Sudah pastilah perhimpunan yang dinamakan ‘Himpunan Melayu Bangkit’ itu bakal menjadi sasaran pihak-pihak tertentu. Mereka akan melihat apa yang dilakukan dari sudut perkauman. Sememangnya itu hak mereka untuk berbuat demikian. Tetapi ia tidak bermakna orang Melayu harus diam dan tidak berbuat apa-apa ketika sudah ada suara-suara yang mahu mengganggu gugat hak-hak kaum itu dan apa juga perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.

Jika sebelum ini orang ramai dibenarkan berhimpun bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan telus, kenapakah perlu perhimpunan melibatkan orang Melayu dilihat dari sudut perkauman semata-mata?

Kita tidak harus terperangkap, apatah lagi berasa takut untuk melahirkan atau mengetengahkan suara orang Melayu. Kita hanya menyatakan kebimbangan dan sekadar mahu memberi isyarat kepada pihak-pihak tertentu supaya jangan terlalu teruja mahu mengganggu-gugat kedudukan orang Melayu berikutan perubahan pucuk pimpinan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Himpunan Melayu Bangkit bukanlah mahu menunjukkan orang Melayu bersikap rasis. Hanya mereka yang berfikiran jumud sahaja akan melihat sesuatu perjuangan berkaitan orang Melayu dari sudut perkauman.

Atas sebab itulah orang Melayu perlu menyokong perhimpunan tersebut dan bukannya terperangkap dengan andaian apatah lagi persepsi kononnya kalau kita masih mahu memperjuangkan hak Melayu, mempertahankan raja-raja serta agama Islam, kita tidak keluar daripada kepompong pemikiran lama ketika negara melangkah ke era Malaysia Baharu.

Kalau kita perhatikan, ada ­sesetengah kelompok atau individu daripada kaum tertentu tidak pernah berhenti daripada memperjuangkan dan membuat tuntutan berkaitan kepentingan kaum mereka. Dan apa yang menarik perhatian, apa yang mereka perjuangkan mendapat perhatian termasuk daripada pihak kerajaan.

Dalam soal ini, orang Melayu tidak pernah berasa iri hati atau bangkit menentangnya. Bagi orang Melayu, itu hak kaum tersebut untuk berbuat demikian berdasarkan pegangan kebebasan bersuara dan amalan demokrasi.

Justeru janganlah apabila ada orang Melayu berhimpun atau membuat tuntutan mereka akan ‘dihumban’ dalam kategori bersikap rasis atau perkauman.

Penulis percaya ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak pernah berasa terganggu dengan apa yang orang Melayu mahu lakukan termasuklah mengadakan perhimpunan aman seperti Himpunan Melayu Bangkit.

Tambahan pula, himpunan itu bukannya dianjurkan oleh pertubuhan politik sebaliknya atas inisiatif Tajuddin sebagai individu berjiwa Melayu.

Persoalannya, sejauh manakah ia akan mendapat sambutan? Hakikatnya dalam soal memperjuang, mempertegas dan mempertahankan hak-hak orang Melayu, siapa juga yang bernama Melayu seharusnya mengenepikan sebarang sentimen.

Sebaliknya, mereka perlu bersama-sama untuk menjayakan himpunan seumpama itu tidak kita siapa pun yang menganjurkannya.

Orang Melayu boleh berbeza fahaman politik atau mempunyai pandangan berbeza dalam sesuatu isu tetapi dalam soal mempertahankan hak-hak mereka, ­seharusnya tidak ada kompromi.

Himpunan seumpama itu bukanlah bertujuan mengganggu-gugat hak-hak kaum lain. Orang Melayu sudah membuktikan, mereka bukanlah kaum yang rasis. Selama ini orang Melayu hidup aman damai bersama-sama kaum lain.

Tetapi akibat angkara kelompok atau individu tertentu yang semakin teruja dengan Malaysia Baharu, maka sudah ada kebimbangan dan kegelisahan dalam kalangan orang Melayu bahawa hak mereka mula mahu digugat.

Oleh itu ada sebahagian orang Melayu berasakan perlu bangkit dan bersuara untuk memberi isyarat kepada kelompok-kelompok tertentu janganlah melampau sangat.

Hakikatnya, Himpunan Melayu Bangkit hanyalah salah satu daripada suara tersebut. Sebelum ini sudah diadakan perhimpunan perpaduan ummah di Kuala Lumpur dan Melaka manakala bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Dr. Ibrahim Ali melakukan langkah lebih hebat dengan menubuhkan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Parti itu bermatlamat memperjuangkan hak orang Melayu, bumiputera dan agama Islam, bukannya bertujuan mahu ‘bergaduh’ dengan sesiapa.

Tetapi malangnya awal-awal lagi sudah ada dalam kalangan pemimpin DAP yang ‘kepanasan’ dengan menyimpulkan parti seumpama itu tidak ke mana.

Namun begitu sama ada Tajuddin mahupun Ibrahim sejak zaman muda lagi, perjuangan untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu bukanlah asing bagi mereka. Siapa yang tahu sejarah kedua-dua pemimpin ini akan memahami niat ikhlas mereka dalam perjuangan tersebut.

Kesimpulannya adalah diharapkan Himpunan Melayu Bangkit di Pasir Salak itu tidak akan dianggap satu perhimpunan rasis. Ia hanyalah satu lagi perhimpunan yang bertujuan membangkitkan kesedaran dalam kalangan orang Melayu untuk bersedia mempertahankan mereka.

Penulis percaya, penganjur akan memastikan himpunan itu berjalan secara manakala ucapan-ucapan juga tidak akan berbaur hasutan kerana itu bukan sikap orang Melayu.

Semoga perhimpunan tersebut akan mencapai kejayaan dan mampu memberi isyarat kepada golongan tertentu bahawa orang Melayu masih ada keberanian untuk bangkit apabila bahasa Melayu mula terpinggir, hak mereka mula digugat, kedudukan raja-raja mula diusik dan kedudukan Islam terancam.