Rasulullah SAW bersabda: “Haji itu adalah hari Arafah, sesiapa yang sempat berwukuf pada malam Arafah sehinggalah terbitnya fajar maka dia telah menunaikan ibadah haji.”

Dalam sebuah lagi hadis Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak sempat berwukuf di Arafah maka perlulah dia mengulangi hajinya pada tahun berikutnya dan haji itu (tanpa berwukuf di Arafah) hanya dinilai sebagai umrah.”

Atas sebab itulah dalam menanti hari wukuf jemaah haji ­sering diingatkan supaya terus menjaga kesihatan dan berdoa kepada Allah untuk dijemput ke padang Arafah. Dalam tempoh tidak sampai seminggu, jemaah haji sepatutnya melakukan persiapan mental dan fizikal kerana di Arafah kesabaran dan ketahanan mereka akan diuji.

Mengulas perkara ini, Pe­ngarah Operasi Bimbingan Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, semua jemaah perlu menganggap berwukuf di Arafah adalah perjuangan pertama dalam me­laksanakan ibadah haji.

“Sebab itulah kita galakkan jemaah haji supaya mereka berdoa kepada Allah dengan membersihkan segala-gala dosa kita supaya senang ke Arafah,” katanya dalam pertemuan dengan penulis.

Mungkin bagi sesetengah ­jemaah haji, mereka menganggap apabila sudah sampai ke tanah suci, sudah pasti mereka akan dapat melaksanakan perkara wajib haji termasuklah berwukuf di Padang Arafah, namun mereka tidak harus melupakan bahawa segala-galanya Allah yang menentukannya.

Justeru seperti mana nasihat Tengku Aziz apabila tiba di tanah suci, jemaah haji perlu mem­punyai satu perasaan takut iaitu tidak dijemput oleh Allah untuk ke Arafah.

“Kita tidak mahu nama kita ‘tercicir’ ke Arafah seperti sakit sebelum wukuf tetapi sihat selepas wukuf berakhir, justeru mereka perlu banyak berdoa kepada Allah,” katanya.

Sememangnya bukan sahaja jemaah haji malah seluruh umat Islam menanti hari Arafah. Ini memandangkan mereka berpeluang mendapat kelebihan pada 10 hari awal Zulhijjah.

Selain ibadah korban yang dilaksanakan pada 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyrik, umat Islam disunatkan berpuasa pada 9 Zulhijjah.

Rasulullah SAW bersabda: “Ketika puasa pada hari Arafah, aku berharap Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa setahun yang lepas dan dosa-dosa setahun yang akan datang. (Hadis riwayat Muslim). Jemaah haji yang berada di Arafah pada 9 Zulhijjah disunatkan memper­banyakkan zikir, tahlil, tasbih, takbir dan berdoa kepada Allah SWT memohon kesejahteraan hidup di dunia dan akhir.

Sesungguhnya berada di Arafah ketika hari wukuf adalah detik amat penting kepada jemaah-jemaah haji. Justeru mereka harus bersedia untuk berada di kawasan yang dianggap gambaran Padang Masyar.

Hanya tinggal tujuh hari sahaja lagi untuk mereka memastikan kehadiran ke tanah suci tidak menjadi sia-sia kerana tidak dijemput oleh Allah berwukuf di Arafah. Ingatlah di Arafah inilah Rasulullah SAW menyampaikan khutbah baginda yang terkenal dengan nama khutbah wada’ atau khutbah perpisahan. Ini memandangkan tidak lama kemudian setelah menyampaikan khutbah itu baginda wafat.

Pada ketika itulah turunnya firman Allah SWT dalam surah al-Maa’idah ayat 3 yang bermaksud: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Aku reda Islam itu menjadi agama bagimu...” .

Oleh itu, banyak-banyak berdoa supaya akan diberikan ke­sempatan berwukuf di Arafah. Jangan leka atau terus dibuai dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan matlamat sebenar mereka menjejak kaki ke tanah suci.