Di bawah Perkara 4(1), Perlembagaan Persekutuan diperuntukkan sebagai undang-undang utama Persekutuan dan sebarang undang-undang lain tidak boleh bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Pemahaman ini penting supaya semua pihak memahami tanggungjawab dan hak seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sebarang gambaran salah terhadap undang-undang tertinggi ini perlu diperbetulkan untuk mengelak salah faham dalam kalangan rakyat. Sebagai pengamal undang-undang, penulis percaya setiap perkataan yang dinyatakan mempunyai maksud dan tujuan tersendiri. Maka adalah tidak wajar sekiranya terdapat pihak yang sewenang-wenangnya menterjemah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa merujuk kepada prinsip undang-undang.

Mitos: Islam agama rasmi bagi Persekutuan

Ada yang menghujahkan bahawa Islam hanyalah agama rasmi negara sedangkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan: “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Berdasarkan teks di atas tiada perkataan ‘rasmi’ yang tercatat dalam Perkara 3(1). Sebaliknya dinyatakan ‘Islam ialah agama Persekutuan’. Mitos ini perlu diperjelaskan kerana maksud rasmi akan merujuk kepada penggunaan Islam dalam acara-acara rasmi dan terhad kepada ritual semata-mata. Sebaliknya status agama Persekutuan me­rujuk kepada pemakaian prinsip Islam dalam pentadbiran kerajaan yang bukan sahaja membolehkan, bahkan meletakkan tanggungjawab dan kewajipan kepada kerajaan untuk secara aktif mengambil segala langkah yang perlu bagi memelihara dan mentadbir agama Islam.

Dalam menilai keduduk­an Islam sebagai agama Persekutuan, rujukan mesti dibuat kepada kes Lina Joy lwn Majlis Agama Wilayah & Anor [2004] 2 MLJ 119, apabila Tun Ahmad Fairuz menyatakan: “Harus juga di­ingat bahawa Islam bukanlah semata-mata satu himpun­an dogma atau ritual tetapi adalah suatu cara hidup yang lengkap dan merangkumi semua bidang aktiviti manusia. Dan jika diteliti perkara 11(1), 74(2) dan item 1 disenarai 2 dalam Jadual Kesembilan PP, akan ketara bahawa Islam itu meliputi antara lain undang-undang Islam.”

Justeru tidak hairanlah jika wujud golongan yang mempersoalkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan kerana pemaham­an mereka yang salah dan sering mendoktrinkan bahawa Islam hanya terhad kepada ritual dan acara-acara rasmi.

Mitos: Pendidikan vernakular dibenarkan di sisi undang-undang

Penulis tidak berminat untuk menghujahkan perkembangan pendidikan vernakular serta sumbangannya pada negara tetapi penulisan ini lebih kepada memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap mitos ini. Rata-rata penyokong kepada pendidikan vernakular menghujahkan kebebasan yang diberikan di bawah Perlembagaan untuk menubuhkan institusi pendidikan vernakular.

Perkara 12(1) Perlembagaan Persekutuan jelas melindungi hak setiap warganegara daripada didiskriminasi berdasarkan ras dan kaum dalam pendidikan. Namun tiada pula dinyatakan dalam Perkara tersebut tentang hak untuk penubuhan sekolah atau institusi khas yang menggunakan bahasa pengantar selain daripada bahasa Melayu. Ini jelas menunjukkan kewujudan sekolah vernakular adalah bertentangan dengan roh Perlembagaan.

Sebaliknya Perkara 12(2) pula memberikan kebenaran kepada kerajaan untuk menyelenggara atau membantu dalam urusan menyelenggara atau menubuhkan institusi agama Islam. Maka, tidak timbul sebarang isu untuk mempersoalkan hak kewujudan sekolah agama daripada terus berlangsung.

Masyarakat juga perlu memahami Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang secara ringkas menyatakan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan namun tiada siapa juga boleh dihalang daripada belajar atau diajar bahasa lain (selain daripada maksud rasmi).

Perlembagaan Persekutuan secara jelas tidak menghalang pembelajaran bahasa selain bahasa kebangsaan tetapi Perlembagaan tidak menyatakan sekolah vernakular boleh ditubuhkan. Pembelajaran bahasa lain boleh diajar di sekolah-sekolah kebangsaan. Namun bahasa pengantarnya haruslah bahasa kebangsaan.

Rujukan boleh dibuat terhadap kes Merdeka University Berhad lwn Kerajaan Malaysia, di mana mahkamah memutuskan bahawa, cadangan menubuhkan sebuah pusat pengajian menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar adalah bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kes ini jelas memberikan parameter di antara medium pengajaran sebagai tujuan rasmi dengan hak untuk mempelajari bahasa ibunda yang dijamin oleh Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan. Tindakan campur aduk sehingga membentuk salah faham yang ketara mengenai pendidikan vernakular harus diberhentikan.

Jujurnya banyak lagi mitos mengenai Perlembagaan yang terpaku dalam idealisme rakyat Malaysia sehingga hari ini. Penulisan ini lebih menekankan bahawa mitos ini perlu ditangani dengan segera supaya masyarakat menjadi lebih rasional dan memahami semangat sebenar Perlembagaan.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).