Sikap mementingkan berapa banyak A yang tercatat dalam slip peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) menyebabkan anak-anak mengalami tekanan sehingga ada kes pelajar membunuh diri atau bertindak berhenti sekolah.

Apabila disebut pendidikan nilai, ibu bapa boleh membuat ujian personaliti ringkas terhadap anak-anak mereka seawal usia empat tahun bagi mengetahui adakah kanak-kanak itu sudah mempunyai ciri-ciri orang berjaya.

Dorongan untuk berjaya bermula sejak seseorang itu masih kanak-kanak lagi terutama dalam kalangan anak-anak yang sering diberi ganjaran oleh ibu bapa jika mencapai kejayaan.

Ujian ini telah diperkenalkan oleh seorang pengkaji bernama Walter Mischel dari Universiti Stanford, Amerika Syarikat (AS).

Dalam ujian personaliti itu, ibu bapa memberikan anak-anak mereka gula-gula getah sebiji seorang.

Kanak-kanak itu diberitahu ji­kalau mereka sanggup bersabar menunggu sehingga tempoh tertentu, mereka boleh mendapat dua biji gula-gula getah ke­semuanya.

Kalau tidak sanggup menunggu, mereka boleh makan gula-gula getah yang sudah diberikan.

Bagi kanak-kanak berusia empat tahun, ujian berkenaan memang sangat berat kerana mereka terpaksa memilih antara nafsu dan kesabaran atau antara mahu puas sekarang dan menanti ke­puasan lebih besar selepas tempoh tertentu.

Keputusan kanak-kanak itu akan membolehkan ibu bapa me­ngetahui personaliti anak-anak dan mendapat gambaran jelas jalan hidup yang akan dilalui mereka pada masa depan.

Kanak-kanak yang mempunyai ciri-ciri individu berjaya sanggup menangguhkan kepuasan sekarang demi mendapatkan kepuasan masa depan yang lebih besar.

Bagi ibu bapa yang anak-anak mereka gagal ujian berkenaan, sudah sampai masanya untuk berusaha lebih keras lagi supaya kanak-kanak itu mempunyai ciri-ciri orang berjaya.

Dalam pada itu, penulis turut mendedahkan kebanyakan individu berjaya dalam hidup memilih untuk menjadi usahawan kerana bidang itu paling sesuai dengan diri mereka.

Perkara itu bukanlah aneh, kerana hadis Rasulullah SAW ada menyebut bahawa sembilan persepuluh sumber rezeki boleh diperoleh melalui perniagaan.

Menurut penulis, berdasarkan kajian dibuat di AS, kebanyakan yang mempunyai ciri-ciri individu berjaya adalah daripada ke­luarga kelas menengah dan sangat sedikit dalam kalangan keluarga kelas bawahan dan kelas atasan.

Antara ciri-ciri itu adalah pertama, individu berkenaan se­ngaja mencari kerjaya yang banyak memberi cabaran.

Ertinya, mereka tidak berminat dengan tugas-tugas rutin dan ‘selamat’. Mereka tidak takut menghadapi risiko gagal dalam melaksanakan tugas-tugas itu.

Contoh kerjaya tidak berisiko dan selamat adalah perkhidmatan kerajaan manakala pekerjaan berisiko tinggi tetapi menjanjikan pulangan pendapatan tinggi adalah perniagaan.

Kedua, individu yang mempunyai ciri-ciri sedemikian mahu diberikan tanggungjawab yang mengkehendaki mereka membuat pelbagai keputusan sendiri.

Ciri inilah yang mendorong mereka menjadi usahawan di­sebabkan bidang itu memberikan peluang mereka mengambil keputusan sendiri. Ciri itu juga mencerminkan sifat mereka yang tidak takut pada risiko dan cabaran.

Ketiga, mereka mahu supaya diri dan hasil kerja dinilai secara objektif kerana dengan cara itu mereka mendapat maklum balas berguna bagi meningkatkan lagi prestasi diri masing-masing.

Sebab itu, mereka yang mempunyai ciri-ciri orang berjaya memilih menjadi usahawan kerana prestasi mereka dapat dinilai de­ngan mudah menerusi keuntu­ngan yang dicatatkan oleh syarikat.

Keempat, memiliki dorongan kuat mahu memajukan diri mereka dengan daya usaha sendiri. Ertinya, mereka tidak menunggu adanya orang lain seperti ibu bapa, guru, pasangan atau ketua mendorong dan membantu mereka mengambil tindakan untuk memperbaiki nasib diri sendiri.

Kelima, individu sedemikian tidak suka menghabiskan masa untuk bercakap dan berbincang me­ngenai perkara-perkara yang tiada kaitan dengan kerjaya mereka.

Jika menjadi usahawan, mereka hanya berminat bercakap dan membincangkan topik-topik me­ngenai keuntungan ekonomi yang mereka boleh peroleh daripada sesuatu produk dan peluang perniagaan baharu.

Kesimpulan yang boleh dibuat setelah membaca buku ini adalah walaupun seseorang itu tidak cemerlang dalam peperiksaan baik di sekolah mahupun di universiti, mereka masih boleh berjaya dalam hidup.