Malah perkara ini menjadi bertambah panas hari ini apabila beberapa ahli politik telah diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai ada kaitan dengan isu penerimaan dana politik dari sumber tertentu.

Sebab itu agak memeranjatkan apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan beberapa hari lepas bahawa kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai isu tersebut. Menurut beliau lagi, kajian sedang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mencari mekanisme terbaik dan sesuai dilaksanakan dalam konteks suasana politik tempatan.

Dr. Mahathir mengakui mekanisme pembiayaan parti politik penting diselaraskan demi mengelak berlakunya unsur rasuah dan juga membantu parti politik mengurus parti masing-masing dengan baik tanpa curiga.

“Jadi, mesyuarat hari ini tidak dapat memutuskan bagaimana parti politik akan dibiayai, kita tidak dapat putus (keputusan) pada hari ini dan kita akan kaji bagaimana parti politik boleh berfungsi tanpa dan dengan bantuan mana-mana pihak,” tegas Dr. Mahathir lagi semasa sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat PH.

Jiran Malaysia iaitu Singapura sudah mempunyai perundangan seumpama itu sejak 2001 lagi bertujuan mengawal selia derma yang diterima oleh parti politik. Antara matlamat utama Akta Derma Politik Singapura ialah untuk mencegah warga asing mencampuri perjalanan politik Singapura melalui pengaruh dana yang didermakan kepada parti politik.

Akta tersebut bukan sahaja bertujuan mengekang campur tangan warga asing tetapi juga berniat mengehadkan pengaruh wang yang dihulurkan oleh individu atau institusi Singapura. Ini kerana had sumbangan dihadkan kepada S$5,000 sahaja untuk setiap tahun laporan.

Akta Kesalahan Pilihan Raya (1954) adalah perundangan paling mirip yang menyentuh pembiayaan parti politik yang dimiliki Malaysia ketika ini. Tetapi akta ini hanya menggariskan had jumlah perbelanjaan semasa pilihan raya iaitu masing-masing sebanyak RM100,000 dan RM200,000 bagi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Akta tersebut langsung tidak menyentuh had perbelanjaan atau sumbangan yang boleh diterima parti politik.

Satu perkara menarik mengenai perundangan pembiayaan politik Singapura ialah bukan menjadi satu kesalahan bagi ahli politik yang menerima sumbangan seperti yang dibenarkan dalam akta tersebut menyimpan sumbangan tersebut dalam akaun peribadi. Pada PRU 2011, calon dari Parti Perpaduan Nasional (NSP) telah meminta derma melalui media sosial dengan menyediakan akaun bank peribadi beliau. Walaupun kaedah calon ini menimbulkan tanda tanya namun ia tidak menyalahi perundangan Singapura.

Tidak syak lagi Malaysia memerlukan satu bentuk perundangan untuk mengawal selia pembiayaan parti politik bukan sahaja untuk elak fenomena rasuah dan campur tangan asing tetapi juga untuk berlaku adil kepada semua parti politik sama ada yang besar atau kecil. Menarik apabila Dr. Mahathir mengakui bahawa parti komponen PH sedang menghadapi masalah kewangan dalam mengurus aktiviti parti.

“Krisis kewangan parti komponen PH ketika ini sangat kritikal. Kita adalah parti berasaskan orang ramai. Kami ada ramai ahli di seluruh negara. Mereka berkempen untuk kami. Tetapi tidak semua yang sukarela, ada yang perlu dibayar,” tegas beliau lagi dalam sidang akhbar yang sama.

Sebab itu penting juga ketika proses pembentukan perundangan yang sudah semestinya mengambil kira amalan negara lain, mungkin amalan tersebut sesuai diamalkan di negara tersebut tetapi tidak semestinya boleh diamalkan di Malaysia. Umpamanya Dr. Mahathir ada menyebut mereka yang hadir dalam mesyuarat PH tersebut ketika membincangkan isu pembiayaan politik mencadangkan supaya mengambil kira kaedah perundangan Jerman yang membolehkan parti politik mendapat bantuan dana dari kerajaan.

Perundangan Jerman ini tidak membezakan sama ada parti politik dari pihak kerajaan atau pembangkang kerana semua layak menerimanya. Itulah harapannya bagi Malaysia apabila perundangan baharu diperkenalkan, ia tidak membezakan kedudukan sebelah mana parti politik tersebut.