Pengenalan KBAT buat pertama kali dalam UPSR dikatakan sebagai antara faktor utama peratusan yang rendah ini. Sudah menjadi satu budaya di Malaysia, ibu bapa terlalu terkejar-kejar A bagi anak-anak mereka seolah-olah A itu menjamin masa hadapan yang cerah. Walhal, anak mereka baru sahaja berusia 12 tahun. Dengan usia sebegini, masih panjang perjalanan hidup anak mereka.

Mungkin kerana selama ini tekanan diberikan terhadap anak-anak untuk mendapat kesemua A, maka apabila gagal mendapat ke­semua A dalam UPSR, seseorang murid itu dikatakan sebagai tidak cemerlang. Inilah tanggapan yang salah sama sekali. Proses pembe­lajaran dan pengajaran bukan untuk menjadikan para pelajar mendapat A semata-mata. Jauh dari sudut itu, pendidikan bertujuan untuk menjadikan seseorang itu lebih bijak dalam membuat keputusan bagi mengurus kehidupan seharian mereka.

Bijak dalam kerjaya mereka, kehidupan berkeluarga dan pergaulan dengan masyarakat. Sebab itulah apabila KBAT dilaksanakan dalam UPSR, kita perlu lihat dari sudut positif agar anak-anak kita mencapai satu tahap kemahiran berfikir yang tinggi bertujuan untuk membuat keputusan terbaik dalam kehidupan seharian mereka. KBAT memerlukan seseorang berfikir secara bijaksana. Hal ini cukup penting kerana berfikir secara bijaksana membolehkan seseorang membuat keputusan yang paling tepat. Dengan ini mendatangkan manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Selain itu, KBAT amat penting terutamanya dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 (RP4.0). Seseorang murid itu bukan setakat perlu dilengkapi dengan ilmu yang sewajarnya tetapi mampu untuk berfikir secara kreatif dan inovatif agar apa sahaja yang dilakukannya itu mendapat manfaat yang sebelum ini tidak terjangkau oleh mana-mana pihak. Ini terutamanya dari sudut penciptaan sebagaimana revolusi-revolusi perindustrian yang terdahulu yang telah me­ngubah kehidupan manusia. Manusia kini bukan setakat dikelilingi oleh teknologi maklumat tetapi juga memiliki keupayaan tinggi seperti penggunaan dron dan robot dalam kehidupan seharian.

Malah, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengakui bahawa sesiapa sahaja yang memimpin kecerdasan buatan bakal menguasai dunia. Kecerdasan buatan adalah aspek yang cukup penting dalam RP4.0. Menguasainya bermakna menjadi penakluk dan peneraju RP4.0. Inilah yang perlu diterapkan kepada anak-anak kecil yang dilahirkan dalam sistem pendidikan negara.

Mereka ini sedang berada di bangku sekolah. Kita tidak boleh lagi mengharapkan pendekatan pendidikan sebelum ini dalam melahirkan generasi peneraju RP4.0. Mereka perlu diajar mengikut era mereka. Tidak boleh kita gunakan pendekatan yang sama sebagaimana kita dididik 20 hingga 40 tahun lalu. Usah pula kita samakan mereka dengan kita dalam setiap tindak-tanduk pendidikan era ini. Jika ini berlaku, maka tiada kedinamikan sistem pendidikan terhadap generasi masa kini dan masa hadapan.

Maka, sistem pendidikan perlu berorientasikan masa kini dan masa hadapan. Pendidikan masa lalu hanyalah sesuai untuk masa lalu manakala pendekatan yang lebih ampuh diperlukan seiring dengan era kini dan masa hadapan dalam mendidik generasi pelapis. Maka, dengan itu, RP4.0 perlu dijadikan teras dalam mencorak sistem pendidikan kini dan masa hadapan.

Generasi pelapis negara tidak boleh setakat menjadi pengikut manakala generasi pelapis negara lain pula semakin jauh ke hadapan menguasai ilmu yang menjadi paksi kepada RP4.0. Bayangkan jika kita setakat menjadi pengikut, maka kita hanya sekadar menggunakan produk-produk yang di­cipta oleh orang lain. Sedangkan orang lain sedang mencipta pelbagai produk masa hadapan yang amat sesuai digunakan dalam kehidupan seharian masa hadapan.

Jadi, mahu tidak mahu, kita perlu melahirkan generasi pelapis sebegini berasaskan era mereka. Generasi pakar yang mampu menjadi peneraju RP4.0. Dengan itu, sistem pendidikan perlu diperkasakan seiring dengan RP4.0. Memperkasakan sistem pendidikan memerlukan pelaburan yang tinggi. Pelaburan yang tinggi bermaksud kerajaan perlu memperuntukkan bajet yang mencukupi buat sistem pendidikan negara.

Ini merangkumi peringkat pra sekolah, rendah, menengah dan pengajian tinggi. Diharapkan Bajet 2018 memberi khabar baik buat sistem pendidikan tinggi agar ge­nerasi pelapis dapat menguasai bidang-bidang ilmu yang diperlukan dalam RP4.0. Yakinilah, dengan pelaburan yang besar dalam sektor pendidikan, maka, pulangan yang tinggi akan dijana pada masa hadapan. Mungkin ketika itu nikmatnya tidak dirasai oleh kebanyakan kita, namun sekurang-kurangnya kita boleh berasa lega bahawa generasi pelapis telah dilengkapi dengan ilmu yang menjadikan mereka setanding dengan generasi pelapis negara maju.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz 
(TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.