Saya tahu Za’ba dan Ibu Zain memang saling berbalas syair dan gurindam dalam majalah Bulan Melayu. Saya bersalaman, memperkenalkan diri bahawa saya penuntut di Maktab Tanjung Malim. Saya mewakili Persatuan Penuntut Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim ke Mesyuarat Kongres Persuratan Melayu.

“Datang dengan rombongan?”

IBU Zain pemimpin kaum ibu tahun 1950 - 1953.
IBU Zain pemimpin kaum ibu tahun 1950 - 1953. 

“Ya, dengan perwakilan Persatuan Penuntut!”

“Nah entah-entah anak muda ini akan gantikan Tuan Pendeta Za’ba!” ujar Ibu Zain. Saya tunduk malu. Tentulah jauh lagi perjalanan untuk sampai ke sosok pendeta yang tersohor ini. Saya menghulurkan autograf kepada Ibu Zain. Selepas dia menulis sebaris dua, dia menghulurkan kepada Pendeta Za’ba.

“Tulislah amanat untuk anak muda ini. Amanat yang bernas.”

Tulisan jawinya amat cantik, dia merenung saya dengan renungan yang tajam. “Terus menjadi guru dan terus menulis!” katanya. Saya menyalaminya lagi dan mencium tangannya. Pertemuan yang saya anggap sakral suci ini terputus untuk puluhan tahun. Beliau pernah menjadi pensyarah dan penterjemah di Jabatan Karang Mengarang di Tanjung Malim. Puluhan buku barat dan timur diterjemahinya termasuklah karya William Shakespeare seperti Macbeth, Othello dan lain-lain. Pendeta Za’ba menjadi idola saya dalam senyap.

Dia pernah menjadi Pensyarah Bahasa dan Sastera Melayu di SOAS, Universiti London. Di situlah dalam usia 58 tahun Za’ba menerima ijazah B.A. Saya bertemu kali kedua dan terakhir dengan Pendeta Za’ba selepas beliau menerima Ijazah Doktor Kehormat di Universiti Malaya. Saya menemuinya untuk satu wawancara singkat buat Dewan Sastera.

“Za’ba cerewet dengan tulisannya. Dia menyunting bukan sekali, tetapi dua tiga kali,” kata Keris Mas mengingatkan saya. Dia terkenang dengan novel terjemahan pertama Za’ba `Anak Raja Anak Papa’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Za’ba pada akhir hayatnya terasa, seolah-olah gaya karangannya tidak menarik perhatian sasterawan baharu teruta­manya kalangan ASAS 50.

“Yang baharu akan menjadi lama, dan yang lama akan pergi. Saya dah berikan yang saya mampu!” katanya sinis. Dia tentu tak ingat lagi anak muda yang menemuinya di Bangunan Guru Melayu Selangor kira-kira 25 tahun lalu.

“Ini kawan saya Pak Za’ba, nama penanya Kemala!” Abdul Karim Abdullah memperkenalkan saya. Bapa Karim, pernah menjadi penterjemah bersama Za’ba di Maktab Tanjung Malim. “Ohhhh, ini dia Kemala...” dia merenung saya seperti renungan dahulu waktu beliau masih segar dan sihat bersama Ibu Zain.

Kini Za’ba nampak uzur bersahaja dalam baju biasa dan berkain pelekat. Saya masih mengenang sebak dan terharunya beliau waktu diletakkan songkok pendeta oleh Cikgu Muhammad Noor Ahmad. Ucapannya dan esaknya masih terngiang-ngiang melalui Radio Malaya. Sosok pendeta bahasa Melayu yang tiada tandingannya. Bahasa Melayu didaulatkan. Kini hadir seorang pendeta nan terbilang. Bagaimana mahu saya lupakan?

Madahnya terus gemersik

Kenal dirimu ayuhai rakan

ke dalam kolam kamu campakkan

adakah dikenal oleh ikan

ia ataupun bukan.

 

Agenda khusus Sidang Kongres adalah bagi membincangkan Rumusan Kongres Persuratan Melayu ke-111 di Johor Bahru yang diadakan pada tahun 1956 di Istana Bukit Timbalan.

Antara rumusan yang penting seingat saya adalah untuk menubuhkan Balai Pustaka seperti yang didirikan di Indonesia. Kemudian nama ini diubah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. Balai Pustaka untuk sementara diwujudkan di Johor Bahru dengan Ungku Abdul Aziz sebagai Pengarah yang pertama. Sesuai dengan perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Dewan Bahasa dan Pustaka berpindah ke Jalan Young, Kuala Lumpur.

Seingat saya dahulu lokasi ini digunakan untuk pejabat Radio Malaya. Saya pernah menyerahkan skrip ceramah saya tentang Kesenian Melayu kepada penerbitnya Dom Madzi. Waktu itu saya berumur 15 tahun. Tentulah Dom Madzi terkejut yang datang bukan Keris Mas atau Usman Awang, tetapi anak muda yang tak dikenalnya. Waktu itu sahabat saya Firdaus Abdullah yang menemani dan menyungguhi saya. Saya tentu tidak terkejut apabila seminggu kemudian teks ceramah saya dikembalikan melalui pos.

“Entah-entah anak muda ini yang akan menggantikan Za’ba!”

“Terus menjadi guru dan terus menulis!”

Dua pesan Ibu Zain dan Pendeta Za’ba terus tersimpul dalam hati sanubari saya sampai ke detik ini.