Dia tidak mempertikaikan pemasangan itu tetapi bimbang jika papan iklan itu tumbang. Saya beritahunya, jika sudah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) apa lagi nak dibimbangkan. Kebetulan semasa melalui kawasan berkenaan untuk kembali ke Kuala Lumpur, saya terpandang papan iklan itu. Terletak di satu simpang lampu isyarat. Memang besar. Mungkin tidak sesuai dipacakkan terlalu hampir dengan jalan raya. Papan iklan itu memaparkan wajah Anwar Ibrahim, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh beserta slogan Bebas Rakyat Bebas Anwar. Melihat gambar itu, sia-sialah bagi mereka yang mempertikaikannya.

Tidak perlu menjadi seperti anjing menyalak bukit. Kawasan itu terletak di Parlimen Permatang Pauh, dikuasai PKR, di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Ikut suka PBT berkenaan. Cuma seperti yang dibimbangkan rakan saya ialah sesuaikah papan iklan itu dipasang di situ. Bagaimana jika tumbang dan menghempap kenderaan, penunggang motosikal, pejalan kaki yang berhenti di lampu isyarat itu? Tentunya MPSP sudah melihat semua aspek keselamatan sesuai dengan kehebatan kerajaan DAP yang melaungkan slogan Cekap, Akauntabilti dan Telus (CAT). Jika kerajaannya CAT sudah tentu, agensi di bawahnya juga CAT. Ingatlah setiap inci tanah kerajaan negeri itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan DAP Pulau Pinang. Begitu juga memasang poster, bendera dan sebagainya. Jadi tidak perlulah berkokok menyatakan itu dan ini mengenai tindakan PBT.

Kalau disuruh roboh, maka robohlah. Kalau disuruh pasang, maka pasanglah. Jangan memandai-mandai mahu tegur walaupun sesuatu itu menyakitkan mata memandang dan membahayakan. Dulu semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, banyak juga papan iklan BN (tidak sebesar iklan PKR) di kawasan itu didapati tumbang dan koyak rabak, mungkin disebabkan angin kencang. Apa pun, hak kerajaan DAP untuk mempertahankan papan iklan berkenaan. Memang sudah lumrah, pihak kerajaan negeri gemar memasang poster atau papan iklan besar yang memaparkan wajah pemimpin dengan pelbagai ‘slogan’. Suasana sebegini tidak pernah terlihat ketika BN menguasai pentadbiran kerajaan negeri. Maaf cakap, BN terutamanya UMNO amat ‘kedekut’ dan ‘takut’ untuk menaikkan papan iklan besar seperti parti lain. Mungkin untuk tidak terlalu menonjolkan kuasa politik dan patuh undang-undang. Lihat sahaja bendera. Ketika bendera parti politik lain terus berkibar, di mana bendera BN atau UMNO? Satu perkara lagi, pada kebiasaannya sebarang poster atau iklan berkaitan pilihan raya perlu diturunkan selepas berakhirnya pengundian tetapi sehingga sekarang, masih ada iklan kempen PKR kekal di simpang itu. Tanggungjawab siapa meruntuhkannya? Jika PBT, adakah PBT tidak nampak atau pilih kasih? Di mana CAT?

Kembali ke kawasan Penanti, saya tidak pasti sama ada papan iklan besar itu terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti atau Permatang Pasir. Jika tidak silap (saya ulangi kalau tidak silap), di situ ada iklan ADUN Permatang Pasir mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memilihnya. Sama ada terletak di DUN Penanti, Permatang Pasir atau Seberang Jaya, semuanya berada di bawah Parlimen Permatang Pauh. Apa yang diharapkan, janganlah sekadar papan iklan atau poster. Usah terlalu berbangga dengan poster beserta slogan yang hebat sedangkan masalah penduduk tidak mampu diselesaikan. Janji-janji pilihan raya, ikrar untuk berkhidmat kepada rakyat harus ditunaikan. Sekadar slogan tidak mampu memakmurkan kehidupan rakyat. Cakaplah serupa bikin jangan cakap tidak serupa bikin. Apa yang peliknya, DUN Penanti sejak diambil alih oleh pakatan pembangkang tidak habis-habis dengan masalah yang berkait dengan wakil rakyat, kerajaan negeri serta kepemimpinan PKR. DUN Penanti pernah menjadi kubu kuat UMNO/BN. Wakil rakyat BN yang pernah mewakili Penanti termasuklah Ahmad Saad (1990), Daud Taha (1995) dan Abd. Jalil Abd Majid (2004). Tahun 1999 jatuh ke tangan PKR. Selepas PRU 2008, setiap ADUN kawasan berkenaan berhadapan dengan masalah. Menyelak kembali tahun sebelumnya, ada sahaja cerita ‘politik’ yang melanda wakil rakyat PKR di Penanti. Bermula dengan Mohammad Fairus Khairuddin yang menang PRU 2008 dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Pulau Pinang. Tiba-tiba beliau meletak jawatan TKM1 dan anggota Exco Kerajaan Negeri berkuat kuasa pada 8 April 2009. Pada 24 April tahun yang sama, beliau mengumumkan akan tetap meletak jawatan sebagai wakil rakyat Penanti sambil menyatakan sokongan penuh kepada kepemimpinan PKR yang diterajui Anwar. Akhirnya pada 28 Februari 2010, beliau menyertai UMNO.

Sejak itu terbongkarlah rahsia beliau meninggalkan PKR dan mungkin membawa kepada peletakan jawatan sebagai TKM1. Dalam program Soal Jawab bersama TV3 pada 8 Mac 2010, beliau mendedahkan tindakannya melepaskan jawatan dalam PKR dan ADUN Penanti adalah kerana diminta oleh Anwar bagi menstabilkan parti apabila wujud gerakan yang dilakukan oleh ‘firaun-firaun kecil’ di dalam parti.Katanya: “Apa yang berlaku dalam PKR setahun jagung memerintah tetapi ketamakan politik amat luas sampai ke tahap bawahan sehinggakan perjuangan tersasar yang menyebabkan saya kecewa,’’ Begitulah kisah Mohammad Fairus.Peletakan jawatan itu menyebabkan PRK Penanti terpaksa diadakan. PKR menurunkan Mansor Othman. BN pula tidak bertanding kerana menganggap PRK angkara PKR itu membazirkan wang rakyat. Akhirnya berlaku pertembungan empat penjuru melibatkan tiga calon Bebas. Mansor menang mudah dan dilantik sebagai TKM1. September 2012, timbul cerita Mansor tidak ‘sebulu’ dengan bosnya Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri. Heboh ketika itu rakaman kenyataan Pengerusi PKR negeri itu yang mendakwa Guan Eng ‘sombong, angkuh, tokong’. Mungkin kerana itu, Mansor tidak dikekalkan di DUN Penanti pada PRU lalu sebaliknya dipindahkan ke kawasan Parlimen Nibong Tebal.

Bagi mengisi kekosongan di Penanti, Norlela Ariffin, anak bekas ahli Parlimen BN Permatang Pauh, Allahyarham Ariffin Daud diturunkan mewakili PKR. Beliau menang. Bermulalah era wanita sebagai wakil rakyat Penanti. Tiba-tiba heboh diperkatakan beliau akan meletak jawatan kerana didakwa ditegur oleh pemimpin PKR. Ada yang berkata, konspirasi seperti menjatuhkan Mohammad Fairus akan berulang. Laporan itu tidak tepat tetapi cerita ADUN Penanti ini tidak selesai apabila beliau tampil mengkritik kerajaan negeri termasuk bajet, kilang haram di Penanti dan pendatang asing tanpa izin. Beliau menitiskan air mata semasa persidangan DUN apabila segala luahan yang dibawa untuk pembangunan rakyat di kawasannya tidak didengari kerajaan DAP Pulau Pinang.

“Saya buang masa hampir sejam menunggu jawapan, setiap hari saya tunggu jawapan, tetapi tak jawab, saya buang masa sejam...saya bawa suara orang kampung...” luahnya sambil menangis.

Begitulah rintihan Norlela. Kenapa Penanti seolah-olah diabaikan?

Biarlah apa orang lain mahu berkata mengenai tindak-tanduk Norlela ini sama ada mahu menarik simpati atau publisiti. Apa yang pasti, setiap ADUN Penanti yang diwakili PKR ada sahaja cerita yang seolah-olah mereka tidak mesra dengan kerajaan DAP. Di mana silapnya? Entah apa kesudahannya. Jangan biarkan pengundi Penanti ternanti-nanti masalah mereka diselesaikan oleh wakil rakyat dan kerajaan negeri.