teguran atau pandangan terhadap sebarang perancangan dan program kerajaan, segala­nya sentiasa dilayan dan diberi perhatian serta ditangani dengan sebaiknya. Ertinya, kerajaan sentiasa bersikap terbuka dan menyediakan sistem pentadbiran secara ‘timbal balas’ bagi memenuhi keperluan dan kepuasan segenap lapisan rakyat.

Situasi di Malaysia hanya sesuai di peringkat menegur, memberi pandangan membina dan menyokong, bukan di peringkat perlu menukar kerajaan atau pemerintahan yang sedia ada. Rakyat tidak perlu terikut-ikut dengan dakyah dan hasutan kalangan mereka yang rakus mencari kuasa untuk merubah struktur asas seperti meminda Perlembagaan Persekutuan atau mengetepikan segala persetujuan yang sudah tercatat dalam Kontrak Sosial sejak generasi silam.

Tidak tahulah jika ‘kuasa’ yang dicari itu termasuk untuk menghalalkan pesta arak, menyokong unsur-unsur ‘liberalisme’ seperti kebebasan gender (LGBT) dan ‘mengendurkan’ penghayatan terhadap kesucian Islam, mengharamkan wanita Islam bertudung atau mungkin menyekat sebarang aktiviti keagamaan Islam seperti Per­arakan Maulidur Rasul.

Mungkin juga untuk menolak dengan sewenang-wenangnya sebarang usul memperkasakan kemurnian Undang-Undang Syariah di Dewan-Dewan Undangan Ne­geri.

Segalanya terpamer jelas dan terbuka. Setiap keputusan dibuat secara konsensus melalui proses bermusyawarah dan perbincangan. Kerajaan membuka peluang rakyat bersuara melalui program-program dialog atau konsultasi sebelum memutuskan sesuatu program atau dasar-dasar negara baik untuk jangka pendek mahu pun jangka panjang.

Antara contoh sistem terbuka kerajaan termasuk dalam menyediakan bajet negara, pengisian Rancangan Malaysia setiap lima tahun serta menggubal dasar-dasar ekonomi, sosial, pendidikan, keselamatan, program-program transformasi termasuk Program Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan lain-lain.

Perancangan dan pelaksanaan pembangunan negara dibuat secara inklusif. Semua pihak dan setiap segmen masyarakat mendapat faedah atau manfaat sewajarnya. Juga, tidak dibatasi kedudukan negeri dan daerah, kaum dan agama. Pengagihan kemakmuran negara ditentukan dapat dinikmati secara adil dan saksama.

Contoh, kerajaan melancarkan Pelan Blueprint bagi pembangunan masyarakat India. Juga bantuan untuk sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina selain bantuan untuk membangunkan syiar Islam dan kaum bumiputera di negara ini.

Segenap sistem urus tadbir mematuhi peraturan, etika dan perundangan. Pengurusan kewangan dan perbelanjaan negara berpandukan tatacara yang tersusun.

Sistem penapisan dan pemantauan berfungsi dengan berkesan. Ini termasuk institusi-institusi Ketua Audit Negara (AG), Jawatankuasa Keutuhan dan Integriti serta Audit Dalaman dan Audit Luar di peringkat agensi dan jabatan, Jawatankuasa peringkat Kabinet mengenai sesuatu program atau perancangan serta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang.

Selebihnya, segala pengurusan turut tertakluk pada pemantauan agensi-agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mereka sentiasa bertindak profesional dan tidak pernah tunduk dengan mana-mana pengaruh dengan kedudukan.

Hidup lebih indah dan tenang jika tahu mengimbangi antara ‘kemahuan’ dan ‘keperluan’. Apa pun pendirian atau keputusan yang dibuat, harus berpijak pada ke­nyataan dan kewajaran. Mengejar sesuatu yang belum pasti hanya memperjudikan segala nikmat dan ke­sejahteraan yang sedia dimiliki. Semoga Malaysia terus maju dan kehidupan rakyatnya terus gemilang!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.