Peningkatan di sektor pekerjaan ini juga bererti wa­nita terdedah kepada amalan diskriminasi dan gangguan seksual di tempat kerja. Situasi ini boleh mengganggu kesihatan mental dan memberi tekanan psikologi ke atas wanita bekerjaya, sekali gus boleh menjejaskan peranan mereka sebagai tonggak keluarga dan membantu ekonomi negara.

Bagi menilai situasi ini, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) telah menjalankan satu kajian selama enam bulan tentang Amalan Diskriminasi dan Gangguan Seksual dalam Kalangan Wanita Bekerja di Malaysia melibatkan 402 responden berusia antara 18 hingga 59 tahun dari semua negeri di Semenanjung Malaysia.

Kajian ini diketuai oleh penulis selaku Ketua Penyelidik dan dijayakan dengan kolaborasi bersama badan-badan kemasyarakatan seperti Pertubuhan Ikatan Wa­nita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Wanita ISMA, Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan Pertubuhan Belia Nasional (Pembina).

Keputusan kajian menunjukkan tahap diskriminasi agama yang agak membimbangkan. Satu dalam setiap lima wanita mengaku pernah melaluinya. Ini termasuk menghadapi kesukaran mendapat kebenaran menunaikan solat, kekurangan atau ketiadaan ruang untuk solat dan tidak dibenarkan memakai tudung sewaktu bekerja.

Seperti yang dijangkakan, peratusan wanita yang di­diskriminasi dari sudut agama lebih tinggi dalam kala­ngan mereka yang mempunyai majikan berlainan agama, namun di dalam kes penyediaan ruang untuk solat, hatta majikan yang mempunyai agama sama juga didapati gagal menyediakan ruang solat khas bagi wanita dan berpada dengan ruang solat lelaki yang agak terbuka.

Menurut dapatan kajian ini lagi, dalam 14 peratus wa­nita merasakan mereka dinafikan daripada kenaikan pangkat kerana identiti beragama mereka, sama ada majikan mereka daripada agama sama atau berlainan.

Kajian juga mendapati, 5.9 peratus wanita yang be­kerja dengan majikan berlainan agama meninggalkan kerjaya kerana identiti beragama mereka manakala hanya tiga peratus wanita yang bekerja dengan majikan sama agama berbuat demikian.

Seramai 5.7 peratus responden daripada semua sektor kerjaya melaporkan mereka dihalang daripada bertudung. Dari jumlah ini, 60.9 peratus adalah daripada sektor swasta. Apabila analisis dilakukan mengikut sektor pekerjaan, 36 peratus wanita yang dihalang berhijab adalah daripada sektor pendidikan, 27 peratus daripada sektor perhotelan dan hospitaliti, 18 peratus daripada sektor perniagaan, lima peratus dalam sektor kesihatan dan 14 peratus dari pelbagai lagi bidang pekerjaan.

Kajian ini juga menunjukkan kejadian gangguan seksual yang semakin meningkat. Dalam menilai gangguan seksual ini, responden ditanya mengenai kejadian mereka menyaksikan gangguan seksual dihadapi oleh orang lain di tempat kerja dan sama ada mereka sendiri pernah mengalami gangguan seksual terhadap diri sendiri.

Keputusan kajian menunjukkan seramai 43.9 peratus pernah melihat kejadian gangguan seksual dalam bentuk konotasi (bayangan perkataan), pandangan, gerak tubuh atau komen berlaku di tempat kerja manakala 33.7 peratus pernah mengalami sendiri dalam bentuk konotasi, pandangan, gerak tubuh atau komen.

Dalam gangguan seksual berbentuk sentuhan fizikal, seramai 39.8 peratus responden pernah melihat gangguan seksual dalam bentuk sentuhan badan yang sengaja dan tidak disenangi berlaku ke atas orang lain di tempat kerja manakala 32.6 peratus pernah mengalami sendiri gangguan seksual dalam bentuk sentuhan badan yang sengaja dan tidak disenangi.

Dalam kalangan mereka yang telah mengalami gangguan seksual ini, 73.2 peratus mengakui mereka mengalaminya lebih daripada sekali.

Majoriti responden iaitu seramai 57.1 peratus tidak membuat aduan secara rasmi dengan alasan seperti berikut; tidak merasakan sebarang tindakan akan diambil (46.7 peratus), tidak mengetahui cara melaporkan (13.3 peratus), takut untuk membuat aduan (13.3 peratus), takut mendapat malu (11.1 peratus) dan sebahagian kecil merasakan mereka tidak kisah dengan gangguan tersebut (4.4 peratus).

Keputusan kajian dapat dijadikan petunjuk bahawa tindakan segera perlu diambil bagi menangani masalah diskriminasi agama dan gangguan seksual.

Dalam menangani isu diskriminasi agama dalam kalangan wanita, Akta Kesamarataan yang berpandukan nilai dan norma tempatan dengan mengambil kira sensitiviti agama dan budaya masyarakat Malaysia boleh menangani kes-kes diskriminasi agama tersebut.

Di dalam kes gangguan seksual, kebanyakan wanita dalam kajian ini tidak membuat aduan rasmi kerana tidak yakin mekanisme sedia ada berkesan dalam menyelesaikannya. Akta-akta dan kod amalan sedia ada tidak mencukupi dalam menangani isu gangguan seksual.

Ketiadaan undang-undang khusus seperti Akta Gangguan Seksual menyebabkan mahkamah tidak dapat membincangkan isu seperti apakah takrifan gangguan seksual sebenar serta bukti-bukti pendakwaan bagi menangani isu ini dengan lebih berkesan.

PROFESOR MADYA DR. RAFIDAH HANIM MOKHTAR ialah Ketua Penyelidik Kajian Amalan Diskriminasi dan Gangguan Seksual dalam Kalangan Wanita Bekerja di Malaysia dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).