Lantaran itu kita kena fikirkan macam mana dalam kehidupan ini kita hanya mahu melakukan kebaikan hingga tidak berkesempatan untuk melakukan kejahatan. Janganlah hidup kita umpama lalat, yang sifatnya suka kepada perkara yang kotor-kotor dan sering membawa kotoran ke mana ia pergi, hingga kita tidak disukai orang.

Kedua, situasi meminta maaf dan bertaubat. Iaitu kalau kita berbuat salah kepada sesama insan mohonlah kemaafan, dan kalau kita membuat kesilapan kepada Allah SWT bertaubat kepada-Nya.

Ketiga, mensyukuri dan bersabar. Apa yang kita dapat setiap hari, sama ada perkara yang kita suka dan perkara yang kita tidak suka, nilailah kebaikan daripada setiap kejadian. Perkara yang kita suka adalah nikmat, maka kita kena bersyukur. Perkara yang kita tidak suka, adalah masalah, maka kita kena bersabar.

Sama ada kita akan mendapat kebaikan atau mendapat masalah, mendapat nikmat atau musibah, kita kena fikirkan bagaimana untuk kita menghadapi dan menanganinya secara positif. Selalunya orang yang tidak celik mata hatinya, dia akan katakan hidupnya sentiasa susah, banyak masalah dan ujian. Sedangkan jika kita fikir dan renung kembali, kehidupan kita ini dipenuhi nikmat sebenarnya.

Contohnya ketika kita tidur, kita tidak perlu fikirkan dan tentukan jantung kita terus bergerak dan buah pinggang kita terus berfungsi, kerana kedua-dua organ penting tubuh kita itu berfungsi secara semulajadi. Maknanya kita dapat nikmat pengurusan tubuh badan ketika kita tidur secara percuma oleh Allah SWT, maka kerana itulah kita kena bersyukur, biarpun kita diduga dengan masalah.

Kejayaan kita menangani masalah atau mencari kebaikan daripada masalah akan mengelakkan diri kita daripada sikap negatif, iaitu seperti hidup dengan keegoan. Orang yang hidup dalam keegoan akan berpegang kepada konsep hidup, aku adalah aku. Iaitu semua yang aku miliki adalah kerana kehebatan aku. Ingatlah perangkap keegoan datang daripada sikap keakuan dan sikap ini akan membesarkan lagi masalah, terutama dalam perhubungan.

Kerana keegoan akan membuatkan kita sentiasa hendak menang dan bersaing. “Janganlah kita menjadi seperti ikan laga, dengan bayangan diri sendiri pun berlagak nak beradu tenaga, apatah lagi dengan lawannya pantang berdepan tunjuklah lagaknya.”

Keegoan juga masalah yang men­jadikan kita berasa dengan ikhtiar, kita berjaya. Hingga kita lupa untuk berdoa dan bertawakal serta niatkan segala usaha kita kerana Allah.

Hal ini amat berbahaya, kerana se­kali Allah menguji kita dengan ke­ga­galan, kita tidak akan nampak kebaikan dalam masalah. Kita akan jatuh tersungkur dengan kekecewaan dan tidak mampu bangun semula untuk meneruskan perjuangan.

Oleh sebab itu jom audit diri, jangan berasa kejayaan datang dari­pada diri sendiri semata-mata tetapi, tanamkan keyakinan yang kukuh bahawa pergantungan kepada Allah amat penting, bagi menentukan setiap usaha kita berjaya tanpa diganggu gugat oleh masalah.

Menurunkan keegoan akan men­jadikan kita tenang, yakin, ikhlas, tidak berharap balasan makhluk. Sifat-sifat inilah yang akan menjadi daya tarikan orang lain kepada kita. Kerana sesiapa yang ada Allah di hatinya, Allah akan campakkan rasa kasih sayang orang lain kepadanya.

Demikian juga sikap keegoan juga menyebabkan kita menjadi orang yang tidak suka bergaul dengan orang lain, tidak terima nasihat dan teguran orang, hanya mahu orang mendengar cakap dan nasihatnya yang tidak pasti betul, serta berasa dirinya sahaja yang betul. Orang yang tidak mahu terima pandangan orang, adalah orang yang ego. Kurangkan keegoan akan menghilangkan stres. Sikap keegoan ini akan mendatangkan masalah dalam pergaulan.

Namun begitu, untuk mencari kebaikan berhadapan dengan orang yang bermasalah dengan perangai ego begini, kita perlu tangani dengan bijaksana menggunakan psikologi. Jangan lawan dengan kekerasan sebaliknya menerima sikapnya dengan rasa kasihan dan bersyukur kerana kita memiliki sikap negatif begitu.

Lihatlah masalah orang sebagai satu pembelajaran dan bersyukur kerana kita memiliki sikap negatif begitu. Kita tidak boleh ubah perangai orang. Hendak mengubah diri kita pun susah, sedangkan kita tahu tentang kelemahan dan kelebihan kita, apatah lagi untuk mengubah sikap orang lain. Hanya Allah yang menggenggam hati manusia, dan Allah sahajalah yang berkuasa untuk mengubah sikap manusia melalui hidayah-Nya.

Seterusnya bagaimana kita hendak mencari kebaikan kepada diri yang berhadapan dengan masalah yang datang bertimpa-timpa. Contohnya ekoran daripada hilang pekerjaan, rumah tangga juga turut hancur, macam mana hendak dipositifkan atau mencari kebaikan daripada masalah hidup yang besar menekan diri. Hadapi satu demi satu masalah dengan tenang.

Hidup kita ini lumrahnya memang begitu, ada hari yang kita lalui dengan selesa dan sukses, semua yang kita lakukan menjadi. Tetapi ada hari yang serba tidak kena, satu hasil pun daripada kerja kita tidak menjadi. Kunci untuk mendapat kebaikan dalam kehidupan adalah, beri kebaikan sebanyak mungkin, walaupun kita berada dalam situasi negatif. Bersihkan jiwa. Jiwa yang bersih melahirkan emosi yang bersih. Didik diri dan bimbing hati untuk berfikir macam mana masalah ini membuat kita lebih dekatkan diri dengan Allah.

Sebab dengan keyakinan bahawa semakin besar ujian semakin besar pulangan yang akan didatangkan Allah SWT untuk kita, dan itu tanda kasih sayang-Nya, jika kita bersabar. Belajarlah melihat diri pada semua kebaikan daripada Allah untuk kita, dan semua keburukan yang kita dapat pasti berpunca daripada dosa kita dahulu. Dengan bertaubat dan reda, kita akan mendapat kebaikan daripada masalah tersebut.

Akhirnya, ketika ditimpa masalah yang tidak putus-putus kita jangan mudah berputus. Jangan sama sekali kita menyalahkan Allah dan berasa tidak adilnya Allah, serta mempersoalkan kekuasaan-Nya, mengapakah kita yang ditakdirkan hidup diselubungi dengan masalah. Jika kita berputus asa, maka bermula kejatuhan kita dan kemenangan syaitan.

Tenangkan diri dengan cara bernafas dengan baik dan teknik yang betul. Berilah sebanyak mungkin kebaikan kepada orang di sekeliling kita. Kita hanya beri apa yang kita ada dan kita hanya dapat apa yang kita telah beri. Untuk mendapat kebaikan dan dihindari masalah, beri kebaikan kepada semua orang tanpa mengharap balasan, pasti hubungan dengan orang sekeliling menjadi baik.

Jaga hubungan kita dengan orang sekeliling agar tidak menimbulkan masalah kepada hidup kita dengan mengamalkan lima pantang ini menurut KH Aagym. Pertama, pantang menzalimi orang lain. Kedua, pantang melupakan kebaikan orang kepada kita.

Ketiga, pantang menyebut kebaikan diri sendiri. Keempat, pantang mengharap dan meminta sesama makhluk. Kelima, pantang buat amalan sia-sia dalam perkataan, sikap, fikiran dan perbuatan. Bagi menjamin mendapat kehidupan yang positif hindari seboleh mungkin masalah dalam hidup kita. Mencegah masalah lebih baik daripada menangani masalah, kecuali jika masalah yang tidak dapat kita hindari kerana telah ditakdirkan Ilahi kepada kita.

Hadapi segala masalah itu dengan sabar, reda dan tabah. Anggaplah masalah itu satu ujian, cabaran dan peluang untuk dihadapi dengan positif dan mencari kebaikan melaluinya. Ingat formula FIKIR BAIK – EMOSI BAIK – TINDAKAN BAIK – HASIL KEHIDUPAN BAIK. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.