Intipati ucapan Dr. Mahathir pada 2003 banyak berkisar kepada geopolitik global yang dikuasai oleh kuasa besar dalam menekan negara kecil dan juga bagaimana tidak efektifnya pertubuhan antarabangsa seperti PBB melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Dr. Mahathir ketika itu menyarankan supaya pertubuhan tersebut distruktur semula kerana menurut beliau dunia telah hilang punca arah tanpa PBB yang lebih adil dan kuat.

Tetapi senario geopolitik Malaysia dan juga global telah banyak berubah selepas 15 tahun berlalu dan sudah pastinya hala tuju ucapan Dr. Mahathir kali ini mengambil kira keadaan semasa.

Menurut Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah ucapan Perdana Menteri akan berkisar kepada asas dasar luar kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi tidak akan berlaku perubahan yang drastik daripada pengamalan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut Saifuddin lagi berkemungkinan juga Dr. Mahathir akan menyentuh beberapa perkara baharu seperti Dasar Pandang ke Timur yang lebih komprehensif dan juga peranan Malaysia dalam isu hak asasi manusia dan juga Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (SDG) PBB.

Saifuddin juga menegaskan tidak memeranjatkan jika Dr. Mahathir menimbulkan kritikan terhadap proses globalisasi kerana isu ini menjadi kelaziman yang sering disuarakan beliau terhadap bagaimana tidak adilnya sistem sedemikian rupa.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking pula berkemungkinan Dr. Mahathir akan menyentuh isu perang dagang antara AS dan China kerana tarif yang dikenakan bukan sahaja memberi kesan terhadap AS dan China tetapi juga negara lain termasuk Malaysia.

Ironisnya isu seperti struktur PBB, kuasa besar membuli negara kecil dan globalisasi yang diluahkan Dr. Mahathir pada 2003 telah pun disentuh oleh Trump pada Selasa lepas. Walaupun isunya serupa tetapi pendekatan yang diambil oleh Trump dinilai agak berbeza dengan apa yang telah disarankan oleh Dr. Mahathir.

Trump mendakwa oleh kerana struktur PBB tidak efektif beliau telah mengambil keputusan untuk mengurangkan bantuan kewangan kepada dua agensi PBB iaitu Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin PBB (UNRWA) dan Majlis Hak Asasi PBB.

Ucapan Trump juga menyentuh dalil dasar beliau yang akan hanya memberi bantuan kepada negara yang berbaik dengan AS sahaja adalah contoh terbaik apa yang dimaksudkan oleh Dr. Mahathir bagaimana negara besar membuli negara kecil. Apabila Dr. Mahathir tidak berpuas hati dengan globalisasi yang hanya menguntungkan negara kuasa besar, Trump pula dalam ucapannya menegaskan beliau juga tidak bersetuju dengan globalisasi dan sebab itu pentadbiran beliau mengamalkan dasar mendahulukan Amerika yang pada asasnya menguntungkan AS tetapi memporak-perandakan ekonomi global.

Berbeza dengan ucapan Macron yang banyak menjurus kepada hasrat menambah baik situasi tidak menentu global, ucapan Trump pula lebih banyak kepada niat untuk menjaga kepentingan AS sahaja. Apabila Trump mendakwa pentadbiran beliau adalah lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu, kedengaran suara gelak ketawa yang boleh ditafsirkan mereka yang hadir tidak 
mengambil serius dakwaan Trump itu. Tetapi jika ucapan tersebut dilakukan di hadapan penyokong beliau, sudah pasti Trump akan mendapat tepukan gemuruh.

Sebab itu harapannya ucapan Dr. Mahathir nanti dalam menyentuh isu yang besar kemungkinan selari dengan ucapan Trump, tetapi pendekatan yang dibawa oleh Malaysia lebih membawa kepada kebaikan global dan tidak hanya berkisar kepada Malaysia sahaja.