ARAH kiblat dan jadual waktu sembahyang yang diletakkan dalam laci oleh sebuah hotel untuk rujukan p
ARAH kiblat dan jadual waktu sembahyang yang diletakkan dalam laci oleh sebuah hotel untuk rujukan pelanggan Islam
 
Bagaimanapun Islam, makanan halal malahan petunjuk arah kiblat semakin mudah ditemui di negara yang hanya mempunyai 300,000 penduduk beragama Islam itu.

Industri pelancongan seperti hotel, restoran malah taman tema menyediakan surau atau ruang bersolat kepada pengunjung beragama Islam.

Justeru tidak hairan Indeks Pelancongan Muslim Global yang dikeluarkan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) meletakkan Taiwan di tempat kelima sebagai negara bukan Islam yang mesra Muslim tahun ini.
 
Islam berkembang di Taiwan

MASJID Besar Taipei yang terletak di Jalan Daan, Bandar Taipei menjadi simbol penerimaan dan perkembangan Islam di Taiwan. Di sini jugalah menjadi markas umat Islam mendalami ilmu agama, fardu ain mengaji al-Quran dan bahasa Arab.
ALI TIAN
ALI TIAN 

Sukarelawan Masjid Taipei, Ali Tian, 40, berkata, setiap tahun hampir 20 orang rakyat Taiwan berketurunan Cina melafazkan syahadah di masjid yang dibina pada 13 April 1960 itu.

“Rakyat Taiwan yang berminat dengan Islam akan datang ke masjid ini untuk mendengar sendiri apakah sebenarnya agama dibawa oleh pesuruh Allah, Nabi Muhammad SAW.

“Kelas agama kepada bukan Islam dibuat berdasarkan permintaan dan mendapat sambutan menggalakkan. Setiap bulan sekurang-kurangnya dua orang datang untuk memeluk agama Islam,” katanya yang berketurunan Myanmar.

Menetap di Taiwan selama lapan tahun, Ali berkahwin dengan gadis mualaf Taiwan, Nurlinda Chen, 26 dan kini dikurniakan dua cahaya mata.

Beliau berkata, Islam diterima di negara itu kerana sikap sederhana dan sopan ditunjuk oleh umat Islam.

Perkara itu turut diakui oleh Ketua Seksyen Bahagian Hubungan Antarabangsa Taiwan, David Tsao.

“Majoriti penduduk Taiwan menganut Buddha dan Taoist. Mereka merupakan masyarakat yang berdisiplin dan sopan. Jadi tidak hairan Islam juga diterima di sini,” kata David kepada rombongan media dari Malaysia dan Brunei yang mengikuti program pelancongan Salam Taiwan anjuran Biro Pelancongan Taiwan, baru-baru ini.

Pinggan yang mempunyai logo halal hanya untuk kegunaan pengunjung
Pinggan yang mempunyai logo halal hanya untuk kegunaan pengunjung 

Arah kiblat

Sifat terbuka masyarakat Taiwan terhadap Islam boleh dilihat melalui cara mereka menghormati segala yang berkaitan dengan agama tersebut.

ARAH kiblat yang diletakkan di aras 88 bangunan kedua tertinggi di dunia Taipei 101.
ARAH kiblat yang diletakkan di aras 88 bangunan kedua tertinggi di dunia Taipei 101. 

Siapa sangka anak panah menunjuk arah kiblat boleh ditemukan pada aras pemerhatian tingkat 88 bangunan ikonik Taiwan, Taipei 101.

Sikap mesra terhadap Islam juga dapat dirasai sehingga ke bilik-bilik hotel. Pengalaman penulis bermalam di The Grand Hotel Taipei, Palais de Chine Hotel dan Fullon Hotel Lihpao mendapati bukan sahaja anak panah arah kiblat disediakan tetapi juga sejadah, telekung, al-Quran dan jadual waktu solat terletak kemas atas meja.

Selain itu, kebanyakan restoran di Taiwan juga menyediakan tempat berwuduk dan ruang solat untuk kegunaan pengunjung Islam.

Inilah antara pengalaman diperoleh penulis ketika berkunjung ke restoran lima bintang Ding Xiang 101 di Taipei 101, Aladdin Restaurant di Taman Tema Leofoo, Maya Restaurant di Formosan Aboriginal Culture Village; Restaurant J San Iziyaki di Fullon Hotel Lihpao dan Leisure Farm South Garden Banquet Hall di Nantow.

RESTORAN J San Iziyaki di Fullon Hotel Lihpao bukan sahaja menyediakan makanan halal dan surau tetap
RESTORAN J San Iziyaki di Fullon Hotel Lihpao bukan sahaja menyediakan makanan halal dan surau tetap 

Melangkah masuk ke dalam restoran yang dikendalikan oleh bukan Islam ini kelihatan sijil halal dipamerkan. Pinggan mangkuk yang ditulis perkataan ‘halal’ dalam tulisan Arab turut disediakan kepada pengunjung Muslim.

Rombongan wartawan turut diberi kesempatan melihat sendiri ruang dapur, tempat penyimpanan bahan makanan dan tempat cuci pinggan mangkuk yang diasingkan bagi penyediaan makanan kepada Islam serta bukan Muslim.

SEORANG pekerja Maya Restaurant di Formosan Aboriginal Culture Village menunjukkan ruang simpanan ba
SEORANG pekerja Maya Restaurant di Formosan Aboriginal Culture Village menunjukkan ruang simpanan bagi makanan halal. 

Malah, jika anda menggunakan pengangkutan awam MRT, jangan terkejut melihat simbol surau pada papan tanda kerana kemudahan itu disediakan di stesen tertentu. Kemudahan bersolat juga disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan.

Trend makanan halal

KONSEP makanan halal semakin menjadi trend di Taiwan. Sebuah syarikat ais krim antarabangsa, Ice Monster yang diasaskan pada 1997 misalnya menjadi satu-satunya syarikat seumpamanya mempunyai sijil halal di negara itu.

Lebih menarik hanya dua cawangan Ice Monster di Taiwan mempunyai sijil halal berbanding 18 cawangan lainnya di China, Jepun dan Amerika.

Ditanya kenapa Ice Monster Taiwan berminat untuk memperoleh persijilan halal, Pengurus Jualan dan Pemasarannya, Josh Wang, 37, berkata, ini kerana jumlah pengunjung Islam semakin bertambah di Taiwan.

“Pelancong Islam sangat ramai dan agama Islam juga antara agama yang penting di dunia. Jadi menyediakan makanan halal adalah satu daripada strategi kami memasarkan produk.

“Ketika ini, kira-kira 10 hingga 15 peratus pelanggan kami adalah orang Islam. Kami memperoleh sijil halal daripada Persatuan Muslim China (CMA) sejak 2013 dan memperbaharui lesen halal setiap tahun,” jelas Josh.

JOSH WANG menunjukkan sijil halal yang diperolehi daripada Persatuan China Muslim.
JOSH WANG menunjukkan sijil halal yang diperolehi daripada Persatuan China Muslim. 

Bagi memastikan bahan yang digunakan adalah halal, Ice Monster Taiwan menjalankan operasi penghasilan di kilang sendiri dengan menggunakan gelatin halal.

Trend halal turut diikuti restoran menghidangkan makanan vegetarian. Antaranya Spring Garden Vegetarian Cuisine Cafe yang terletak di Houfeng.

Restoran ini dimiliki oleh Ling Jin Lian, 64, yang memperoleh kefahaman mengenai Islam daripada anak perempuan dan menantunya yang merupakan lelaki berketurunan Arab Dubai.

“Semua masakan saya menggunakan sayur-sayuran termasuk minyak masak berasaskan sayur-sayuran. Saya juga tidak memasukkan arak ke dalam makanan kerana tahu orang Islam dilarang minum arak,” kata Ling Jin Lian.

Ling Jin Lian menghidangan makanan vegetarian halal kepada pelanggan
Ling Jin Lian menghidangan makanan vegetarian halal kepada pelanggan.

Miliki sijil halal

TERDAPAT tiga badan di Taiwan yang menjadi pengawal selia makanan dan sijil halal iaitu Persatuan Muslim China (CMA), Pusat Halal Taiwan dan Persatuan Islam Taiwan.

Menurut Biro Pelancongan Taiwan, sehingga Jun lalu sebanyak 176 restoran mendapat persijilan halal dan restoran mesra Muslim.

Pengasas aplikasi Halal.TW, Intan Dzikria, 28, berkata, harga daging lembu dan kambing halal lebih mahal berbanding tidak halal.

“Makanan halal yang melibatkan daging lembu dan kambing mahal 30 peratus. Ini kerana daging lembu dan kambing terpaksa diimport dari Australia dan New Zealand.

“Manakala bagi ayam tidak ada masalah kerana disembelih di sini. Ada orang Islam yang terlibat dalam urusan penyembelihan di pusat penyembelihan ayam,” jelasnya.

INTAN DZIKRIA (kiri) dan rakannya Mahmood MA menunjukkan aplikasi Halal.TW yang menyenaraikan tempat
INTAN DZIKRIA (kiri) dan rakannya Mahmood MA menunjukkan aplikasi Halal.TW yang menyenaraikan tempat halal.

Aplikasi Halal.TW menyenaraikan sebanyak 256 lokasi makanan halal dan destinasi mesra Muslim sekitar Taiwan.

Empat jenis persijilan halal diberikan di Taiwan iaitu MR (Restoran Muslim) diberikan kepada kedai yang dimiliki dan dikendalikan oleh orang Islam.  MRF (Restoran Mesra Muslim) diberikan kepada pemilik kedai bukan Islam.

MFT (Mesra Pelancong Islam)  diberika kepada tempat yang menyediakan kemudahan untuk orang Islam dan MCH (Sijil Hotel Muslim) yang diberikan kepada tempat penginapan yang menyediakan kemudahan mesra muslim.-UTUSAN ONLINE