Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tiada hujan pada sebelah pagi hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, Sabtu 13 Oktober ini.

Di sebelah petang pula ribut petir di satu dua tempat.

PRK PD tidak seperti mana tiga PRK pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebelum ini. PRK PD turut diperhatikan masyarakat antarabangsa.

Gelanggang ini memilih bakal Perdana Menteri kelapan, yang salah seorang daripada tujuh pesaingnya adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim - disepakati oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk menduduki jawatan nombor satu kerajaan itu.

Tidak hairanlah PKR menyasarkan majoriti sehingga 35,000 undi untuk Anwar berbanding 17,700 diperoleh penyandang sebelum ini, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Di Lukut, Ahad lepas, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dilaporkan oleh rakan penulis, Ketua Biro Utusan Negeri Sembilan, Haradian Shah Hamdan, menjerit seraya meminta mereka yang hadir dalam kempen bersama Anwar menggesa anak masing-masing pulang beramai-ramai mengundi Sabtu ini.

Impak pengundi luar

Saingan di PD yang akan membuka laluan buat Anwar ke Putrajaya rupa-rupanya sengit. Tidak seperti mana jangkaan awal.

Setiap hari, akhbar ini difahamkan, Anwar menyelesaikan sehingga lapan program bertemu masyarakat PD. Kerap juga menjangkau 11 majlis.

Pengundi luar yang meliputi 30 peratus atau 22,000 daripada keseluruhan 75,000 pengundi di PD dipercayai menjadi penentu mutlak pemenang. Sebab itu mana-mana pemimpin Pakatan Harapan terutamanya yang akrab dengan Anwar sentiasa menguar-uarkan kepada masyarakat PD supaya ‘bawa balik pengundi luar atau anak-anak anda pulang ke PD Sabtu ini’.

Tidak kira anda di mana, Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang hatta Singapura, Taiwan sekalipun, pulanglah bantu menangkan Anwar, kata beberapa pemimpin PKR.

Waima apa pun dalam mana-mana PRK, pencabar tidak boleh diremehkan. Peluang calon Bebas, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad tetap ada, mengambil kira beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut dan Bagan Pinang - dua dari lima kawasan Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen PD.

Ada bertanya kepada akhbar ini, mengapa Anwar pilih PD sebagai platform untuk meroketkan semula karier politiknya? Kalau tidak mengambil kira majoriti besar diraih oleh Danyal dari PKR dalam PRU-14, 9 Mei lepas, kata mereka, prestasi PKR dalam dua pilihan raya umum sebelum itu tidaklah se gah mana.

Cuma menang majoriti 1,579 undi pada 2013 dan 2,804 pada 2008. Menang besar 9 Mei lalu pun kerana ‘hembusan tsunami rakyat terhadap sentimen kleptokrasi dan 1MDB’, kata mereka lagi. Maka, dengan faktor Anwar ‘orang luar’, lantas menguatkan lagi andaian mereka bahawa ‘adakah berlaku salah congakan atau silap percaturan’ meletakkan Anwar di PD?

Dari tinjauan dan pengamatan rakan-rakan media di PD sepanjang kempen PD ini, mereka menyimpulkan, setakat separuh masa pertama kempen, reading masih memihak kepada Anwar, biarpun agak sengit. Sehingga semalam, di atas kertas, Anwar masih sebagai pemenang mutlak.

Faktor Mohd. Isa dikenali pengundi setempat memang tidak dinafikan.

Bagaimanapun, ada satu faktor penentu kata mereka, yang akan menjadi buah tangan terakhir untuk pengundi menukar fikiran mereka - Anwar bakal Perdana Menteri. Siapa yang tidak mahu wakil rakyat mereka seorang PM?

Bakal PM kelapan

Lagipun, kawasan Parlimen yang diterajui seorang PM sehingga hari ini pun tidak banyak. Kuala Kedah (Almarhum Tunku Abdul Rahman), Pekan (Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein), Johor Bahru (Allahyarham Tun Hussein Onn), Kubang Pasu (Tun Dr. Mahathir Mohamad), Kepala Batas (Tun Abdullah Ahmad Badawi), Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kembali ke pangkuan Dr. Mahathir di Langkawi.

Cuma, benar kekhuatiran yang bersarang di fikiran Anwar kalau-kalau peratusan keluar mengundi Sabtu ini sama saja seperti tiga PRK pasca PRU-14. Kesemuanya gagal melepasi 50 peratus - 44 peratus dalam PRK Seri Setia, 43 peratus (Balakong) manakala 49.4 peratus di Sungai Kandis.

Lagipun, selain Mohd. Isa, saingan daripada Pas melalui calonnya Lt. Kol. (B) Mohd Nazari Mokhtar tidak boleh dipandang rendah. Juga, tidak boleh diperkecilkan empat lagi calon Bebas - bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan; personaliti media sosial, Stevie Chan Kee Leong; pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta, Lau Seck Yan.

Ya, menang satu undi pun masih menang. Tetapi biarlah selaku bakal Perdana Menteri kelapan, majoriti yang diraih berbaloi untuk masuk ke Parlimen dengan bergaya, sekali gus bertepatan kedudukan jawatan nombor satu kerajaan itu.

Masa depan Anwar akan ditentukan oleh pengundian yang akan bermula seawal 8 pagi. Menangkah Anwar? PD milik siapa?

Nasib, 'tuah badan'

Dalam politik, selain kebolehan, mesti ada nasib atau ‘tuah badan’. Walau macam mana bergeliga sekalipun seseorang itu, tanpa nasib atau alur tangan yang tertentu, seseorang itu sukar menang untuk naik ke atas.

Dulu lawan, kini kawan sebenarnya adalah tema yang dialami oleh orang politik.

Lantaran politik tiada Perintah Amnya seperti yang ada pada penjawat Perkhidmatan Awam kerajaan, banyak pemimpin akhirnya bertembung dengan mereka yang dulunya kawan dan penyokong mereka. Malah, ada yang lantas berseteru antara satu sama lain.

Seperti yang ditemukan dalam sepak terajang politik, kawan pada saat ini boleh jadi lawan esok dan sebaliknya. Justeru, sering dikatakan tiada sesuatu yang kekal dalam politik kecuali isu dan perjuangan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengerahkan 1,403 petugas di PD, difahamkan penulis, menyasarkan peratusan keluar mengundi Sabtu ini boleh mencecah 70 peratus. Saluran mengundi yang dulunya 145, dipecahkan atau ditambah 26, menjadikan 171 saluran kesemuanya. Ini untuk melicinkan pengundian.

Selepas 14 hari berkempen, nasib Anwar menang atau kalah, segalanya terserah kepada ketentuan-Nya.