Rasa kasih yang wujud secara semula jadi dalam setiap manusia adalah anugerah dan ihsan Tuhan kepada kita. Malangnya mutakhir ini, kerap pula dipekikkan perihal budaya tidak sihat percintaan kaum sejenis.

Isu ini teramatlah meruncing sehingga perlu diperdebatkan dalam Parlimen lewat Mac 2017. Isu perbahasan tersebut berkisar tentang penapisan filem Beauty & The Beast yang sememangnya mempunyai unsur-unsur homoseksual nyata.

Penapisan filem-filem seperti ini harus dilakukan bagi memastikan masyarakat mengetahui pendirian dan komitmen kerajaan dalam menangani isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Menentang gejala songsang LGBT bukanlah sehingga menidakkan hak asasi mereka sebagai manusia yang harus hidup dengan kehormatan. Hak asasi mereka terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan masih perlu dihormati dan dipelihara.

Demi penghormatan ini, pada Julai 2016 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengeluarkan Pelan Tindakan Menangani Gejala Sosial Perlakuan LGBT serta turut menganjurkan program bersama golongan LGBT.

Tambahan lagi, baru-baru ini Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut hadir menyantuni komuniti transgender di sekitar Kuala Lumpur. Langkah-langkah ini seharusnya dipuji dan diteruskan untuk menambah baik taraf hidup komuniti LBGT, selain dijadikan peluang untuk menitipkan nasihat kepada yang memerlukan.

Menyantuni komuniti LBGT pula tidaklah sehingga tuntutan mereka keseluruhannya diterima dan diberikan pengiktirafan. Perlu diimbangi di antara hak asasi harus dimiliki semua manusia dan tuntutan-tuntutan memungkinkan kebobrokan agama, budaya dan naratif kebangsaan. Imbangan ini harus diperhalusi sebelum konflik hak asasi membarah dalam negara ini.

Melalui landasan Semakan Berkala Sejagat (UPR) disediakan Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lewat 2013, Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process (COMANGO) telah melontarkan beberapa tuntutan bagi pihak komuniti LGBT termasuklah pemansuhan Seksyen 377A Kanun Ke­seksaan (Akta 574) - yang sekarang ini menjadikan perbuatan seks luar tabii sebagai suatu jenayah.

Dengan memansuhkan undang-undang yang mengharamkan perlakuan homoseksual, gejala LGBT akan terus berleluasa tanpa kekangan dan ini akan merosakkan kesejahteraan institusi kekeluargaan selain membawa kesan kesihatan yang merisaukan.

Pada penghujung Oktober lalu, Ketua Penolong Pengarah Kanan (HIV/STI) Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah mendedahkan bahawa 65 peratus kes jangkitan HIV adalah daripada golongan LGBT.

Dapatan ini membimbangkan bukan hanya kerana isu kesihatan yang berbangkit tetapi juga menimbulkan persoalan lebih asas lagi - adakah kesongsangan cinta sejenis boleh dibela apabila ia merosakkan jasad dan diri serta menular sehingga merosakkan jurai kekeluargaan dan masyarakat?

COMANGO juga mendesak agar isu orientasi seksual dan identiti jantina (SOGI) diberikan perhatian termasuklah dengan memberikan kebebasan ekspresi kepada semua mengikut pilihan masing-masing.

Ini nyata cara halus menghilangkan nilai-nilai agama, norma-norma budaya. Tambahan lagi, COMANGO mendukung penggunaan kata ‘gender’ yang luas bagi membuka ruang untuk membolehkan jantina ditakrifkan mengikut social construct atau acuan sosial. Lebih menggerunkan apabila terma inilah yang dimasukkan juga dalam Cadangan Akta Kesaksamaan Gender, yang kini dalam proses dibawa untuk perbahasan dalam Parlimen. Dalam Seksyen 4 Cadangan Akta tersebut, ‘gender’ ditakrifkan sebagai “makna sosial yang diberikan kepada perbezaan seks biologi termasuk mengikut social construct sama ada diterbitkan semula dalam amalan material atau tidak.”

Selepas menapis beberapa konsep asing yang ada dalam takrifan ini, jelas jika Seksyen 4 Cada­ngan Akta Kesaksamaan Gender diluluskan, negara ini akan me­ngalami masalah perundangan dan perlembagaan serius dalam menterjemah maksud ‘gender’ mengikut buram social construct.

Perlu diperhatikan bagaimana dalam Statut Rom, satu-satunya konvensyen antarabangsa yang mentakrifkan istilah ini, ‘gender’ dimaksudkan sebagai lelaki dan perempuan dalam konteks masyarakat.

Penulis memohon ahli-ahli Par­limen yang akan meneliti dan memperdebatkan Cadangan Akta Kesaksamaan Gender untuk memastikan takrifan yang tidak kemas dalam Cadangan Akta diselidiki dan dirapikan bagi memastikan tiada ruang terbuka untuk membenarkan budaya songsang menular teguh dalam perundangan negara ini.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.