Tumpuan sudah pastilah kepada UMNO yang menjadi sasaran utama Pakatan Harapan diketuai DAP untuk ditumbangkan. UMNO bukan sekadar menjadi tulang belakang BN tetapi juga tonggak kekuatan kuasa politik Melayu. Oleh itu DAP ‘memperkudakan’ PPBM, PAN dan PKR untuk me­laksanakan misi tersebut. Nafsu politik dan dendam kesumat yang membara di hati bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diambil kesempatan oleh DAP untuk melunaskan misi politik mereka.

Dalam memilih calon PRU-14, kepemimpinan UMNO tidak boleh bertolak ansur dengan wakil rak­yat bermusim, ketua bahagian yang mahu terus ‘menongkat la­ngit’ dan sama sekali tidak boleh meminggirkan calon-calon muda.

Dari segi prestasi, tiada sesiapapun boleh menafikan rekod cemerlang BN dalam mentadbir negara, tetapi apabila memasuki gelanggang pilihan raya rekod itu mungkin akan ditenggelami jika UMNO mahupun BN gagal memilih calon yang disukai rakyat.

Sehingga ke hari ini, penulis diberitahu ramai dalam kalangan pemimpin di peringkat bahagian masih belum insaf. Perebutan menjadi calon sehingga cantas mencantas antara satu sama lain masih berlaku. Malah dalam satu kes contohnya seorang pemimpin kanan UMNO dikatakan tidak berani untuk mencalonkan ketua pemuda di bahagiannya untuk bertanding salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ke­rana ‘diberi amaran’ akan diboikot oleh ahli jawatankuasa bahagian.

Di bahagian-bahagian lain juga ada kisah tersendiri yang kalau tidak dikendali dengan betul akan menyebabkan UMNO kalah dalam pilihan raya umum akan datang. Jangan anggap kekalahan mustahil akan ‘mendatangi’ UMNO. Situasi politik sekarang sudah berbeza. Ia bukan seperti tahun 80-an atau 90-an, bak kata orang letak songkok warna biru pun BN boleh menang.

Hakikatnya UMNO bukanlah ketandusan calon, tetapi mereka tidak diketengahkan atau ‘ditutupi’ kemunculan mereka oleh perangai buruk sesetengah ketua bahagian yang lebih memikirkan kepentingan peribadi berbanding kemenangan parti.

Di setiap negeri ada calon-calon berwibawa. Sekadar menyebut beberapa nama. Di Kuala Terengganu ada Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris. Kecemerlangan beliau dalam pendidikan mampu menarik anak muda menyokong BN, begitu juga keha­diran Dr. Nik Mohammad Azli Nik Ariffin di Bagan Datuk. Beliau yang aktif membantu rakyat di DUN Hutan Melintang dan Rungkup melalui projek ziarah kasih dikatakan mampu membantu meningkatkan undi BN bagi kerusi Parlimen yang disandang oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi jika diberi peluang bertan­ding salah satu kerusi DUN di kawasan Parlimen berkenaan.

Di Perak juga, kemunculan Mohd. Asri Mohamad Ghazali Al Hafiz dikatakan akan menamatkan ‘kemarau panjang’ UMNO untuk mencari seorang calon berlatar belakang agama bagi mera­napkan penguasaan Pas di kerusi Parlimen Parit Buntar. Mohd. Asri yang merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah sudah tidak asing lagi dengan penduduk di kawasan tersebut. Beliau sering mengadakan majlis-majlis ilmu di situ. Di Kedah pula, kepemimpinan UMNO tidak boleh meminggirkan orang muda seperti Ketua Pemudanya, Datuk Shaiful Ha­zizy Zainol Abidin dilihat antara pemimpin generasi pelapis di negeri Jelapang Padi tersebut.

Penulis menyebut nama-nama tersebut sebagai contoh untuk membuktikan hakikatnya UMNO tidak ketandusan calon berwibawa. Kesemua mereka ada kelebihan masing-masing yang mampu dite­rima oleh rakyat dan boleh memastikan kemenangan BN, malah ramai lagi di dalam UMNO yang berada di kedudukan tersebut.

Tetapi malangnya, mereka menjadi ‘mangsa politik’ di peringkat bahagian. Ini adalah fakta yang tidak boleh dinafikan. Kalaulah ketua bahagian, timbalan ketua bahagian atau naib ketua bahagian berkhidmat dengan baik sebagai wakil rakyat tidak apa, tetapi masalahnya ada yang bermusim. Bila ada aura-ura pucuk pimpinan parti mahu meletakkan calon baharu, mulalah dia kelam kabut termasuklah melakukan budaya politik ugut, cantas dan sabotaj.

Begitu juga yang beria-ia mahu bertanding lagi dalam pilihan raya walaupun sudah kalah berkali-kali sebelum ini. Kalau mereka itu berperangai seperti Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said atau Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zai­nal Abidin di Lembah Pantai yang tidak henti-henti turun padang tidak mengapa, tetapi ada dalam kalangan ketua bahagian atau timbalan ketua bahagian yang bertaraf wakil rakyat hanya muncul apabila pilihan raya sudah dekat.

Begitu juga dengan sesetengah Ahli Parlimen dan ADUN yang sebelum ini mencapai majoriti tipis dalam pilihan raya umum lalu. Ada antara mereka sudah diberi ‘isyarat’ akan ditolak oleh rak­yat jika bertanding lagi. Oleh itu kepemimpinan UMNO tidak boleh bertolak ansur dalam pemilihan calon kali ini kerana ia bukan sekadar soal mencapai kemenangan atau meraih kejayaan tetapi jauh daripada itu memastikan survival perjuangan UMNO dan BN.