Pernahkah dalam hidup kita, kita ditimpa musibah? Dan dari sudut manakah kita melihat musibah itu? Apabila ditimpa musibah, lihat musibah itu dengan dua cara. Pertama bentuk musibah dan puncanya. Kedua, jalan penyelesaian. Jika kita berhadapan dengan musibah kita akan mengeluh dan tidak reda, ini bermakna iman kita tidak kukuh. Ingatlah setiap kedegilan menghasilkan kepedihan. Tetapi, kalau kita melihat musibah itu sebagai satu ujian daripada Yang Maha Pencipta, ini bermakna akidah kita mantap. Percayalah tiada perkara yang kebetulan berlaku dalam hidup ini kecuali semuanya dalam ketentuan, perancangan dan kekuasaan Yang Maha Pencipta.

Oleh sebab itu setiap yang berlaku terhadap diri kita merupakan satu ujian. Lagi susah kita mendapat ujian, lagi tinggilah maqam kita di sisi Allah SWT. Jangan mengeluh dan merungut apabila menerima ujian Allah, kerana Allah sedang menyediakan markah atau pahala yang tinggi kepada hamba-Nya yang reda. Ujian Allah akan datang kepada hamba-nya dalam pelbagai bentuk. Ada yang diuji dengan kesusahan, kesakitan, dan penderitaan hidup.

Ada orang pula yang diuji Allah hidupnya sentiasa bahagia, apa yang dia hendak semua dapat, dan tidak pernah ditimpa kesusahan. Sesungguhnya orang yang hidupnya sentiasa bahagia dan tidak pernah diuji dengan kesusahan adalah ujian yang cukup besar daripada-Nya.

Hal ini adalah kerana, kalau kita tidak pandai membawa diri, kita akan menjadi orang yang sombong dan bongkak, berasa hidup kita berada dalam tangan kita, kita boleh menentukan kebahagiaan dalam kawalan kita, kerana kita terlalu yakin kita dapat apa yang kita ada itu kerana kelebihan dan kehebatan kita yang orang lain tidak miliki.

Apabila kita berada dalam ujian Allah yang bersifat negatif, misalnya sakit, kita mesti pandai menangani dan mengawal perasaan kita. Jika kita menjadi sedih apabila kita melihat sakit itu sebagai “kita menjadi mangsa” dan berfikiran mengapalah orang lain sihat, dan asyik kita ditimpa penyakit, kita akan terus menerima ujian itu sebagai musibah. Tetapi, kalau kita fikirkan ujian sakit daripada Allah itu adalah kerana Allah hendak naikkan darjat kita, Allah hendak ampunkan dosa dan menguji adakah akidah kita mantap, kita akan reda dan tenang.

Hakikatnya, ujian sakit kepada hamba-Nya, sebenarnya Allah hendak beri kafarah atau penebus kepada dosa-dosa kita. Dan daripada saintifik pula, ujian kesakitan itu kalau kita terima dengan reda, hormon dalam tubuh kita akan memberi tindak balas yang baik, dan akan mempercepatkan penyembuhan penyakit kita. Sebaliknya jika kita menyalahkan, merungut dan mengeluh, menyesal dan sakit hati, hormon kita stres dan lagi lambat proses penyembuhan.

Sihat atau sakit

Hanya orang yang sakit sahaja tahu nikmat sihat, dengan itu apabila kita sudah terlepas daripada ujian sakit, kita akan menjadi orang yang bersyukur dan menghargai masa sihat kita sebelum datangnya masa sakit. Ujian sakit itu juga mengingatkan kita pada kematian, yang pasti datang tidak kira sama ada kita sihat atau sakit. Sakit membuatkan kita takut kepada kematian, dengan itu kita bertaubat dan bersedia menerima kematian.

Kita ada cara berfikir. Apa yang berlaku di luar dan tindakan kita adalah cerminan kita.

Contoh, pengalaman saya sebagai doktor mata selalunya pembedahan berjaya. Tetapi, kadang-kadang Allah uji ada satu dua kes yang ada masalah, tidak mudah dilakukan seperti biasa yang saya sangkakan. Sebagai doktor Muslim saya akan muhasabah diri apakah yang selama ini saya lakukan, hingga saya menjadi seorang yang terlalu yakin diri, atau saya menjadi riak dan adakah ini cara Allah menegur saya?

Bagi pesakit pula dia sepatutnya mesti fikirkan, kalau selama ini semua orang berjaya, tetapi mengapa dengan dia gagal pula, apakah mesej yang Allah hendak sampaikan sebenarnya? Apa akhlak yang dia perlu betulkan dan, apakah hubungan dia dengan Allah yang perlu diperbetulkan? Kalau doktor dan pesakit sama-sama bermuhasabah, ujian Allah daripada penyakit itu akan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah SWT.

Setiap saat pilihan kita, lihat apa yang berlaku dalam hidup kita itu sebagai maklum balas. Sentiasa melihat diri apa yang berlaku dan ingat Allah. Setiap kejadian melahirkan fikir setiap fikir melahirkan zikir. Jika setiap fikiran yang kita fikir tidak mengingatkan kita kepada Allah sia-sia sahaja hidup kita.

Jom audit diri kita. Apabila sesuatu berlaku ke atas kita pertama, lihat apakah yang kita rasa. Kedua, apakah emosi kita. Jika emosi kita positif, sikap positif, tindakan positif, hasil kehidupan kita akan menjadi positif. Kalau apa yang saya fikir, apa yang saya cakap tidak selari, agak-agaknya akan dapat hidayahkah kita daripada Yang Maha Pencipta? “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.