Apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beberapa kontrak pertahanan bernilai RM9 bilion dijangka dimuktamadkan semasa LIMA ‘17, ini adalah mani­festasi betapa pentingnya pa­meran seumpama itu.

Tidak kurang pentingnya LIMA ‘17 adalah juga medan untuk mempamerkan keakraban persefahaman pertahanan angkatan tentera negara terbabit seperti Amerika Syarikat (AS), Rusia, Korea Selatan, Indonesia dan Si­ngapura dengan angkatan tentera negara penganjur iaitu Malaysia.

Apa yang tersirat LIMA ‘17 adalah landasan terbaik untuk menonjolkan bukan sahaja kehebatan aset pertahanan tetapi juga kecekapan anggota yang mengendalikan.

Sebab itu juga pertunjukan udara daripada beberapa pasukan seperti Dassault Rafale (Pe­rancis), Knights Su-30SM (Rusia), Team Jupiter (Indonesia), Black Eagles (Korea Selatan), Sarang (India) dan juga beberapa kumpulan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bukan semata-mata untuk mempamerkan kehebatan aset yang dimiliki tetapi juga kecekapan dan disiplin anggotanya yang akan memberi tanggapan positif terhadap organisasi pertahanan negara berkenaan.

Kesemua matlamat tersurat dan tersirat LIMA ‘17 dapat diterjemahkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi dalam hal bersangkut paut dengan keupayaan Ang­katan Tentera Malaysia (ATM) agar tahap kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap ter­tinggi.

“Di Malaysia kami memandang serius perkara ini dengan memperuntukkan sehingga RM26 bilion dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) untuk cabang pertahanan, keselamatan dan penguatkuasaan. Pertahanan dan keselamatan adalah perkara terpenting kerana wujud keutamaan untuk mengekalkan integriti serta kedaulatan sesebuah negara,” tegas beliau ketika berucap merasmikan LIMA ‘17.

Kenyataan Perdana Menteri tersebut walaupun dianggap perkara lazim tetapi rakyat Malaysia amat mengerti terutama dalam keadaan negara yang sentiasa menerima cabaran dan tekanan dari negara luar.

Walaupun cabaran tersebut lebih menjurus kepada hal percaturan diplomatik antarabangsa, tetapi setidak-tidaknya kekuatan aset pertahanan mampu meredakan keresahan rakyat umum.

Jika LIMA ‘17 mendapat liputan meluas daripada semua pihak kera­na kaitan rapatnya dengan sektor pertahanan, menarik juga jika dikaitkan dengan pengumum­an kewujudan Dasar Angkasa Negara (DAN) 2030 oleh Perdana Menteri pada awal Februari lepas.

Apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan di LIMA ‘17 bahawa industri aeroangkasa negara dijangka meningkat tujuh peratus tahun ini, pengumuman tersebut dianggap bersesuaian kerana industri aeroangkasa berkait rapat dengan sektor pertahanan.

Memang benar DAN 2030 khusus untuk membangunkan sektor angkasa lepas tetapi amat berkait rapat dengan sektor aeroangkasa. Sebab itu dihujahkan apabila Perdana Menteri memberi penekanan kepada cabang pertahanan, keselamatan dan penguatkuasaan ianya tidak hanya merangkumi bidang aeroangkasa tetapi juga angkasa lepas.

Mungkin ramai yang terta­nya-tanya apakah kekuatan aset ang­kasa lepas yang dimiliki negara berbanding negara kuasa besar seperti AS, Rusia dan China?

Malaysia tanpa banyak dise­dari oleh rakyat juga mempu­nyai kekuatan tersendiri dalam teknologi angkasa dan tidak keterlaluan jika diandaikan kekuatan negara dalam bidang tersebut adalah terbaik bukan sahaja dalam kalangan negara ASEAN malah merangkumi negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Aset teknologi angkasa lepas paling berharga yang dimiliki oleh Malaysia pada ketika ini ialah satelit remote sensing yang dinamakan RazakSat. Satelit tersebut yang di lancarkan pada 14 Julai 2009 mempunyai kemampuan membezakan objek di bumi sekecil 2.5 meter.

Kehebatan satelit RazakSat sebenarnya boleh digunakan secara optimum untuk memperkasakan dasar luar Malaysia. Lebih tepat lagi kedaulatan wilayah Malaysia seperti di Terumbu Ubi, Mantanani, Siput, Peninjau dan Pulau Layang-Layang di gugusan Kepulauan Spratly Laut China Selatan mampu diperkuatkan lagi dengan bantuan satelit RazakSat.

China pada asalnya hanya mempunyai tiga satelit khas untuk memantau kawasan pertikai­an maritim ini tetapi kini telah mempunyai sekurang-kurang 11 satelit.

Jangka hayat satelit RazakSat sudah pun tamat dan banyak pengajaran yang telah diperoleh daripada pembangunan satelit tersebut. Baru-baru ini kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memba­ngunkan satelit baharu menggantikan RazakSat.

Sekali lagi Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB) telah diberi tanggungjawab untuk membangunkan satelit yang bakal dinamakan RazakSat2.

Pembangunan RazakSat2 dijang­ka dilaksanakan 100 peratus oleh pakar kejuruteraan dan saintis dalam negara kerana ATSB telah pun memiliki kepakaran yang tersendiri.

Mungkin masih ada yang mempersoalkan apalah sangat istimewanya ciri satelit RazakSat2 kerana di angkasa lepas pada ketika ini terdapat lebih 3,000 satelit mengelilingi bumi. Mana mungkin dengan hanya satu satelit milik negara sudah mampu memberi kelebihan kepada kepentingan geostrategik negara.

Sebab itu ditekankan se­perti mana yang tersirat dalam kandung­an DAN 2030, ciri-ciri yang bakal dimiliki oleh satelit RazakSat2 bukan sahaja akan memenuhi keperluan saintifik dan ekonomi tetapi juga mempunyai ciri-ciri yang boleh digunakan dalam sektor pertahanan.