Di luar klinik pula, terdapat beberapa kesalahan ejaan di salah satu papan kenyataan. Itu hanya beberapa tempat yang sempat penulis lihat memandangkan hujan yang membataskan pergerakan penulis di kawasan berkenaan.

Jika sekali imbas sahaja sudah banyak kesalahan yang dapat dikesan, mungkin ada kesalahan lain terdapat di kawasan klinik tersebut memandangkan kawasan itu sangat luas.

Agak mengecewakan kerana selalunya fokus kesalahan-kesalahan bahasa lebih tertumpu kepada papan-papan tanda di tepi jalan, gedung perniagaan dan sebagainya yang biasanya dilakukan oleh orang ramai atau pihak-pihak tertentu. Tetapi apa yang jelas, kesalahan-kesalahan ini turut berlaku di bawah kementerian.

Usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan akan menjadi lebih rumit jika kesalahan-kesalahan ini mudah ditemukan di mana-mana. Orang ramai akan keliru dengan penggunaan bahasa yang tidak betul dan mungkin terikut-ikut dengan penggunaan bahasa salah jika tidak diperbetulkan.

Maka tidak hairanlah, walaupun sistem ejaan baharu diperkenalkan di negara kita sejak 1974 terutamanya berkaitan keselarasan vokal, masih kedapatan ejaan-ejaan lama terpampang di tempat-tempat tertentu kerana keprihatinan kita terhadap bahasa tidak begitu mantap. Ia juga berpunca daripada sikap kita yang memandang rendah terhadap bahasa dengan alasan ia tidak menjejaskan kefahaman pihak-pihak tertentu.

Contohnya, jika perkataan ‘sate’ dieja ‘satay’, orang tidak akan mempertikaikannya kerana ia adalah benda sama. Jika ‘mi goreng’ dieja ‘mee goreng’, bendanya juga tetap sama. Jika ‘pisang goreng’ ditulis ‘goreng pisang’ pun, benda yang dibeli dan dimakan pun sama. Tidak ada gerai pisang goreng menyuruh pelanggannya menggoreng pisang jika gerai itu menjual ‘goreng pisang’.

Kita cukup ‘berlembut’ dalam soal bahasa. Salah pun tidak mengapa. Tidak ada apa-apa tindakan boleh dilakukan terhadap pesalah bahasa kecuali menyuruh pesalah­nya membetulkan kesalahan. Jika tidak diperbetulkan, ia akan tinggal sebagai satu kesalahan yang dianggap remeh.

Tegasnya, jika ‘sate’ ditulis ‘satay’, ia tetap dibeli. Jika ‘pisang goreng’ ditulis ‘goreng pisang’ pun orang tetap membeli. Tidak pernah kita dengar orang tidak jadi membeli sate dan pisang goreng kerana pemilik kedai menulis ‘satay’ dan ‘goreng pisang’.

Di luar sekolah dan institusi pendidikan, pesalah bahasa tidak ‘bersalah’. Tidak seperti di sekolah, salah ejaan boleh ditolak markah. Itu pun ada hadnya. Agaknya, jika diberi kebenaran menolak markah berdasarkan jumlah kesalahan, markah karangan budak-budak sekolah tidak banyak yang tinggal.

Mungkin semua akan habis kerana ditolak atas kesalahan ejaan dan sebagainya. Tetapi di luar sekolah, pesalah bahasa di negara kita hanyalah apabila bahasa kesat dan kurang sopan digunakan untuk pihak-pihak tertentu sehingga boleh didenda oleh mahkamah

Usaha untuk memartabatkan bahasa mestilah dipikul oleh semua pihak. Orang ramai, individu, pihak swasta dan kerajaan sama-sama memikul tanggungjawab tersebut demi keutuhan bahasa kebangsaan.

Ketua-ketua jabatan, pemilik syarikat dan setiap institusi membabitkan orang ramai mestilah peka terhadap penggunaan bahasa yang menjadi medium penting antara kedua-dua belah pihak. Apa yang penting, sebelum papan tanda arahan atau kenyataan dikeluarkan, rujukan mesti dibuat kepada pakar-pakar bahasa atau badan yang melindungi bahasa.

Sikap memperlekeh bahasa ibunda mestilah dihindari agar bahasa kebangsaan terpelihara, diyakini dan mampu menjadi wadah penting penyatuan semua bangsa di negara kita. Setiap warganegara mesti mampu menulis dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan kerana subjek Bahasa Melayu dipelajari oleh semua murid di semua sekolah.