Pada pilihan raya itu, DATUK SERI ADNAN YAAKOB yang mengetuai jentera BN Pahang buat kali kelima sejak 1999 membantu parti berkenaan kembali membentuk Kerajaan Negeri Pahang dengan majoriti mudah. Pengerusi BN Pahang yang lebih dikenali Long Nan khususnya dalam kalangan penduduk negeri tersebut turut mengekalkan kemenangannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai buat penggal kelapan berturut-turut.

Kepada wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH , MOHAMAD SHOFI MAT ISA dan jurufoto MAHATHIR ALI, beliau berkongsi pandangannya tentang formula kemenangan, cabaran dan langkah yang perlu dilakukan BN serta UMNO untuk menyerap perubahan landskap politik dalam satu pertemuan di Kuantan, kelmarin.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu turut menyentuh tentang perkembangan selepas PRU-14 yang menyaksikan peralihan jawatan Menteri Besar yang disandangnya sejak empat penggal lalu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.


MINGGUAN: Pada masa beberapa negeri menyaksikan pertukaran kuasa pentadbiran, BN Pahang masih kekal bertahan apabila kembali membentuk kerajaan negeri. Apakah formulanya?

ADNAN: Resepinya mudah iaitu kita mengambil berat tentang hal rakyat. Itulah yang mustahak, masalah rakyat dan kehidupan rakyat mana boleh kita bantu, kita bantu. Pendekatan kita mudah, tidak perlu terlalu intelektual dan bersandarkan kepada data-data. Masalah kita adalah terlampau intelektual, asyik dengan data, orang tidak faham apa kita cakap. Kita cakap tidak berdasarkan kepada hati yang ikhlas, banyak kepura-puraan. Kalau kita bergambar untuk gambar sahaja. Kalau kita pegang orang tua itu untuk itu sahaja. Kita kalau pegang orang tua itu biarlah kita bertanya khabar, masa itu jurugambar ambil baru kita nampak (sikap yang) sebenar.

Pendekatan kita mudah sebab saya berpendapat betul dunia berubah, kemudian ada alam siber dan dunia digital tetapi asas tidak berubah iaitu kita mesti memenangi hati dan pemikiran rakyat. Itu mustahak dan ini boleh dibuat dengan cara mudah. Maknanya di Pahang ini, saya dan rakan-rakan kita menggunakan kaedah yang mudah dan orang dapat rasakan serta memahami. Sebab itu kita dapat bertahan dalam arus gelombong yang begitu hebat. Kalau ikut gelombang tsunami ini, saya pun mungkin boleh kalah tetapi sebab rakyat mengenang jasa Menteri Besar, Exco dan wakil rakyatnya yang begitu mudah, mereka sokong kita.

Bagaimana Datuk Seri melihat situasi kali ini termasuk prestasi UMNO itu sendiri?

ADNAN: Sebenarnya, orang bukan sokong pihak lain sebab mereka terpikat dengannya. Mereka sokong disebabkan mereka tidak suka kita, itu sahaja. Maknanya, faktor menarik pada kita semakin berkurangan. Begitu mudah untuk dianalisis, tidak perlu terlalu intelektual atau bergantung kepada data dalam menilai sokongan rakyat. Semua benda ini tidak memberikan apa-apa nilai. Saya rasa salah satu kesalahan kita adalah terlalu akademik, intelektual dan terlalu bergantung kepada data. Jadi, kita hilang sentuhan kepada apa perkara sebenar yang berlaku di negara ini. Tidak semua perkara boleh diukur dan dijadikan data.

Pahang kini bergelar negeri pembangkang selepas Kerajaan Pusat ditadbir Pakatan Harapan. Apakah cabarannya dan langkah terbaik yang perlu BN lakukan untuk menyerap perubahan lanskap politik ini?

ADNAN: Bukan senang menjadi negeri pembangkang. Apabila Kerajaan Pusat dikuasai oleh parti yang bukan sama dengan kita, maka kita akan menghadapi kesukaran. Di Pahang ini, kita ambil dari segi kewangan. Hasil negeri Pahang sama ada daripada tanah, hutan atau air hanya cukup untuk membayar gaji dan secara ringkasnya untuk pengurusan. Kita tidak mampu untuk buat sebarang projek pembangunan, membina dewan, membaiki sekolah, jalan dan buat longkang baharu.

Dalam keadaaan sekarang, kita hanya boleh menguruskan negeri dengan membayar gaji dan elaun sahaja. Bermakna, kita memerlukan Kerajaan Persekutuan dan mengikut Perlembagaan mereka wajib memberikan kepada kita geran perkapita dan geran jalan.

Selama ini, kita dapat sedikit sebanyak peruntukan khas dan bantuan khas daripada Kerajaan Persekutuan. Itu sebabnya walaupun kita pembangkang, kita kena tunduk dan kena merayu dengan Kerajaan Persekutuan. Ini satu perkara yang kita mesti fikir, pendek kata kalau tanpa bantuan Kerajaan Persekutuan agak sukar untuk kita sebagai negeri pembangkang memberikan khidmat kepada rakyat.

Pada pandangan Datuk Seri, untuk masa depan, bagaimana hendak membina BN bangkit kembali mendapat mandat rakyat secara keseluruhannya?

ADNAN: Itu kita kena bincang. Buat perubahan struktur, lepas itu kita kena berubah dari dalam dan luar. Maknanya struktur parti itu sendiri kita kena ubah, mungkin jadi parti terbuka untuk semua kaum, dasar-dasar kita kena pinda balik, kecuali dasar asas contohnya. Semua itu secara teori bolehlah, itu sebab kuasa ini selagi ada kena jaga elok-elok.

UMNO sekarang di peringkat akar umbi ramai yang kecewa, apa sepatutnya yang perlu dilakukan?

ADNAN: Kita perlu duduk semeja dan berbincang. Punca kekalahan banyak seperti berada dalam sindrom penafian, bercakap tidak daripada hati, syok sendiri, tidak boleh ditegur dan suka mendengar cerita sedap sahaja. Bila diberitahu cerita yang tidak sedap, kata... awak ini tidak yakin. Mencaci berlebihan, apa macam sekarang?

Dulu tidak seperti ini. Yang saya ingat pada Pilihan Raya Umum 1959, 1964 dan 1969, kempen dia mencaci dasar. Ahli-ahli Parlimen sama ada daripada Perikatan, Pas, Parti Sosialis Malaya dan Parti Buruh mereka boleh minum dan joget sekali. Macam-macam hal peribadi mereka sebut tetapi tidak pernah (disebut) dalam Dewan Rakyat, mereka bercerita tentang dasar.

Menjelang pemilihan UMNO, ada pelbagai pandangan tentang jawatan Presiden, Timbalan Presiden sama ada perlu atau tidak dipertandingkan?

ADNAN: Ada pro dan kontranya. Kita sudahlah kalah selepas itu bertanding, lagilah pecahnya. Kita berebut kapal yang sudah hendak pecah. Kita sepatutnya menumpukan perhatian kepada membaiki kapal. Kalau tidak bertanding pula, mungkin kita dapat kualiti kepemimpinan yang tidak mencapai tahapnya. Tetapi saya berpendapat, peringkat atas kena tengok kalau ada calon-calon atau tokoh-tokoh yang boleh diketengahkan, biar kita ketengahkan mereka. Saya percaya ramai antara kita yang akan menyerahkan jawatan.

Untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bagaimana Datuk Seri melihat situasi untuk tempoh lima tahun akan datang?

ADNAN: Keadaan itu mencabar kerana Pahang dan Perlis sahaja yang (BN) tinggal. Apabila kita dikelilingi oleh negeri-negeri dikuasai parti lain, sukar kita berdepan dengan cabaran tetapi kita kena kuat semangat dan kita cuba sedaya upaya. Kemudian berserah kepada Allah SWT untuk tentukan nasib kita. Kita serahkan kepada rakyat akan datang.

Rakyat terutama orang muda mengatakan mereka akan ubah balik kerajaan memerintah jika Pakatan Harapan gagal melaksanakan janji mereka, bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

ADNAN: Sekarang rakyat cerdik dalam erti kata terdedah kepada maklumat pada setiap saat. Saya percaya kalau Pakatan Harapan gagal menyampaikan atau melaksanakan apa yang disebut dalam manifestonya, saya yakin rakyat akan fikir semula tetapi pada masa sama UMNO kena nampak hiduplah.

Bagaimana penerimaan Datuk Seri pada peralihan jawatan Menteri Besar Pahang?

ADNAN: Peralihan berjalan dengan sangat lancar dan pengganti saya menjadi Exco dua penggal di bawah saya. Bukanlah saya katakan saya ini yang terbaik tetapi tidaklah bodoh sangat jadi Menteri Besar ini. Mungkin orang luar melihat kita ini persepsi lain tetapi orang Pahang tahu siapa kita dan saya percaya Datuk Seri Wan Rosdy dapat menjalankan tugas dengan berkesan. Saya akan memberikan sokongan dan akan terkehadapan memberikan pandangan jika diminta pada bila-bila masa.

Selepas tidak lagi menjadi Menteri Besar, dari aspek mana Datuk Seri boleh membantu pentadbiran kerajaan negeri?

ADNAN: Saya akan melawat selaku wakil rakyat kawasan saya dua minggu sekali, sebelum ini sebagai Menteri Besar, saya sibuk. Apabila Dewan bersidang, saya akan datang memberikan pandangan, insya-Allah mempertahankan kerajaan tetapi saya tidak nampak ada masalah besar di Pahang kerana kebanyakan ahli pembangkang adalah ahli lama dalam Dewan dan mereka kenal kita. Maknanya, peranan ini bukan saya seorang sahaja. Saya tidak penting, kawan-kawan lain pun penting juga, insya-Allah kita akan memainkan peranan untuk membantu dengan cara memberikan teguran kepada Menteri Besar yang baharu.

Sebelum PRU-14, Datuk Seri membayangkan ini adalah penggal terakhir bertanding wakil rakyat. Namun, dengan perubahan landskap politik kali ini, mungkin Datuk Seri mempunyai pertimbangan lain?

ADNAN: Itu akan kita putuskan bila sampai masanya, kita tengok macam mana. Letih saya jadi ADUN 32 tahun, ADUN biasa empat tahun, Exco sembilan tahun, Menteri Besar 19 tahun. Saya ini sebenarnya jenis manusia yang menurut titah perintah.