Kalau rakyat Indonesia yang paling ramai, keadaan itu dapat difahami kerana kedudukan negara tersebut yang berjiran dengan Malaysia dan mempunyai persamaan rumpun dan bahasa. Tetapi Bangladesh terletak agak jauh dari Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, DATUK SERI MUSTA FAR ALI , warga Bangladesh mula membanjiri Malaysia sejak 2014 iaitu selepas Program 6P tamat. Selain mereka yang masuk secara sah dan kemudian menjadi PATI , beliau mendedahkan sebahagian warga Bangladesh masuk ke negara ini secara tidak sah melalui Indonesia.

Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI bersama jurufoto RASHID MAHFOF di pejabat beliau pada Jumaat lalu, Mustafar memberitahu, pendatang asing dari Bangladesh, Aceh (Indonesia), Pakistan dan Myanmar juga mempunyai kecenderungan terlibat dalam perniagaan, sama ada menyewa premis atau membeli perniagaan daripada rakyat tempatan.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua agensi yang berkaitan menggerakkan tindakan secara bersepadu bagi menangani isu tersebut secara holistik.
 

MINGGUAN: Bagaimana reaksi majikan terhadap tindakan kerajaan untuk tidak melanjutkan tempoh pendaftaran E-Kad?

MUSTAFAR: Memang ramai majikan yang mendesak supaya tempoh pendaftaran disambung kerana mereka beranggapan ia akan dilanjutkan. Tetapi mereka tidak boleh menyalahkan JIM kerana mereka tidak mengambil peluang dari peringkat awal. Saya sudah cakap berulang kali tidak akan sambung tetapi mereka masih menunggu saat-saat terakhir untuk membuat pendaftaran. Tiga hari terakhir iaitu 28, 29 dan 30 Jun adalah hari yang paling sesak.

Bayangkan pendaftaran dibuka sejak 15 Februari tetapi tiga hari terakhir baru hendak mendaftar. Saya tidak tahulah kalau orang kata ini budaya dalam negara kita tetapi nampaknya macam itulah. Kalau mereka mengambil peluang untuk mendaftar di peringkat awal memang selesa kerana hanya kira-kira 300 permohonan sehari. Tetapi bila tiga hari terakhir, keadaan sangat sesak dan pegawai imigresen membantu mereka sehingga pukul 5 pagi bagi memastikan kita dapat mengeluarkan kad yang dipohon.

Tetapi bila ketetapan dan ketegasan oleh Ketua Pengarah Imigresen dan dimuktamadkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, maka mereka kelam-kabut. Sepertimana yang saya tegaskan, tengah malam selepas tamat tempoh pendaftaran, saya gerakkan anggota-anggota JIM seluruh Malaysia melaksanakan operasi yang kita panggil Ops Mega. Daripada tarikh itu hingga 6 pagi tadi (Jumaat), kita sudah menangkap 2,651 orang PATI dan 55 orang majikan. Dalam tempoh tersebut, sebanyak 393 premis diperiksa dan jumlah orang diperiksa adalah sebanyak 8,235.

Apakah yang menyebabkan masalah kebanjiran warga asing yang menjadi PATI dan langkah JIM bagi mencegah masalah ini?

MUSTAFAR: Dari awal saya masuk ke JIM, saya dapati ada kecenderungan untuk membawa seberapa banyak pekerja asing kerana apabila ejen-ejen bawa pekerja asing, mereka akan dapat komisen. Mereka kata ada syarikat minta pekerja asing. Bila kita buat naziran, kita dapati syarikat yang minta itu sebenarnya tidak minta pun. Jadi, kita arahkan laporan polis dibuat dan siasatan terhadap syarikat yang kononnya meminta atau ejen yang membawa.

Pernah satu ketika sektor perladangan tidak cukup pekerja. Ini berlaku kerana pekerja asing yang datang untuk bekerja dalam sektor perladangan bekerja di sektor pembinaan. Ini kerana levi bagi sektor perladangan ialah RM640 manakala levi bagi sektor pembinaan ialah RM1,850.

Mereka menggunakan levi itu sahaja untuk bekerja dalam sektor perladangan dan kemudian keluar untuk bekerja di sektor pembinaan. Bagi memastikan mereka tidak menjadi PATI, mereka mesti berada di industri yang sepatutnya mereka bekerja.

Ada yang datang kononnya untuk bekerja sebagai pegawai dagang dengan kenyataan gaji mereka RM5,000 dan ke atas. Akhirnya mereka datang bekerja sebagai buruh sahaja dan mereka jadi PATI. Ada juga datang sebagai pelajar tetapi bekerja dan mereka pun jadi PATI juga. Ada juga menjadi PATI apabila lari daripada majikan asal.

Selain yang masuk secara sah dan kemudian menjadi PATI, mungkin ada ketirisan di pintu sempadan negara yang menyebabkan pendatang asing masuk secara tidak sah?

MUSTAFAR: Sempadan negara kita di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak adalah berongga. Imigresen menjaga 137 pintu masuk yang sah tetapi pintu masuk yang dikatakan lorong tikus ini banyak. Agensi-agensi yang mengawal pintu sempadan bertungkus lumus tetapi ada dalang orang tempatan yang bersekongkol kerana mereka mendapat komisen.

Contoh, kita ada membuat tangkapan pertukaran warga asing di Kuala Selangor. Orang Somalia yang hendak pergi ke Australia menggunakan Malaysia sebagai platform. Mereka masuk ke Malaysia dan keluar ke Indonesia. Kemudian, orang Bangladesh masuk ke Malaysia melalui Indonesia pula. Pertukaran itu dilakukan di tepi pantai. Di selatan pula, mereka masuk ke Johor melalui Indonesia.

Sekarang ini sudah ada trend orang Bangladesh masuk melalui Indonesia kerana kita telah perketatkan pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Masalah ini berlaku kerana adanya dalang-dalang tempatan dan berongganya sempadan kita.

Kalau tengok dari segi tangkapan PATI dan pendaftaran E-Kad, nampaknya warga Bangladesh yang paling ramai dan bukannya Indonesia. Sejak bila warga Bangladesh tiba-tiba membanjiri Malaysia?

MUSTAFAR: Dahulu memang orang Indonesia paling ramai tetapi trend sudah berubah. Warga Bangladesh mula ramai datang ke Malaysia sejak 2014, iaitu selepas Program 6P tamat. Kita nampak trend begitulah. Semalam semasa kita buat pemeriksaan di sebuah lokasi kawasan pembinaan di Nilai, Negeri Sembilan, sejumlah 450 orang diperiksa dan daripada jumlah itu, seramai 306 orang kita tangkap. Orang Bangladesh juga yang paling ramai ditangkap. Maknanya, memang sah orang Bangladesh PATI paling ramai di Malaysia sekarang.

 

Masalah pekerja warga asing ini bukan sahaja kerana mereka menjadi PATI dan menyumbang kepada masalah sosial. Tetapi mereka kini menguasai premis perniagaan di lokasi-lokasi tertentu.

MUSTAFAR: Selain datang bekerja, PATI khususnya warga Bangladesh, Pakistan dan Myanmar ada kecenderungan untuk mendapatkan premis perniagaan. Betul, mereka datang bekerja seperti dalam sektor pembinaan dan perladangan tapi kita dapat maklumat mereka yang pergi ke sektor perladangan lari ke sektor pembinaan atau ke sektor yang paling mereka suka iaitu berniaga.

Apabila berniaga, mereka melanggar syarat pas dan syarat-syarat yang ditetapkan. Bila keluar dari industri yang sepatutnya mereka bekerja, mereka sudah jadi PATI. Sebab itu kita nampak di pasar-pasar borong atau premis perniagaan jualan barang runcit, warga Pakistan dan Bangladesh sudah ramai. Ada juga yang sudah bergelar Datuk Seri dan mempunyai rangkaian kedai tayar kenderaan. Dia pula menggajikan orang tempatan. Orang tempatan pula jadi kuli.

Apakah cadangan Datuk Seri bagi menangani isu ini?

MUSTAFAR: Macam di Kuala Lumpur, kita sudah berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Semasa saya berjumpa dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, beliau mengesahkan memang ada ketetapan premis perniagaan tidak boleh atas nama orang asing di tempat-tempat yang disebutkan.

Tetapi apa yang berlaku, banyak premis perniagaan di Jalan Silang, Lebuh Pudu, Jalan Bunus di Masjid India, Kompleks Kota Raya dan banyak lagi tempat lain di ibu kota dikuasai warga asing. Saya buat operasi di Plaza Low Yat, Bukit Bintang. Ada orang kata warga Bangladesh menumpang di premis orang lain tetapi saya dapat tahu ada premis memang dimiliki mereka.

Jadi perkara itu perlu diberikan perhatian. Kalau itu tidak dibenarkan, maka agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang lain perlu menangani isu ini secara bersepadu. Kita perlu memutuskan rantaian kesalahan. Maknanya, kalau kesalahan itu di bawah JIM, ia akan dikuatkuasakan oleh JIM.

Kalau di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka perlu mengambil tindakan. Kalau melibatkan jenayah, kita ada polis, maritim dan agensi-agensi lain. Kalau warga asing dapat status pemastautin tetap (PR) secara tidak sah, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terlibat sama untuk menyiasat perkara ini.

Misalnya semalam semasa kita buat pemeriksaan, terdapat 12 orang warga asing yang bertaraf PR. Tetapi timbul pelbagai persoalan bagaimana mereka mendapat taraf tersebut. Mungkin mereka cukup syarat dan sudah tinggal lama di Malaysia. Tetapi ada kes, pemegang status PR ini mendaftar (memohon) status PR di pejabat JPN lain tetapi kad dikeluarkan oleh pejabat JPN yang lain. Kenapa daftar di sini tetapi kad dikeluarkan di tempat lain? Kita perlu semak perkara ini.

Difahamkan, di Kelantan, orang Pakistan banyak membeli perniagaan daripada warga tempatan. Adakah JIM sedia maklum tentang masalah ini?

MUSTAFAR: Saya sudah mendapat penjelasan daripada Pengarah JIM Kelantan, terdapat kecenderungan premis-premis perniagaan khususnya kedai runcit yang disewa atau diserahkan oleh warga tempatan kepada orang Pakistan. Sudah banyak berlaku. Tindakan operasi telah banyak dilakukan oleh JIM Kelantan dan tindakan telah diambil sekiranya mereka tidak layak. Kita nampak ini merupakan satu trend di Kelantan.

Satu lagi mereka (warga Pakistan) ini ramai berkahwin dengan warga tempatan. Apabila berkahwin dengan warga tempatan, mereka dapat menggunakan keistimewaan yang ada pada warga tempatan. Ada perkahwinan yang meragukan. Kalau perempuan warga tempatan berusia 68 tahun hingga 75 tahun berkahwin dengan orang Pakistan berumur antara 32 hingga 35 tahun, adakah perkahwinan itu memang atas dasar ingin berkahwin atau ada motif lain seperti ingin berniaga, mendapatkan premis dan status PR.