Amalan ini mendapat banta­han keras daripada semua pi­hak, rakyat biasa, persatuan pe­­ngguna, pertubuhan bukan ke­rajaan, kesatuan sekerja hinggalah ke peringkat menteri terlibat. Masing-masing sepakat menyifatkan tindakan ini sebagai satu diskriminasi melampau dan mencabuli hak seorang pekerja apatah lagi berlaku dalam sebuah negara yang agama rasmi adalah Islam. Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bagaimanapun mempertahankan polisi tersebut de­ngan menegaskan itu adalah satu pro­sedur operasi standard (SOP) yang digunakan oleh hotel-hotel di seluruh dunia. Menurut persatuan itu tidak timbul soal diskriminasi atau Islamofobia.

Dalam reaksi segera, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengeluarkan kenyataan paling keras dengan menyifatkan pihak yang mengamalkan polisi tersebut sebagai ‘kurang ajar,’ tidak bertanggungjawab dan melanggar Perlembagaan Persekutuan. Nazri juga menganggap polisi ter­sebut tidak wujud, rekaan semata-mata dan sengaja diada-adakan. Prosedur operasi standard yang konon diguna pakai oleh hotel-hotel antarabangsa itu jelas mencabuli kebebasan beragama di negara ini.

Menteri Ke­se­jah­­­teraan Bandar, Pe­rumahan dan Ke­raja­an Tempatan, Tan Sri Noh Omar juga senada malah meng­arahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik balik lesen mana-mana hotel di negara ini yang melaksanakan polisi sedemikian. Prosedur operasi standard yang diguna pakai oleh hotel-hotel terlibat itu jelas bertentangan de­ngan undang-undang. Hotel yang mempertahankan polisi sedemikian kata Noh, tidak la­yak beroperasi di negara ini.

Menariknya selepas tercetus isu ini, ramai ­mangsa tampil ke hadapan berkongsi pengalaman masing-masing kepada dasar tersebut. Daripada apa yang diceritakan perkara ini terbukti berlaku. Walaupun sebahagian mangsa pernah mengadu kepada kesatuan sekerja, tidak ba­nyak yang dapat membantu. Pengakhir­annya, mangsa me­ngalah dan tewas, berhenti kerja atau enggan memohon kerja di hotel-hotel sedemikian.

Walaupun MAH mendakwa peraturan sedemikian adalah sa­tu polisi standard, itu bukan ber­makna syarat tersebut tidak boleh diubah sementelah lagi itu peraturan buatan manusia. Polisi yang dirangka hendaklah mengambil kira keadaan sosial masyarakat setempat terutama yang berkaitan dengan adat, bu­daya dan agama. Larangan memakai tudung bagi pekerja barisan hadapan hotel mungkin sesuai di negara lain tetapi tidak kena jika dikuatkuasakan di Malaysia yang majoriti penduduk adalah beragama Islam.

Sektor-sektor pekerjaan lain ter­­masuk di syarikat-syarikat mul­tinasional pun tidak mengenakan syarat seumpama itu. Malah ada hotel-hotel bertaraf antarabangsa lain dengan se­nang hati menempatkan kakitangan bertudung bertugas di barisan hadapan.

Dengan kesedaran menutup aurat termasuk memakai tudung menjadi trend sebahagian besar umat Islam di negara ini sehingga merancakkan industri penjualan tudung, peraturan sedemikian walaupun mengikut standard antarabangsa sudah kelihatan lapuk.

Yang membezakan satu hotel dengan hotel yang lain, bukan yang terpacak di depan kaunter itu bertudung atau free hair, kulit cerah atau hitam manis, lawa atau so-so sahaja, seksi atau sopan, manja atau menggoda tetapi kualiti perkhidmatan yang diberikan. Tidak ada cacat atau cela jika yang berdiri dan berurusan dengan tetamu hotel di kaunter hadapan itu petugas bertudung litup selagi dia mampu memberikan khidmat terbaik, memuaskan hati dan menggembirakan hati setiap pelanggan. Perkhidmatan bertaraf tip-top sudah tentu memberi kesan besar kepada perniagaan.

Justeru cadangan Kementerian Pelancongan dan Kebuda­yaan untuk meneliti satu akta baharu bagi membolehkan tindakan diambil ke atas sebarang bentuk diskriminasi dalam industri perhotelan sangat tepat malah perlu di­segerakan. Akta sedia ada tiada peruntukan untuk dikenakan tindakan terhadap individu yang melakukan perbuatan sedemikian.

Cadangan ini perlu dipercepatkan apatah lagi pendedahan Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) bahawa terdapat 12 hotel bertaraf antarabangsa serta lima dan enam bintang di kawasan Lembah Klang yang mengamalkan polisi lara­ngan bertudung terhadap pekerja wanita. Majlis tersebut membuat kajian selama tiga bulan bagi mengesan kesahihan polisi sedemikian berikutan aduan mangsa iaitu pekerja hotel terlibat.

Mujurlah ada pendedahan, kalau tidak sampai sekarang masyarakat tidak tahu diskriminasi ini sudah berakar umbi sejak sekian lama. Isu ini mesti perlu ada pengakhiran, tidak boleh berlalu begitu sahaja. Janganlah selepas reda ‘ho-ha ho-ha dan gegak-gempita’ ini, segala-galanya dilupakan.