Suruhanjaya Siasatan bersifat ad-hoc yang bertujuan khusus. Apabila berlakunya suatu tragedi atau satu perkara serius dan melibatkan kepentingan awam atau wujudnya kecurigaan tinggi dalam hal berkaitan pelaksanaan kuasa, maka kerajaan akan menasihatkan Ketua Negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan.

Dalam negara-negara yang mempunyai sistem beraja, ia dikenali sebagai Suruhanjaya Siasatan Diraja. Ini kerana lantikan Suruhanjaya tersebut dibuat oleh Institusi Beraja yang bebas daripada kepentingan.

Bebas daripada kepentingan adalah elemen penting dalam mewujudkan Suruhajaya Siasatan. Walaupun lantikan ahli suruhanjaya umumnya dibuat atas nasihat kerajaan, namun dalam pelaksanaan tugasan suruhanjaya adalah bebas daripada arahan kerajaan yang memerintah.

Lantikan Suruhanjaya Siasatan ini dibuat dan dikawal selia mengikut undang-undang dan sistem perundangan. Negara-negara di dunia, sama ada yang mengamalkan sistem monarki ataupun tidak, mempunyai undang-undang berkaitan lantikan Suruhanjaya Siasatan, yang dikenali sebagai Suruhanjaya Siasatan.

Bagi negara kita Malaysia, undang-undang berkaitan Suruhanjaya Siasatan ini ialah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 atau Akta 119. Untuk rekod, Akta 119 ini merupakan undang-undang dibuat sebelum merdeka dan ia telah disemak semula pada tahun 1973.

Dalam pengalaman Malaysia, beberapa Suruhanjaya Siasatan Diraja telah ditubuhkan.

Antara yang awal ialah Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan siasatan ke atas perjalanan kerajaan tempatan (1967).

Lebih mutakhir, Suruhanjaya Siasatan Diraja badan Klip Video V. K Linggam (2007), Suruhanjaya berkaitan kematian Teoh Beng Hock (2010), isu pendatang asing di Sabah (2012) dan paling baru, pada 18 Julai 2017, Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan berkaitan kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an.

Ada beberapa lagi Suruhanjaya Siasatan Diraja yang telah ditubuhkan sebelum ini. Menurut Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, Suruhanjaya Siasatan boleh ditubuhkan dengan tauliah oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menyiasat:

(1) kelakuan mana-mana pegawai persekutuan; atau

2) perjalanan atau pengurusan mana-mana jabatan perkhidmatan awam Malaysia; atau

(3) perjalanan atau pengurusan mana-mana institusi awam yang tidak semata-mata disenggarakan dengan kumpulan wang negeri; atau

(4) apa-apa perkara lain yang siasatannya, pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, berfaedah bagi kebajikan awam.

Walaupun begitu, Suruhanjaya Siasatan tidak boleh ditubuhkan bagi tujuan:

(i) suatu perkara yang melibatkan agama Islam atau adat Melayu; atau

(ii) berhubung dengan Sabah atau Sarawak, atau siasatan bagi maksud negeri.

Di peringkat negeri, Pihak Berkuasa Negeri (kecuali Sabah dan Sarawak) juga boleh mengeluarkan tauliah untuk lantikan pusuruhjaya bagi menyiasat:

(a) kelakuan mana-mana pegawai Negeri; atau

(b) perjalanan atau pengurusan mana-mana jabatan perkhidmatan awam negeri itu;

(c) perjalanan atau pengurusan mana-mana institusi awam yang disenggarakan semata-mata dengan kumpulan wang negeri; atau

(d) apa-apa perkara lain yang siasatan, pada pendapat Pihak Berkuasa Negeri itu, berfaedah bagi kebajikan awam negeri itu dan yang tidak secara langsung melibatkan kebajikan awam mana-mana negeri.

Tauliah yang dikeluarkan tersebut, boleh, menurut budi bicara Yang di-Pertuan Agong atau Pihak Berkuasa Negeri menamakan Pengerusi Suruhanjaya, mengarahkan tempat, tempoh dan masa siasatan, serta kaedah siasatan, sama ada secara terbuka atau sebaliknya.

Tauliah

Antara kuasa yang diberikan oleh Akta Suruhanjaya Siasatan kepada Suruhanjaya dilantik ialah bagi mendapatkan keterangan dengan mendapatkan maklumat atau keterangan dengan memeriksa saksi.

Maka saksi itu bertanggungjawab memberi maklumat atau keterangan secara bersumpah selayaknya memberi kesaksian di Mahkamah Tinggi. Saksi boleh memberi keterangan melalui pengakuan berkanun. Suruhanjaya berkuasa memaksa sesiapa sahaja hadir mesyuarat untuk memberi keterangan sebagai saksi atau menyerah apa-apa dokumen atau apa jua yang perlu.

Suruhanjaya boleh mengeluarkan waran tangkap ke atas mereka yang gagal hadir atau enggan hadir tanpa sebab diterima. Suruhanjaya boleh mendenda seseorang yang enggan patuh arahan suruhanjaya untuk menyerah apa-apa dokumen atau barang.

Denda tersebut tidak boleh melebihi RM50, suatu jumlah yang amat rendah berbanding tugas siasatan yang besar digalas oleh suruhanjaya.

Kuasa ini boleh disemak dalam Seksyen 8 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950. Akta Suruhanjaya juga menjamin hak pihak-pihak yang dipanggil sebagai saksi, yang mana saksi-saksi mempunyai hak diwakili peguam sepanjang proses siasatan dilakukan suruhanjaya.

Suruhanjaya yang dilantik untuk melakukan siasatan awam ini mempunyai kuasa Majistret Kelas Pertama dan mempunyai kuasa diperlukan untuk memastikan kelancaran dan keberkesanan siasatan.

Tambahan pula, mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan, prosiding siasatan menurut akta akan dianggap sebagai prosiding kehakiman dan ia adalah bebas.

Seseorang yang bertindak sebagai Pesuruhjaya, hendaklah disifatkan sebagai perkhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan [Akta 574], dan tiap-tiap siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan hendaklah disifatkan sebagai suatu prosiding kehakiman mengikut pengertian Kanun Keseksaan tersebut.

Apabila disifatkan sebagai prosiding kehakiman, maksudnya di sini, walaupun lantikan ahli suruhanjaya, walaupun atas nasihat Ketua Kerajaan atau Perdana Menteri, mereka hendaklah bebas daripada pihak eksekutif, atau pihak kerajaan.

Perlu juga diberikan perhatian bahawa Yang di-Pertuan Agong, dalam mengeluarkan tauliah lantikan ahli suruhanjaya, sebagaimana peruntukan dalam Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 boleh menetapkan bagaimana tauliah boleh dilaksanakan.

Setelah lantikan dibuat dan suruhanjaya dibekalkan dengan terma-terma lantikan dan tugasannya, kerajaan tidak boleh menarik balik lantikan atau memberhentikan tugasan atau siasatan dilakukan. Suruhanjaya ini mungkin terdiri daripada seorang atau beberapa orang yang surat lantikannya ditandatangani Yang di-Pertuan Agong, jika di peringkat Persekutuan, atau ia boleh dibuat di peringkat negeri dan lantikan dibuat Pihak Berkuasa Negeri.

Perkara asas yang perlu diberi perhatian oleh semua kita ialah proses siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Siasatan adalah satu proses penting kerana ia merupakan satu badan bebas yang melaksanakan tugas kehakiman bagi kepentingan awam. Oleh itu peruntukan undang-undang yang ada dapat menjamin kebebasan Suruhanjaya Siasatan.

Perkara ini perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana sebarang kenyataan menghina ahli suruhanjaya akan merendahkan martabat suruhanjaya dan ia adalah juga kesalahan di bawah seksyen 13, 14 dan 15 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

PENULIS adalah Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa (UIA).