Ini kerana haji mabrur adalah tingkat ibadah haji pa­ling tinggi serta istimewa dan mereka yang memperolehnya akan diampunkan dosa-dosanya, mengekalkan ibadat hingga akhir hayat dan dijamin masuk syurga.

Rasulullah menyebut tentang haji mabrur dalam satu hadis yang bermaksud: “Haji mabrur itu, tidak ada balasan baginya melainkan syurga.” (Riwayat Bukhari)

Seperti juga dalam kehidupan duniawi yang memerlukan usaha untuk mencapai sesuatu kejayaan, jemaah juga perlu ber­usaha keras untuk memperoleh haji mabrur.

Usaha itu bukan ha­nya sebelum pergi haji, malah meliputi semasa melaksanakan ibadat itu serta selepas menunaikan haji.

Berhubung hal itu, Pakar Rujuk Haji 1439 Hijrah, Datuk Nooh Gadut dalam siri ce­ramah dan taklimat kepada jemaah haji berkata, paling pen­ting sebelum menunaikan haji niat perlu diperbetulkan iaitu ikhlas kerana Allah dan sete­rusnya mempersiapkan diri dengan ilmu dan wang secukup­nya daripada sumber yang halal.

Jemaah juga perlu memastikan melaksanakan Rukun Islam dengan sempurna iaitu solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengeluarkan zakat.

Semasa menunaikan haji pula perlu pastikan rukun dan wajib haji disempurnakan, membayar dam yang berkaitan dan meninggalkan larangan ihram selain tidak melakukan sifat mazmumah, keji, fusuq, jidal dan rafath.

“Buat sujud syukur setiap hari atas kurnia-Nya yang luar biasa dapat mengerjakan haji agar dengan itu kita menjadi insan yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menjelaskan fadilat mengerjakan seba­nyak mungkin solat sunat di tanah suci selain solat fardu kerana bacaan Al-Fatihah adalah untuk pastikan hidayah dan pertolongan Allah bersama kita.

Selain itu, katanya, dirikanlah solat hajat setiap masa serta sentiasa berdoa untuk mendapatkan haji mabrur kerana hanya dalam satu saat Allah boleh mengubah seseorang menjadi lebih baik dan mengekalkan sifat itu sepanjang hayat.

Beliau turut mengingatkan satu lagi aspek penting dalam mendapatkan haji mabrur iaitu menjaga adab ketika beribadat.

“Ketika tawaf jangan tolak-menolak, potong-memotong, ikut pergerakan perlahan-lahan. Kita tawaf betul-betul kerana Allah, kerana inginkan keampunan daripada-Nya.

“Jangan ketika sedang tawaf buka WhatsApp dan baca, tak ada kerja lainkah?” katanya.

Dalam hal beribadat, beliau meminta jemaah Malaysia agar tidak terikut-ikut dengan amalan jemaah negara lain, sebaliknya mengikut apa yang telah diputuskan oleh muzakarah ulama dan Tabung Haji sendiri.

Katanya, perkara itu penting kerana jika ibadat dilakukan tidak betul bagaimana untuk mendapatkan haji mabrur?

Katanya, sepanjang di tanah suci sentiasalah melazimi solat berjemaah kerana rahmat Allah luar biasa di tanah haram. Jemaah juga harus ingat agar tidak melakukan perkara yang dilarang contohnya membawa pulang batu dari tanah haram ke tanah air.

“Jika dibawa balik wajib dipulangkan semula ke tanah haram, jangan nak buat batu cincin pula. Maknanya Allah begitu menjaga tanah haram agar tidak dinodai,” katanya.

Beliau turut menasihatkan jemaah agar mempergunakan tempoh berada di tanah suci untuk memohon rahmat kepada anak-anak, ibu ayah serta orang yang dikasihi.

Bagi yang sudah meninggal dunia terutama ibu ayah, jangan kedekut untuk menghadiahkan pahala bacaan ayat suci al-Quran. Begitu juga bagi yang berkemampuan, jangan lokek membuat korban dan pahalanya dikirimkan kepada mereka.

Dalam menunggu tempoh masyair iaitu puncak ibadat haji, katanya, elakkan daripada membuat umrah agar kesihatan terjaga terutama jemaah warga emas.

“Jangan ikut orang muda, mereka tenaga banyak, kita yang ada macam-macam penyakit ikutlah kemampuan kita,” katanya.

Beliau turut menasihatkan jemaah agar merujuk kepada Pembimbing Ibadat Haji segala kemusykilan tentang amalan haji masing-masing sebelum pulang ke tanah air agar dapat diselesaikan semasa di tanah suci lagi.

“Jika balik amalan haji tidak selesai susah jadinya...selepas 20 tahun sudah kahwin, ada anak dan jadi waris. Jadi, jangan peram permasalahan itu, tanya dan pakar rujuk akan cuba selesaikan,” katanya.

Selepas menunaikan haji pula, berusahalah menjauhkan diri daripada melakukan dosa dan perkara mungkar.

Tingkatkan iman dan takwa dengan memperbanyakkan amal soleh serta perbaiki diri ke arah yang lebih sempurna dari segi akhlak dan kelakuan secara berterusan. Selainnya, mohonlah agar doa dikurniakan haji mabrur dimakbulkan.