Liga tersebut mendominasi jendela perpindahan musim ini. Sejumlah 20 buah kelab EPL berbelanja kira-kira RM4.2 bi­lion bagi membeli pemain baharu. Pasukan dalam La Liga Sepanyol, hanya melabur RM2.1 bilion, Serie A di Itali (RM1.3 bilion), Bundesliga (RM1.2 bilion) manakala Liga Perancis, Ligue 1 pula RM495 juta.

Antara bintang bolasepak yang berpindah ke EPL ialah Diego Costa dari Atletico Madrid ke Chelsea, Alexis Sanchez (Barcelona ke Arsenal) Fernando Torres (Chelsea ke AC Milan) dan Mario Balotelli (AC Milan ke Liverpool) manakala Marcos Rojo (Sporting Lisbon), Angel Di Maria (Real Madrid) dan Radamel Falcao (Monaco) menyertai Manchester United.

Liga Perdana Inggeris yang baru bermula kira-kira tiga minggu sudah pasti mempunyai tarikan baharu dengan kehadiran bintang-bintang ternama selepas ini. Pasukan-pasukan yang menyenaraikan bintang-bintang ternama ini sudah pasti menjadi tumpuan.

Itu yang berlaku di Eropah. Di tanah air, saingan Piala Malaysia masih berlangsung. Perlawanan peringkat kumpulan untuk ke suku akhir baru sahaja tamat. Walaupun tidak terdaya untuk menyaingi liga-liga profesional lain, dunia bola sepak tanah air tetap meriah dengan `aksi.' Terbaharu rusuhan di Stadium Negeri, di Kuching ketika pasukan tuan rumah menentang Perak, Sabtu lalu. Mereka yang disyaki mencetuskan insiden itu sudah didakwa di mahkamah kelmarin.

Lupakan insiden tersebut. Ada berita yang lebih mengujakan para peminat bola sepak tanah air.

Pasukan Johor Darul Ta'azim (JDT) sekali lagi menjadi tumpuan. Presiden Persatuan Bola Sepak Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan pasukan itu sedang memburu bekas bintang Chelsea dan Liverpool, Fernando Torres. Kalau tidak ada aral, dua tahun lagi, Torres yang akan berusia 32 tahun ketika itu akan menyertai JDT untuk saingan musim 2016.

Torres menyinar di Liverpool tetapi mengharungi musim suram selepas berpindah ke Chelsea pada tahun 2011. Walaupun mencatat rekod perpindahan sebanyak 50 juta Euro (RM250 juta), prestasinya mengecewakan. Prestasi buruknya sepanjang bersama Chelsea dipercayai menjadi punca beliau dipinjamkan ke kelab Itali, AC Milan untuk musim ini.

Selain Torres, Tunku Ismail membariskan beberapa lagi pemain hebat lain yang turut menjadi sasaran JDT. Antaranya penyerang kelab Juventus, Fernando Llorente, Mario Gomez (Fiorentina) dan pemain kelahiran Argentina, Javier Saviola.

Berita itu dengan pantas menjadi bahan sembang yang melata dalam media sosial. Macam-macam reaksi muncul. Ada yang menganggap pengumuman itu 'sedikit merepek.' Segelintir yang lain pula melihat Liga Malaysia sebagai pilihan terakhir Torres. Hujah mereka liga tempatan tidak kompetitif dan bertaraf Asia Tenggara sahaja. Selagi kualiti liga tidak berubah, kata mereka, bukan standard Torres untuk bermain di sini.

Pemilik kelab bola sepak di Asia Barat yang kaya raya sudah pasti awal-awal lagi meman­cing bintang Sepanyol itu. Yang lain-lain pula membuat telahan Torres akan menghabiskan karier bola sepak beliau di Major League Soccer di Amerika Syarikat. Ini perkara biasa yang dilakukan oleh kebanyakan bintang ternama di hujung kerjaya masing-masing.

Bagaimanapun sebahagian besar yang lain menerima dengan nada sangat teruja. Pelbagai reaksi dapat dilihat dalam laman Facebook, Twitter, blog dan forum sembang. Ada peminat bola sepak negeri lain awal-awal lagi menyatakan ikrar sanggup `menukar sokongan' kepada JDT jika Torres menyarung jersi pasukan tersebut. Ada juga yang mahu menjadi penyokong dua pasukan, satu pasukan negeri dan satu lagi JDT.

Dalam nada yang lebih positif seorang pembaca dalam satu laman forum memberi komen kehadiran Torres dan bintang-bintang bola sepak lain walaupun pada penghujung karier masing-masing memberi banyak manfaat kepada dunia bola sepak tanah air. Sumbangan paling besar sudah ialah menarik penonton dan peminat bola sepak kembali ke stadium. Lebih-lebih lagi penonton wanita. Sudah pasti stadium akan penuh sesak setiap kali ada perlawanan melibatkan JDT. Semuanya mahu menyaksikan aksi bintang Sepanyol itu.

Perbincangan kemudiannya meleret-leret kepada kemungkinan bintang bola sepak lain akan mengikuti jejak Torres ke Malaysia. Maka muncullah nama-nama seperti Cristiano Ronaldo bakal dibeli oleh pasukan Pulau Pinang dan Lionel Messi menyertai Kedah!

Sekali dengar pengumuman tersebut macam satu bahan lawak tetapi realitinya, tidak. JDT sudah membuktikannya sebelum ini. Mereka pernah mendapat khidmat pemain antarabangsa yang hebat-hebat se­perti bekas bintang Argentina, Pablo Aimar. Beberapa bulan lalu seorang lagi bekas bintang Barcelona dan Chelsea, Samuel Eto'o cuba disunting JDT tetapi gagal disebabkan bayaran pemain itu terlalu tinggi.

Jadi mendapatkan Torres dan bintang-bintang ternama dunia bukan perkara mustahil bagi JDT. Jika usaha memujuk Torres gagal, banyak lagi nama-nama besar lain yang boleh dibeli oleh pasukan tersebut.

Pasukan negeri lain juga boleh mencontohi JDT. Kalau ada dua atau tiga lagi pasukan yang boleh menyenaraikan bekas pemain terkenal dunia sudah memadai untuk menyemarakkan lagi Liga Malaysia. Selama ini wajah-wajah pemain terkenal Eropah hanya mampu ditonton dalam televisyen sahaja.

Dengan keupayaan sokongan kewangan yang kukuh, impian rakyat Malaysia untuk melihat Torres beraksi dalam Liga Malaysia dua tahun lagi akan menjadi kenyataan. Harap-harapnya, terbuka pintu hati Torres untuk ke Malaysia!