Dalam hal ini, insan bergelar guru adalah orang bertanggungjawab mendidik kita ke tahap kita miliki sekarang. Justeru, antara aspek yang perlu diberi perhatian adalah adab kita dengan guru. Ini bagi memastikan kita mendapat keberkatan ilmu lebih-lebih lagi ilmu agama. Malangnya, rasa hormat segelintir masyarakat kepada profesion ini sudah hilang. Menyebabkan, anak-anak terikut sama. Kalau dahulu, jahat macam mana pun kita di sekolah, kita masih menghormati guru. Tidak berlaku insiden guru ditumbuk pelajar, kereta guru dicalarkan atau tayar dipancitkan.

Kini, keadaan jauh berubah. Ada anak murid tidak boleh langsung ditegur. Kalau menghukum atau mendenda mereka kerana melanggar peraturan sekolah silap hari bulan, guru pula disaman ibu bapa. Oleh itu, diharap ibu bapa juga tabayyun atau menyelidik terlebih dahulu aduan anak-anak. Jangan telan bulat-bulat. Adakalanya ada yang ‘pijak semut pun tidak mati di rumah’, sebenarnya samseng besar di sekolah. Ambillah iktibar filem Anakku Sazali.

Mari kita contohi sikap rendah diri dan menghormati guru serta membuang segala keistimewaan yang ada pada diri melalui sebuah kisah Khalifah Harun al-Rasyid. Beliau ketika datang ke Mekah untuk menunaikan haji tidak melepaskan peluang menziarahi Madinah. Setelah tiba di Madinah, baginda ingin bertemu dengan Imam Malik. Tujuannya untuk belajar kitab Imam Malik yang paling masyhur iaitu Muwatta’.

Ketika pesuruh khalifah datang menemui Imam Malik menyampaikan hajat itu beliau dengan tegas menjawab: “Sampaikan kepada khalifah bahawa ilmu itu didatangi bukannya ia yang mendatangi seseorang”. Akhirnya khalifah datang sendiri berkunjung ke rumah Imam Malik untuk belajar. Semasa berada di rumah imam Malik lalu di­sampaikan maksud kedatangannya itu iaitu untuk belajar kitab Muwatta’. Ketika mahu belajar ada satu kerusi sahaja di ruangan tempat belajar lalu Imam Malik menyatakan: “Kerusi itu untuk guru dan jika engkau datang untuk belajar maka duduklah bersama dengan murid yang lain.”

Dengan hati terbuka khalifah duduk bersama-sama murid Imam Malik yang lain. Jika rasa rendah diri dan menghormati guru tidak ada sudah tentu khalifah tidak mampu menimba ilmu pengetahuan daripada Imam Malik. Inilah sikap yang mesti ada pada setiap diri pelajar agar mereka benar-benar belajar dengan baik di samping mendapat keberkatan hasil keredaan guru.

Contohilah Imam Syafie, seorang yang rajin belajar dan kuat ingatan. Suatu ketika beliau datang belajar tetapi tidak mempunyai pen dan kertas untuk mencatat apa isi penting yang disampaikan guru disebabkan tidak mampu membelinya.

Beliau hanya mencatat isi penting menggunakan lidi yang dibasahkan dengan lidahnya dan kemudiannya ditulis pada tapak tangan. Si guru yang melihat telatah Imam Syafie memanggilnya setelah tamat kuliah. Si guru amat marah dengan perbuatan Imam Syafie kerana meng­anggap Imam Syafie tidak menumpukan perhatian sebaliknya hanya bermain-main dengan lidi.

Imam Syafie menerangkan dia mencatat semua ilmu yang diajar oleh guru tersebut dan turut menerangkan ketidakmampuannya memiliki pen dan kertas sebagaimana pelajar lain kerana ketiadaan wang. Guru itu kemudian mengujinya bagi membuktikan kebenaran dakwaan itu lalu Imam Syafie membaca kesemua isi kitab yang telah dibaca oleh guru tersebut sebentar tadi dan apa yang dicatatkannya daripada isi penting di telapak tangannya itu.

Si guru amat kagum dengan ingatan Imam Syafie yang begitu kuat. Inilah contoh bagaimana seseorang guru akan terasa kurang dihormati apabila melihat muridnya membuat sesuatu perkara yang tidak menyenangkan hatinya ketika sesi pembelajaran. Bayangkan pula senario guru mengajar di depan tetapi anak-anak muridnya sibuk bersembang dan mengganggu murid lain. Bagaimana mahu dapat keberkatan ilmu?