Persidangan itu juga menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau dan Sikamat itu bertukar peranan serta tempat duduk di dalam dewan.

Jika sepanjang 10 tahun lalu, Aminuddin memegang ‘watak’ pembangkang, kali ini beliau adalah orang nombor satu kerajaan negeri berikutan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mahu tidak mahu, beliau yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 12 Mei lalu, tidak dapat mengelak da­ripada dibandingkan dengan Mohamad atau ‘Tok Mat’ yang mentadbir negeri ini selama tiga penggal.

Malah, beliau sendiri dalam satu temu bual dengan media baru-baru ini meminta diberikan masa untuk membuktikan keupayaannya untuk mentadbir negeri dan tidak dibandingkan dengan Tok Mat yang telah memerintah lama.

Dengan usia pentadbiran negeri baru mencecah 55 hari, adalah tidak adil bukan sahaja kepada pemerhati politik serta rakyat untuk membuat penilaian dan perbandingan pada masa ini.

Sebagai kerajaan baharu, pelbagai perkara perlu diperinci dan disesuaikan oleh beliau dan juga barisan 10 orang Exco di bawahnya sebelum dapat mentadbir negeri dengan lebih berkesan.

Sehingga kini kerajaan negeri telah memperkenalkan dasar ‘Bersih, Muafakat dan Sejahtera’ sebagai satu pendekatan yang akan menunjangi hala tuju pentadbiran negeri.

Kepimpinan baharu juga mengekalkan beberapa dasar dan program yang dilaksanakan kerajaan terdahulu antaranya tidak menaikkan cukai pintu, tiada lesen dikenakan untuk penjaja serta meneruskan program ikonik bulan Ramadan iaitu Mantai Perdana.

Dalam masa sama, salah satu isu yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri adalah menentukan hala tuju projek Lembah Wawasan Malaysia (MVV) yang melibatkan kawasan seluas 153,000 hektar di negeri ini.

Mahu dibatalkan, diteruskan, ditambah baik atau bagaimana? Ini kerana projek yang dirancang sebelum ini telah mula digerakkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan berpotensi besar untuk memacu pembangunan dan peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat negeri ini.

Apa juga bentuk dan corak pembangunan dirancang kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang, yang penting ia perlu memastikan kesinambungan kemajuan dan kesejahteraan yang telah dinikmati negeri ini.

Kepimpinan ketika ini juga mempunyai kelebihan kerana memiliki rizab dan simpanan jangka pendek berjumlah hampir RM1 bilion yang ditinggalkan oleh kerajaan di bawah Tok Mat sebelum ini.

Dengan kemampuan kewangan negeri yang besar, sudah tentu banyak projek pembangunan boleh dilaksanakan tanpa berdepan kekangan.

Yang pasti akan tiba masanya rakyat mahu melihat kerajaan negeri pula tampil dengan dasar dan program baharu yang menggambarkan ‘jenama’ kepimpinan Menteri Besar ketika ini.